Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera, Salam Kota Tinggi Mengungguli, Sehati Memperkasa Bangsa dan Salam Malaysia Madani. Artikel ini ditulis berasaskan kepada perkara-perkara yang telah saya utarakan semasa Perhimpunan Profesional Pemimpin Pendidikan bersama warga PPD Kota Tinggi Bilangan 1 tahun 2025. Perhimpunan Profesional Bilangan 1/2025 (PP-01/25) ini merupakan pertemuan kali pertama saya bersama dengan warga pendidikan Kota Tinggi, sejak melaporkan diri selaku Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi pada 25 November 2024 yang lalu.
Tujuan penulisan ini adalah untuk memperkukuhkan aspirasi saya selaku Pegawai Pendidikan Daerah untuk memastikan sistem penyampaian mengenai aspirasi kepimpinan tertinggi di KPM dapat dipelbagaikan dalam pelbagai medium agar dapat memaksimumkan kecekapan dalam sistem penyampaian.
Demi memastikan agar kita selaku pemimpin pendidikan kekal relevan dan berdaya tahan terhadap perubahan pantas yang berlaku dalam dunia pendidikan, maka kita perlu mampu memberi impak yang berkesan dalam organisasi yang kita terajui dalam amalan pengurusan kita. Suka atau tidak kita perlu menerapkan apa yang Alvin Toffler katakan, iaitu kesediaan kita untuk belajar (learn), meninggalkan amalan atau pendekatan kurang produktif (unlearn) dan bersedia menggantikan amalan dan pendekatan baharu (relearn) terhadap perspektif kerja buat kita agar kita kekal relevan dengan perkembangan semasa.
Bagi mencapai hasrat ini bersamalah kita menyemai aspirasi, menjana inspirasi untuk kita bergerak lebih laju menuju matlamat yang dihasratkan serta mengharungi apa jua cabaran yang merintangi dengan kejayaan. Mengapakah saya menggunakan tema “Menyemai Aspirasi Menuai Inspirasi”. Aspirasi merujuk kepada harapan, cita-cita, atau keinginan yang tinggi untuk mencapai sesuatu yang lebih baik pada masa hadapan.
Inspirasi merujuk kepada dorongan, idea, atau semangat yang timbul daripada sesuatu perkara, pengalaman, atau individu yang memberikan motivasi untuk bertindak atau mencapai sesuatu. Inspirasi adalah pendorong yang membangkitkan keinginan untuk melakukan yang terbaik, mencipta sesuatu yang bermakna, atau mencapai matlamat yang lebih tinggi, bermakna dan berimpak besar.
Tema ini mencerminkan usaha berterusan untuk menanam nilai dan aspirasi pendidikan, yang akhirnya akan memberi inspirasi kepada semua pihak, termasuk pelajar, guru, dan komuniti. "Kita semua bertanggungjawab menyemai aspirasi murni demi anak-anak kita dan pada masa yang sama, menuai inspirasi dari kejayaan bersama. Dengan semangat kerjasama, kita mampu melakar perubahan besar di daerah Kota Tinggi
Terdapat tiga perkara yang saya anggap sebagai perkara penting untuk saya perkatakan dari penulisan ini yang saya akan pos secara berisiri. Untuk siri pertama ini saya akan kongsikan apakah hasrat KPM khusunya daripada Yang Amat Berhormat Menteri Pendidikan untuk tindakan kita bagi tahun 2025 iaitu dengan memberi tumpuan terhadap Sembilan Fokus Pendidikan. Daripada sembilan fokus tersebut, terdapat lapan perkara yang dianggap sebagai “non negotiable”.
FOKUS & NON-NEGOTIABLE KPM TAHUN 2025
Fokus 1: Intervensi Keciciran Murid
Pada tahun 2025 ini YB Menteri Pendidikan Fadzlina Sidek telah memberi penekanan terhadap Sembilan Fokus Utama Kementerian Pendidikan. Dalam sembilan fokus tersebut terdapat perkara yang dianggap sebagai perkara non negotiable. Maksudnya ialah perkara-perkara ini adalah perkara yang tidak boleh dirunding. Tidak bolah tidak, ia mesti dilaksanakan. Oleh itu izinkan saya untuk memulakan dengan menyebut bahawa pertama adalah soal keciciran. Ini adalah non-negotiable.
Justeru itu pakah peranan kita di peringkat daerah dan sekolah? Perkara ini mesti disambut oleh semua pihak di daerah dan sekolah kerana inilah komitmen kita yang paling tinggi dalam konteks isu keciciran anak-anak ini. Berdasarkan kepada sistem aplikasi pangkalan data murid sehingga Oktober 2024, empat (4) sebab utama murid Sekolah Menengah drop out yang dikenal pasti ialah;
- Tidak berminat untuk ke sekolah: 34.55%
- Tindakan disiplin (buang sekolah): 28.65%
- Bekerja: 24.4%
- Masalah keluarga: 7.11% 15 36.
Empat (4) alasan inilah yang menyebabkan kadar penyertaan sekolah menengah atas kita hanya mencapai sekitar 93%, yakni belum mencapai sasaran enrolmen sejagat, iaitu sebanyak 95%. Oleh itu kepada kepimpinan pendidikan khususnya pengetua dan guru besar di sekolah, teruslah berusaha untuk memastikan keciciran tidak menjadi isu di sekolah masing-masing. Penekanannya di sini adalah keciciran ini merupakan perkara yang non-negotiable. Justeru itu, kepimpinan di sekolah haruslah merancang dan melaksanakan program atau intervensi bagi tujuan mengatasi keciciran. Usaha ini perlu dilakukan lebih awal dan bukan bermula daripada murid tingkatan 5 sahaja, sebaliknya perlu dilakukan lebih awal daripada itu, iaitu paling kurang ketika murid berada di tingkatan 4 atau tingkatan 2 di sekolah menengah dan tahun 6 dan pra sekolah di peringkat rendah.
Perkara berkaitan keciciran ini mesti ditangani di peringkat lebih awal dengan mengambil tindakan segera bagi memastikan pemutihan data berdasarkan intervensi di peringkat sekolah. Pada peringkat PPD diharapkan Sektor Pembangunan Murid dapat berkolaboratif bersama sektor-sektor lain untuk bertindak secara bersinergi kerana isu ketidakhadiran ini mesti menjadi program outreach utama sebelum murid-murid menduduki pepriksaan utama seperti SPM.
YB Menteri Pendidikan turut menyarankan agar Penggunaan AI serta teknologi boleh dimanfaatkan untuk mengesan keciciran pelajar dan membantu meningkatkan motivasi mereka untuk terus hadir ke sekolah. Mesejnya ialah kita perlu learn, unlearn and relearn. Barangkali telah tiba masanya untuk mengubah cara memanggil mereka agar hadir ke sekolah bukan lagi mengikut skema tradisional. Barangkali cara memanggil mereka ke sekolah adalah melalui gamifikasi atau menggunakan aplikasi-aplikasi tertentu yang menyebabkan mereka terdorong untuk datang ke sekolah. Apapun fokusnya adalah penambahbaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Pembelajaran yang menyeronokkan dalam dan di luar bilik darjah adalah faktor utama yang perlu ditransformasikan.
Fokus 2: Penyampaian Perkhidmatan Pendidikan
Fokus yang kedua yang dibangkitkan oleh YB Menteri Pendidikan ialah berkaitan Penyampaian Perkhidmatan Pendidikan. Dalam aspek memperkasa penyampaian perkhidmatan pendidikan terdapat empat perkara yang diberikan pemberatan oleh KPM iaitu; pelaksanaan PEERS kebangsaan, perluasan konsep Malaysia Madani dari prasekolah hingga IAB & IPG, intervensi bagi literasi dan numerasi, serta pelaporan UASA.
(a) Pelaksanaan PEERS Kebangsaan: PEERS (Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial) Kebangsaan bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan reproduktif dan sosial dalam kalangan masyarakat, khususnya ibu bapa dan pelajar sekolah. Garis panduan ini merangkumi aspek perkembangan reproduktif seperti perhubungan, perkahwinan, kehidupan keluarga, akil baligh, haid, anatomi tubuh, kehamilan, dan penyakit jangkitan seksual. Inisiatif ini juga menangani isu kehamilan remaja dengan menyasarkan pelbagai kumpulan umur dari prasekolah hingga remaja.
(b) Perluasan Konsep Malaysia Madani dari Prasekolah hingga IAB & IPG: Konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan pembangunan negara yang seimbang dari segi pemikiran, kerohanian, dan kebendaan berteraskan nilai-nilai murni. Peluasan konsep ini dari prasekolah hingga Institut Aminuddin Baki (IAB) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) bertujuan membentuk masyarakat yang berdaya cipta, sejahtera, dan saling menghormati. Enam nilai teras Malaysia Madani adalah kemapanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan.
(c) Intervensi bagi Literasi dan Numerasi: Program Intervensi Literasi dan Numerasi bertujuan menangani isu penguasaan kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira (3M) dalam kalangan murid Tahun 1. Program ini melibatkan pengesanan awal melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan memberikan bimbingan tambahan kepada murid yang memerlukan sokongan dalam menguasai kemahiran asas tersebut. Murid yang belum mencapai tahap penguasaan yang diingini akan ditempatkan dalam program intervensi selama tiga bulan.
(d) Pelaporan UASA: Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) merupakan komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang bertujuan menilai tahap kognitif murid dan memberi maklumat mengenai pencapaian akademik mereka. Pelaporan UASA dilakukan secara atas talian melalui Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) dan menggunakan markah serta gred untuk memberikan gambaran yang lebih menyeluruh tentang perkembangan kemajuan murid. Pastikan semua guru menguasai tentang UASA dan PBD agar pelaporan prestasi murid kepada ibu bapa difahami dan membantu dalam menganalisis pencapaian dan perkembangan murid secara berterusan. Berdasarkan Laporan Jemaah Nazir kepada YB Menteri melaporkan beberapa dapatan dan antara perkara yang paling signifikan adalah berkaitan penguasaan guru dalam pentaksiran, yang kita harus akui bahawa apabila melaksanakan PBD ini, antara aspek yang paling penting adalah untuk melihat penguasaan guru-guru kita dalam konteks itu.
Berhubung perkara ini antara ulasan penting yang dikeluarkan oleh Jemaah Nazir ialah gesaan agar guru-guru perlu disokong untuk menguasai pentaksiran, pengetahuan, penguasaan pedagogi dan penguasaan kemahiran berbahasa khususnya bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Untuk itu, saya mengharapkan kepimpinan sekolah dapat memberikan kerjasama yang sepenuhnya atas kunjungan Jemaah Nazir. Dapatan dan penemuan JNS perlu dilihat sebagai peluang untuk penambahbaikan, mencari solusi, menambah baik kemahiran belajar dan terus menyokong pentaksiran. Janganlah anggap kehadiran Jemaah Nazir ini menyusahkan kita dalam aspek mencari salah semata-mata.
Dalam fokus kedua ini terdapat non-negotiable yang diutarakan oleh YB Menteri Pendidikan iaitu berkaitan Kepimpinan Pendidikan Madani (KPMd). KPMd mempunyai kaitan rapat dengan empat (4) sifir penting, iaitu tentang kompetensi kepimpinan dan peranan pendidikan.
Yang namanya pemimpin, harus memimpin, maka PIMPIN.
Yang kedua ialah harus menyokong, maka SOKONG.
Yang ketiga, harus angkat, maka ANGKAT (mengangkat pimpinan lain)
Yang keempat adalah tonjol, maka TONJOL; menonjolkan bakat-bakat baru dan pelapis-pelapis.
Oleh yang demikian konsep Pimpin, Sokong, Angkat dan Tonjol mestilah dijadikan sifir dalam konteks pembangunan kompetensi kepemimpinan pendidikan yang ada. Saya melihat bahawa antara indikator kejayaan sekolah adalah apabila pimpinan sekolah atau para pentadbirnya memberikan sokongan penuh kepada guru-guru di sekolah. Pada peringkat PPD, peranan saya adalah untuk memimpin, menyolong, mengangkat dan menonjolkan bakat kepimpinan pengetua dan guru besar yang ada di sekolah. Manakala pengetua dan guru besar selaku kepimpinan sekolah pula mesti mengangkat pemimpin-pemimpin serta meningkatkan kualiti guru yang memberikan kesan langsung terhadapprestasi sekolah.
Jadi untuk itu sama-samalah kita berganding bahu dalam memastikan kepimpinan sekolah terus mengungguli dari segi mempersiapkan kepimpinan pendidikan masa hadapan. Kita bukan sahaja perlu memikirkan, bagaimana pemimpin pendidkan kita, sama ada di sekolah atau di Pejabat Pendidikan Daerah memiliki kemahiran-kemahiran analitikal untuk mengkaji data berkaitan prestasi sekolah, menyelaras program pembangunan profesional guru serta menyokong mahupun keupayaan mereka membantu sekolah untuk mencapai objektif pendidikan.
Sehubungan itu, saya yakin dan percaya bahawa semua pengetua dan guru besar telah didedahkan dengan pemimpin Lima Aras. Aras 1: Kedudukan (Position), Aras 2: Penerimaan (Permission), Aras 3: Pengeluaran (Production), Aras 4: Pembangunan Individu (People Development) dan Aras 5: Puncak (Pinnacle).
Dalam usaha kita membangunkan Kepimpinan Pendidikan Madani sebagai perkara non-negotiable, pada masa yang sama, kompetensi guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran juga perlu diberikan keutamaan. Kompetensi guru dalam Pengajaran dan pembelajaran adalah juga merupakan perkara non-negotiable. Guru yang kompeten bukan sahaja memahami kandungan mata pelajaran dengan mendalam tetapi juga menguasai pelbagai pendekatan pedagogi seperti pembelajaran berpusatkan murid, penggunaan teknologi pendidikan dan kaedah penilaian autentik. (Instructional Core).
.png)
Teras pengajaran adalah konsep dalam pendidikan yang menumpukan kepada interaksi antara tiga komponen utama: guru, pelajar, dan kandungan. Idea ini menekankan bahawa untuk meningkatkan hasil pendidikan, kita perlu memperbaiki hubungan antara ketiga-tiga elemen ini. Konsep ini dipopularkan oleh Richard Elmore dan rakan-rakannya dalam kerja mereka mengenai penambahbaikan sekolah. Justeru Perkara berkaitan Pembangunan Kompetensi Guru ini menjadi perkara non-negotiable.
Prinsip Teras Pengajaran:
(a) Anda tidak boleh mengubah satu bahagian tanpa menjejaskan bahagian lain. Contohnya, meningkatkan kemahiran guru tanpa melibatkan pelajar atau memperhalusi kandungan tidak akan membawa kepada hasil yang lebih baik.
(b) Pembelajaran berlaku melalui interaksi. Interaksi antara guru, pelajar, dan kandungan yang mendorong proses pembelajaran.
(c) Penambahbaikan pengajaran adalah proses berterusan. Kejayaan dalam aspek ini memerlukan perhatian berterusan terhadap bagaimana ketiga-tiga elemen ini berfungsi bersama.
Atas dasar inilah, maka KPM telah memberi penekanan agar PPD dan JPN perlu memastikan semua kursus-kursus Professional Development yang terkait rapat dengan peningkatan penguasaan guru-guru diberikan keutamaan. Prgram pembangunan guru juga perlu bertumpu kepada penguasaan mereka terhadap pentaksiran dan AI yang mana latihan pembangunan profesionalnya harus diberikan perhatian. Penggunaan AI mestilah dimanfaatkan sepenuhnya sebagai contoh platform DELIMa.
Berkaitan pelantar DELIMa, terdapat beberapa perkara yang mendapat teguran dari YB Menteri Pendidikan, iaitu penggunaannya yang seharusnya dimanfaatkan secara menyeluruh oleh guru dan murid. Terdapat saranan kepada kita agar melihat bagaimana satu aplikasi AI dapat digunakan bagi menyelesaikan beberapa masalah berkaitan pembelajaran. Misalnya pendekatan gamifikasi yang dipercayaai boleh menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan kemahiran penggunaan Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, dan Climate Change. Perkara-perkara inilah yang sebenarnya masih lagi menjadi sebahagian daripada tumpuan kita, iaitu melihat bagaimana penggunaan secara digital, AI dan teknologi dapat dimanfaatkan dalam konteks pembelajaran anak kita.
Bagi memantapkan lagi peranan pentadbir, meningkatkan kualiti guru dan keberkesanan pembelajaran murid, maka KPM mahu melihat bagaimana pelan Reformasi Sekolah dapat ditingkatkan. Perkara ini merupakan non-negotiable. Reformasi Pendidikan diharapkan dapat meningkatkan kecekapan pemimpin sekolah dalam mengurus sekolah yang diumpamakan keupayaan menggunakan lensa yang berbeda. Satu lensa teleskop dan satu lagi ialah lensa mikroskop.
Sebagai pemimpin, kita harus memilih kanta yang betul ketika melihat sama ada melalui teleskop ataupun mikroskop. Kanta teleskop, memberikan kita pilihan untuk melihat perspektif yang jauh; trajektori, wawasan dan ramalan masa hadapan. Tetapi lensa kita berubah ketika kita melaksanakan penelitian di bawah mikroskop. Ketika itulah kita berjumpa dengan sekecil-kecil isu, sekecil-kecil masalah sehalus-halus kuman, sehalus-halus sel, kita jumpa di bawah lensa mikroskop.
Oleh itu pengetua dan guru besar perlu melihat isu-isu yang harus berada di bawah lensa mikroskop sekolah dan ia mesti ditangani dengan segera bagi meningkatkan kualiti pendidikan. Natijahnya kepada pendidikan adalah semuanya berkaitan penambahbaikan “Menjadi lebih baik”. Sebab itu kita sentiasa mendengar bahawa tujuan pendidikan ini adalah untuk “Memperkasa Insan, Mempertabat Manusiawi.
Apabila kita berada dalam sistem pendidikan ini mesti ada improvement atau penambahbaikan. Justeru KPM telah menyarankan kepada PPD mahupun di sekolah agar menumpukan perhatian kepada Sekolah Fokus, Sekolah Aspirasi dan Sekolah Inspirasi. Sekolah Fokus ini ialah sekolah yang memerlukan banyak fokus, perhatian dan sokongan yang berterusan. Sekolah kedua ialah Sekolah Aspirasi, yang masih memerlukan sentuhan reformasi. Ini bermakna sekolah ini sekolah yang complacent, stagnant, dan statik. Tidak ada apa-apa perkembangan. Sekolah ini boleh diangkat dengan mencari aspirasi-aspirasi yang perlu diberikan semula kepada sekolah ini.
Sekolah ketiga adalah Sekolah Inspirasi. Sekolah ini ialah sekolah yang kita boleh berikan autonomi sepenuhnya. Kalau Sekolah Aspirasi dan Sekolah Fokus tadi yang harus kita tumpukan ialah Guided Autonomy. Tetapi Sekolah Inspirasi ini, sekolah yang kita boleh berikan autonomi sepenuhnya. Tumpuan mereka bukan lagi soal akademik, membaca atau 3M, tetapi lebih jauh daripada itu.
Selaku pemimpin sekolah kita perlu melihat semua data-data berkaitan Sekolah Fokus, Sekolah Aspirasi dan Sekolah Inspirasi dan sokongan dan akauntabiliti yang sewajarnya, kerana ini akan menjadi perkara penting dalam melaksanakan reformasi di sekolah.
Berkaitan Numerasi dan Literasi, ia juga adalah perkara yang bersifat non-negotiable. KPM menyarankan agar kita tidak harus berhenti setakat screening yang kita laksanakan pada awal tahun sahaja. Tetapi kita mesti memastikan bahawa program literasi dan numerasi ini menjadi tumpuan khususnya khususnya di sekolah yang mempunyai prestasi yang masih rendah dengan memastikan;
(a) Keupayaan dan sokongan kepada guru dipertingkatkan;
(b) SISC+ mesti digerakkan ke semua Sekolah Sekolah Fokus untuk memberikan sokongan penuh kepada guru;
(c) PPD dan sekolah mesti melaksanakan program-program saringan dan intervensi. Program Anak Kita mesti diteruskan dan mendukung guru-guru khususnya dalam menggiatkan usaha ini.
Rumusannya bagi fokus kedua ini, KPM berhasrat untuk menjadikan sistem pendidikan dan guru sebagai pusat ilmu, gedung pengetahuan dan kunci kepada peradaban. Maka sokongan kepada guru ini mesti menjadi tumpuan kita.
Fokus 3: Pentaksiran Antarabangsa (TIMSS, PISA dan SEA-PLM).
Fokus yang ketiga KPM bagi tahun 2025 adalah berkaitan prestasi kita dalam Pentaksiran Antarabangsa iaitu perkara yang menjadi non-negotiable yang seterusnya. Seperti dalam gambar ini menunjukkan beberapa pentaksiran antarabangsa yang berkaitan dengan pendidikan, khususnya dalam bidang matematik, sains, dan metrik pembelajaran peringkat rendah. Berikut adalah huraian ringkas mengenai setiap pentaksiran yang disebut:
(a) TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study): Ini adalah kajian antarabangsa yang menilai pencapaian pelajar dalam matematik dan sains di peringkat gred 4 (Tahun 4) dan 8 (Tingkatan 3). TIMSS dijalankan setiap empat tahun dan memberikan data yang berguna untuk membandingkan sistem pendidikan di pelbagai negara.
(b) PISA (Programme for International Student Assessment): PISA adalah kajian antarabangsa yang menilai kemahiran pelajar berusia 15 tahun dalam membaca, matematik, dan sains. Kajian ini dijalankan setiap tiga tahun dan bertujuan untuk menilai sejauh mana pelajar boleh menggunakan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam situasi kehidupan sebenar.
(c) SEA-PLM (Southeast Asia Primary Learning Metrics): Ini adalah inisiatif serantau yang menilai pembelajaran pelajar di peringkat rendah di Asia Tenggara. SEA-PLM bertujuan untuk menyediakan data yang boleh membantu negara-negara anggota meningkatkan kualiti pendidikan asas mereka.
Berdasarkan laporan OECD dan PISA 2022, prestasi Malaysia dalam literasi Matematik, Saintifik, dan Bacaan menunjukkan penurunan berbanding tahun 2018. Dalam literasi Matematik, skor purata Malaysia ialah 409, iaitu 63 mata di bawah purata OECD (472), dan Malaysia hanya mengatasi 13 negara daripada keseluruhan peserta.
Dalam literasi Saintifik, skor Malaysia ialah 416, menunjukkan jurang 69 mata di bawah purata OECD (485), dengan prestasi lebih baik berbanding 34 negara tetapi masih di bawah 36 negara lain.
Manakala dalam literasi Bacaan, skor 388 meletakkan Malaysia 88 mata di bawah purata OECD (476), dengan kedudukan lebih baik berbanding 17 negara tetapi masih ketinggalan berbanding 55 negara lain.
Kesimpulannya, Malaysia mencatat skor lebih rendah daripada negara ASEAN seperti Singapura dan Vietnam, yang sering berada dalam kedudukan teratas global dalam kajian PISA. Vietnam, misalnya, mencatat skor purata lebih tinggi untuk pelajar dengan latar belakang sosio ekonomi yang serupa, menunjukkan keberkesanan sistem pendidikan mereka dalam merapatkan jurang pencapaian. Usaha berterusan diperlukan untuk bersaing dengan negara jiran seperti Singapura dan Vietnam yang memanfaatkan pendidikan sebagai pendorong utama pembangunan ekonomi mereka.
Antara langkah penambahbaikan yang boleh diambil termasuk memperkukuh latihan guru, mengadaptasi teknologi dalam pendidikan, serta menyesuaikan kurikulum kepada keperluan pembelajaran abad ke-21. Walaupun Malaysia masih mempunyai daya saing berbanding beberapa negara, usaha yang lebih berfokus diperlukan untuk mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi di peringkat global.
Ekuiti memberikan kesan langsung kepada prestasi anak-anak kita. Sebab itu, semua sekolah yang terlibat perlu membuat persiapan untuk TIMSS, PISA dan SEA-PLM. Peperiksaan atau pentaksiran peringkat antarabangsa ialah perkara non-negotiable. Pentaksiran ini memerlukan perubahan yang sangat besar. Pertama dalam konteks sikap, dimana sikap kita mesti berubah. Guru-guru kita mesti dipersiapkan dengan sikap bahawa ini adalah pentaksiran antarabangsa yang melibatkan maruah negara dan melibatkan keupayaan anak-anak kita. Sikap anak-anak kita juga harus berubah. Mereka perlu lebih serius dan bersedia dalam menjawab peperiksaan antarabangsa.
Cabaran yang harus ditempuh kini ialah cabaran digital kerana semua pentaksiran antarabangsa ini dilaksanakan secara digital. Oleh itu untuk itu semua PIC di PPD dan sekolah-sekolah yang terpilih perlu menyediakan beberapa pendekatan dan strategi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi meningkatkan trend pencapaian sehingga mencapai purata antarabangsa yang tinggi. Persediaan ini berfokus kepada meningkatkan kemahiran murid menggunakan komputer seperti untuk meneroka, membuat simulasi dan menjalankan eksperimen dengan soalan-soalan PISA.
Fokus 4: Akses Pendidikan Prasekolah.
Fokus KPM seterusnya bagi 2025 ini ialah memberi penekanan terhadap kepentingan Akses Pendidikan Prasekolah. Ia bermaksud memastikan pembangunan kognitif kanak-kanak dilakukan secara sistematik, terancang dan dilakukan lebih awal agar berupaya membantu membina kemahiran sosial dan emosi mereka. Selain itu, KPM juga telah menyasarkan untuk membuka 150 prasekolah baharu. Hal ini demikian menunjukkan komitmen tinggi KPM dalam memperluaskan akses pendidikan awal kanak-kanak.
Oleh itu semua sekolah perlulah memastikan kelas prasekolah diurus dengan cekap dan dapat menggambarkan suasana pembelajaran yang berkesan dengan suasan pembelajaran yang kondusif. Anak-anak ini sewajarnya disantuni dengan suasana yang mesra kanak-kanak, dengan elemen patriotisme yang diterapkan dalam aktiviti mereka. Kepimpinan sekolah memainkan peranan penting dalam memastikan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pendidikan prasekolah dapat direalisasikan. Berikut adalah antara peranan yang sewajarnya diberikan pemberatan oleh kepimpinan di sekolah;
(a) Menyediakan persekitaran pembelajaran yang berkualiti dengan memastikan bilik darjah dilengkapi kemudahan yang sesuai serta mewujudkan ruang yang selamat dan kondusif bagi kanak-kanak.
(b) Bertanggungjawab dalam memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan memantau serta menyokong guru dalam melaksanakan pendekatan yang interaktif dan berpusatkan murid.
(c) Kesedaran dan penglibatan komuniti juga perlu dipertingkatkan melalui kerjasama dengan ibu bapa serta penganjuran program yang mendorong keterlibatan mereka dalam pendidikan anak-anak.
(d) Memastikan peruntukan kewangan digunakan secara optimum dan berusaha mendapatkan sokongan tambahan jika perlu.
(e) Memastikan akses pendidikan prasekolah diperluaskan dengan menarik lebih ramai ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak mereka serta menyediakan sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah.
(f) Pemantauan dan penambahbaikan berterusan perlu dilakukan dengan menilai keperluan serta menerima maklum balas daripada pelbagai pihak.
Dengan kepimpinan sekolah yang proaktif dan komited, sasaran KPM untuk memperluaskan akses serta meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah menjelang 2025 dapat direalisasikan dengan lebih berkesan.
Fokus 5: Daya dan keberhasilan Tingkatan 6
Rajah di atas memaparkan fokus utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi tahun 2025, dengan tumpuan kepada daya dan keberhasilan murid Tingkatan 6. Berdasarkan situasi di PPD Kota Tinggi, sebanyak 79.61% (Nasional,76.61%) murid Tingkatan 6 berasal daripada golongan B40, manakala 27% (nasional, 18.5%) menerima Biasiswa Kecil Persekutuan. Selain daaripada itu, antara inisiatif utama yang diberi penekanan oleh KPM ialah Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk pelajar Tingkatan 6, naik taraf infrastruktur sekolah, dan kenaikan bantuan geran per kapita mata pelajaran STPM. Usaha ini bertujuan meningkatkan akses dan kualiti pendidikan, khususnya bagi murid yang memerlukan, sejajar dengan slogan “Kota Tinggi Mengungguli, Sehati Memperkasa Bangsa” dan hashtag #IndahnyaKebersamaan.
Fokus 6: Kolaborasi Strategik
Peranan sekolah dalam menjayakan kolaborasi strategik antara KPM, GLC, dan alumni dapat diperkukuhkan melalui penglibatan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Pasukan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti, dan Swasta (PIBKS). PIBG berperanan sebagai jambatan antara pihak sekolah dan ibu bapa dalam menyokong pelaksanaan program yang melibatkan alumni dan GLC. Melalui PIBG, sekolah boleh menggerakkan inisiatif seperti program motivasi, bimbingan akademik, dan jaringan kerjaya dengan bantuan alumni yang telah berjaya dalam pelbagai bidang. PIBG juga boleh membantu dalam aspek kebajikan pelajar, terutamanya bagi murid daripada keluarga kurang berkemampuan, dengan mendapatkan sumbangan atau penajaan daripada alumni dan GLC.
Sementara itu, PIBKS memainkan peranan lebih luas dalam membina kerjasama antara sekolah, komuniti setempat, dan sektor swasta. PIBKS boleh berfungsi sebagai platform bagi pihak sekolah untuk mendapatkan sokongan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam bentuk program latihan industri, pembiayaan projek sekolah, serta peningkatan kemudahan infrastruktur. Kerjasama ini dapat memperkasa pendidikan abad ke-21 dengan memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih holistik kepada pelajar. Objektif PIBKS;
- Mewujudkan Hubungan Strategik
- Menyediakan Sokongan Akademik dan Kokurikulum
- Memperkasakan Infrastruktur dan Kemudahan Sekolah
- Memperluas Peluang Pembangunan Kerjaya
- Meningkatkan Kebajikan dan Kesejahteraan Pelajar
Dalam pada itu terdapat cadangan dari beberapa pihak, iaitu jika tiada anak bersekolah atau anak yang sudah berhenti sekolah, tidak boleh lagi menjadi AJK PIBG bagi sesebuah sekolah. Memang tidak dinafikan berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4 Tahun 1995: Penubuhan PIBG di Sekolah, salah satu syarat untuk menjadi ahli PIBG adalah individu tersebut perlu merupakan ibu bapa/penjaga murid yang sedang bersekolah di sekolah berkenaan. Jika sudah tiada anak di sekolah, secara prinsipnya individu tersebut tidak layak untuk menjadi ahli PIBG, apatah lagi menjadi AJK PIBG. Namun demikian, adalah penting untuk memastikan perkara ini dipertimbangkan secara telilti. PIBG perlu bergerak selaras dengan peraturan adalah penting bagi memastikan integriti dan keberkesanan PIBG serta mengelakkan konflik kepentingan. Perkara-perkara berikut diberi pertimbangan;
(a) Menyemak semula Perlembagaan PIBG sekolah kerana setiap sekolah mungkin mempunyai penyesuaian tertentu yang diluluskan.
(b)Memastikan pelaksanaan undang-undang ini dilakukan dengan penuh profesionalisme dan tidak menimbulkan sensitiviti.
Kepada pengetua dan guru besar di sekolah, diharapkan dapat memahami peranan anda dalam PIBG iaitu sebagai Ex Officio atau sebagai penasihat kepada PIBG agar selari dengan aspirasi KPM dan sekolah. Janganlah ada pengetua dan guru besar membuat keputusan dalam mesyuarat PIBG, mengetuai projek dan aktiviti. Jadikan PIBG sebagai aset penting bukan liabiliti kepada sekolah.
Secara keseluruhannya, gabungan peranan sekolah, PIBG, dan PIBKS dalam menjayakan kolaborasi strategik ini akan membuka lebih banyak peluang untuk pelajar memperoleh pendidikan berkualiti, memperkukuh jaringan profesional, dan meningkatkan daya saing mereka dalam dunia akademik serta kerjaya.
Fokus 7: Infrastruktur & Infostruktur
Kepimpinan di sekolah memainkan peranan yang penting dalam memastikan kejayaan usaha penambahbaikan infrastruktur dan infostruktur pendidikan di sekolah. Pihak sekolah perlu mengenal pasti keperluan infrastruktur dengan melakukan penilaian terhadap keadaan bangunan, kemudahan asas, dan sistem pembelajaran digital bagi memastikan keperluan naik taraf atau pembinaan baharu dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Selain itu, sekolah juga bertanggungjawab mengurus dan memantau dana bencana dengan mengajukan permohonan bantuan sekiranya berlaku bencana seperti banjir atau kebakaran. Dalam aspek pembangunan, pihak pentadbiran sekolah perlu bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan projek naik taraf bangunan daif dan pembinaan infrastruktur baharu dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Sekolah juga perlu menggalakkan penggunaan teknologi pendidikan dengan memanfaatkan sistem dan aplikasi pembelajaran digital yang semakin berkembang bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, sekolah boleh melibatkan komuniti setempat, PIBG, PIBKS, serta pihak swasta dalam usaha menaik taraf kemudahan pembelajaran seperti penyediaan makmal komputer, internet yang lebih stabil, dan ruang pembelajaran moden. Menerusi peranan yang proaktif ini, sekolah dapat memastikan pelajar mendapat persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif, dan selari dengan keperluan pendidikan masa kini.
Fokus 8: Sumber Manusia
Berdasakan maklum balas KPM, lantikan guru baharu sehingga 11 Disember 2024 adalah seramai 7,645 orang di seluruh negara. Walau bagaimanapun jumlah ini masih belum menampung keperluan sekolah khususnya di daerah Kota Tinggi. Perkara yang perlu difahami oleh semua kepimpinan sekolah adalah memahami bahawa semua penempatan guru baharu adalah urusan KPM dan di luar kawalan mereka. Peranan mereka adalah memastikan guru yang ditempatkan di sekolah dapat dimanfaatkan secara optimum demi kebajikan murid.
Pengetua dan Guru Besar perlu memahami bahawa penempatan guru adalah untuk kepentingan perkhidmatan dan guru tersebut bukan milik sekolah. Pengetua dan guru besar hanyalah diamanahkan untuk menerima dan membangunkan kapasti guru tersebut walau apa jua keadaannya. Pengetua dan Guru Besar juga perlu memberi bimbingan dan sokongan dalam penyesuaian guru-guru baharu ini terhadap budaya sekolah dan sistem pendidikan. Selain itu, mereka bertanggungjawab untuk mengenal pasti keperluan guru mengikut lokaliti dan bidang pengajaran bagi memastikan keseimbangan dalam agihan tenaga pengajar. Dalam menangani isu-isu berkaitan guru, Pengetua dan Guru Besar perlu bekerjasama dengan pihak berkepentingan seperti Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menyuarakan keperluan sekolah.
Mereka juga harus memastikan guru baharu mendapat latihan profesional dan pembangunan kendiri yang bersesuaian agar mereka dapat berkhidmat dengan lebih efektif tanpa menjejaskan kebajikan guru selaras dengan matlamat karamah insaniah. Selain itu, pengurusan kebajikan guru, termasuk beban tugas yang seimbang dan motivasi kerja, juga menjadi tanggungjawab utama bagi memastikan kualiti PdP guru yang mantap.
Sekiranya sekolah menerima guru baharu, maka Pengetua dan Guru Besar perlulah memainkan peranan penting dalam memastikan penempatan guru baharu berjalan dengan lancar serta segala isu yang timbul perlu ditangani dengan bijaksana. Mereka perlu menyediakan persekitaran kerja yang kondusif bagi guru baharu.
Pengurusan sumber manusia yang berkesan bukan hanya tentang mengurus pekerja, tetapi bagaimana kita membangunkan potensi mereka agar menjadi pemangkin kejayaan organisasi! Sebagai pemimpin di sekolah, Pengetua dan Guru Besar bertanggungjawab memastikan setiap guru, termasuk guru baharu, berkhidmat dengan penuh integriti dan profesionalisme. Dalam berhadapan dengan guru yang kurang kompeten, mereka perlu mengambil pendekatan berasaskan bimbingan dan pembangunan profesional.
Perkara Ini boleh dilakukan dengan menyediakan latihan, mentor dalam kalangan guru yang berpengalaman, pemantauan pengajaran dan pembelajaran, serta sesi refleksi untuk membantu guru tersebut meningkatkan kemahiran pedagogi dan pengurusan bilik darjah. Jika masalah berlarutan, langkah intervensi seperti pemantauan rapi, sesi kaunseling, atau cadangan untuk mengikuti kursus pemantapan profesional perlu diambil. Kepimpinan yang berkesan bermula dengan memastikan kebajikan dan pembangunan pekerja terjaga, kerana mereka adalah aset utama organisasi.
Aspek berkaitan sumber manusia juga tidak lari daripada perkara-perkara yang menyentuh kebajikan guru dan kakitangan sokongan di sekolah. Untuk itu, Isu Kesejahteraan Sekolah (Beban Guru, Murid Dan Pentadbir) menjadi perkara non-negotiable, dan masih lagi menjadi sebahagian daripada agenda KPM. Maka, Reformasi Sekolah juga harus mengambil kira aspek kesejahteraan guru, murid, pentadbir, dan ibu bapa. Isu buli dalam kalangan murid misalnya masih berlaku dan semua Pengetua dan Guru Besar perlu sedar bahawa isu buli ini mesti diselesaikan di peringkat sekolah.
Sekolah perlu ada langkah pencegahan dan intervensi yang bersesuaian agar isu ini dapat dibendung pada peringkat yang lebih awal. Seterusnya, bagi kes buli dalam kalangan guru dengan guru, guru dengan pentadbir serta PPD dengan sekolah juga haruslah ditangani. Perkara ini merupakan antara perkara yang melibatkan kesejahteraan guru. Pasti ada cara untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan buli guru, khususnya guru-guru muda. Mungkin perkataan buli itu tidak sesuai dalam kalangan guru. Mungkin yang lebih sesuai ialah “memberikan tugas yang lebih banyak kepada guru lain”. Hal ini merupakan konsep asas hak asasi kemanusiaan. Asasnya, jika ada satu pihak merasakan dirinya ditindas dan ia mengadu bahawa dia merasakan dirinya ditindas dalam aspek-aspek tertentu, maka aduan itu wajar dilihat dan dinilai.
Fokus 9: Bantuan Pendidikan
Dalam usaha memastikan pendidikan yang inklusif, berkualiti, dan bagi memastikan akses pendidikan yang lebih baik untuk semua murid, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban kewangan murid dan keluarga, terutamanya dalam kalangan golongan B40, Orang Asli, serta murid berkeperluan khas. Sebanyak 18 jenis bantuan utama disalurkan merangkumi aspek makanan, kewangan, biasiswa, peralatan pembelajaran, dan keperluan asas persekolahan.
Namun, bagi memastikan bantuan ini memberi impak yang maksimum, pengurusan yang cekap, telus, dan berintegriti amat diperlukan. Tatakelola yang baik dalam pelaksanaan bantuan ini bukan sahaja memastikan setiap murid yang layak menerima hak mereka tetapi juga mengelakkan ketirisan, penyelewengan, serta kelewatan dalam penyampaian bantuan.
Berdasarkan gambar, empat jenis bantuan pendidikan ini adalah empat bantuan yang utama dan antara bantuan terbesar dan signifikan bagi memastikan aspirasi pendidikan dapat direalisasikan.
(a) Task Force RMT dan Dasar Pengoperasian Kantin dan Koperasi – memastikan murid mendapat pemakanan yang sihat dan berkualiti melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Pengurusan yang cekap dan akan membawa manfaat kepada murid dan kejayaan program. (2) Bantuan Khas Persekolahan untuk Sekolah Pendalaman – membantu sekolah-sekolah di kawasan terpencil dengan keperluan khas.
(b) Kenaikan 15% PCG TVET – meningkatkan peruntukan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
(c) Elaun Sara Hidup untuk Siswa Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di IPG – membantu murid dalam bidang pendidikan agar dapat fokus pada pembelajaran mereka.
Kepimpinan sekolah harus proaktif, bertanggungjawab, dan bersikap prihatin terhadap murid yang memerlukan bantuan, selaras dengan hasrat KPM untuk memastikan pendidikan berkualiti dan inklusif. Bantuan pendidikan yang disediakan oleh KPM perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh murid yang layak. Guru Besar dan Pengetua perlu bertanggungjawab dalam melaksanakan dan mengurus tadbir program KPM seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Bantuan Khas Persekolahan untuk sekolah pendalaman, serta kenaikan 15% peruntukan PCG TVET dengan cekap dan telus.
Pemantauan yang rapi diperlukan bagi memastikan tiada ketirisan atau penyalahgunaan dana. Selain itu, kepimpinan sekolah perlu mengambil langkah pemantauan dan penambahbaikan secara berterusan terhadap pelaksanaan bantuan pendidikan. Perkara ini termasuk memastikan makanan yang disediakan dalam RMT berkualiti, serta memastikan sekolah pendalaman mendapat sokongan yang mencukupi.
Pengetua dan Guru Besar juga harus bekerjasama dengan pihak berkaitan, termasuk PIBG dan komuniti, bagi memastikan keperluan murid sentiasa diberi perhatian. Dalam aspek sokongan moral dan akademik, kepimpinan sekolah perlu memberikan motivasi dan galakan kepada murid yang menerima bantuan supaya mereka rasa dihargai dan lebih bersemangat untuk belajar. Misalnya, murid dalam program TVET yang mendapat kenaikan peruntukan perlu diberikan bimbingan yang sesuai agar dapat menggunakan kemudahan dengan baik.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab semua pihak, termasuk pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), serta ibu bapa untuk memastikan bantuan ini diurus dengan teratur, sistematik, dan berpandukan garis panduan yang telah ditetapkan oleh KPM. Setiap murid berhak mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti tanpa sebarang halangan, termasuk faktor sosioekonomi.
Pihak sekolah harus memastikan bahawa tiada murid yang tercicir daripada menerima bantuan, sama ada dalam bentuk kewangan, makanan, peralatan pembelajaran, atau sokongan psikososial. Selain itu, bantuan yang disalurkan perlu dimanfaatkan secara optimum dengan sistem pengurusan yang telus dan berkesan, agar setiap sumber benar-benar memberi impak positif kepada perkembangan murid. Menurut Dasar Pendidikan Kebangsaan, “pendidikan yang inklusif dan menyeluruh adalah kunci kepada pembangunan modal insan yang seimbang dan holistik.”
Justeru, dengan pendekatan yang sistematik dan beretika, bantuan pendidikan bukan sahaja dapat meringankan beban murid daripada keluarga berpendapatan rendah, tetapi juga memastikan mereka mendapat peluang pembelajaran yang sama rata. Hal ini akan melahirkan generasi yang lebih berdaya saing serta mampu mencapai potensi penuh mereka dalam sistem pendidikan yang adil dan berkualiti.
Penutup.
Sebagai rumusannya artikel ini telah mengulas dengan agak panjang bagaimana Sembilan Fokus Pendidikan yang terangkum didalamnya lapan perkara yang menjadi non negotiable bagi KPM. Kepimpinan pendidikan khususnya di sekolah perlu melihat perkara ini dalam konteks lokaliti sekolah masing-masing serta memberi komitmen sepenuhnya dalam memastikan segala hasrat KPM ini dapat difahami, dihayati, dilaksanakan dan dipatuhi dalam proses pengurusan organisasi dan dalam proses pengajaran dan pembalajaran. Segala kelemahan dan kesenjangan yang ada perlu ditangani secara bijaksana agar insiatif ini menjadi tunjang kepada reformasi sekolah yang dihasratkan.
No comments:
Post a Comment