Kisah Si Luncai terjun dengan labu-labunya adalah satu satira Melayu yang dikategorikan sebagai cerita lucu. Umum mungkin menggambarkan cerita ini sekadar cerita pengelipur lara yang kini tidak relevan lagi dalam kehidupan pada abad ke-21.
Tahap pemahaman pembaca mengenai kisah Si Luncai ini juga berbeza-beza, tetapi sebenarnya jika diteliti mesej yang cuba disampaikan dalam cerita ini adalah sama iaitu peringatan kepada kita supaya sentiasa bijaksana. Sama ada kita seorang pemimpin atau pengikut, guru atau murid kita perlu bijaksana dan pintar dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran kita.
Keceluparan kerapkali mengundang bencana. Kata pepatah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Terlajak perahu boleh dibelok, terlajak kata buruk padahnya. Begitulah yang terjadi pada Si Luncai. Akibat kata-katanya, dia dimurkai raja.
Episod paling menarik Si Luncai ialah semasa menghadap raja, dia terlepas cakap bahawa muka raja mirip wajah arwah bapanya. Raja yang zalim itu terasa dipersendakan. Baginya, mukanya tidak sekali-kali boleh disamakan dengan rakyat biasa … apatah lagi dengan muka arwah bapa Si Luncai yang miskin dan dipandang hina itu.
Tanpa mempertimbangkan perkara ini dengan adil dan teliti, raja pun menjatuhkan hukuman. Penghinaan Si Luncai mesti dibayar dengan nyawa. Dan untuk itu, Si Luncai dihukum bunuh dengan cara dicampakkan ke tengah laut.
Tetapi Si Luncai bukan anak sembarangan, dia seorang yang licik dan pintar terutama dalam menghadapi saat yang sukar. Yang miskin cuma hartanya, bukan minda dan ketangkasan fikirannya. Si Luncai mencari jalan bagaimana hukuman raja itu tenang dihadapi tanpa mengorbankan nyawanya.
Sebelum dia dibawa dengan sampan untuk dicampakkan ke tengah laut, dia sempat membeli sebiji labu besar. Sejak itu dia menangis berhiba-hiba sambil mengusap-usap labu itu. Selang beberapa ketika, dua orang pengawal istana pun tiba untuk membawanya ke sampan bagi melaksanakan hukuman, menghumbankannya ke laut.
Menyedari kedatangan pengawal itu, Si Luncai pun tambah beria-ia menangis sambil membelai-belai labu airnya. Melihat telatah Si Luncai, dua pengawal kehairanan lalu bertanya, “Kenapa kamu menangis dan memeluk labu ini?”Si Luncai pun menjawab, “Hamba terkenangkan arwah bapa hamba, bukankah hamba akan berjumpanya sebentar lagi.”
Melihat perilaku Si Luncai itu, kedua-dua pengawal berasa kasihan. Mereka pun membenarkan Si Luncai membawa labu itu bersama dalam sampan untuk menuju ke tengah laut. Sewaktu mereka sedang mengayuh, Si Luncai pun memulakan strategi untuk menyelamatkan diri.
Dia berkata, “Sebelum hamba mati, bolehkah tuan hamba berdua menunaikan hajat hamba?” Seorang daripada pengawal itu menjawab, “Boleh jika hajat itu tidak berat.”
Si Luncai gembira seraya berkata, “Memang tidak berat. Tuan hamba berdua hanya perlu menyanyi satu lagu untuk hamba.” “Lagu apa?” tanya kedua-dua pengawal itu.“Mudah sahaja, pengawal yang duduk di belakang hamba hendaklah mengulang kata yang begini, Si Luncai terjun dengan labu-labunya … Manakala tuan hamba yang di hadapan pula membalas, Biarkan, biarkan … .” “Baiklah,” jawab kedua-dua pengawal itu tanpa mengesyaki apa-apa.
Mereka pun sama-sama menyanyi. Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan … . Seni kata itu dilagukan berulang-ulang serentak dengan kayuhan sampan. Semakin lama semakin rancak. Setelah agak lama, kedua-dua pengawal itu semakin terleka.
Pada saat itulah Si Luncai pun terjun dari sampan untuk menyelamatkan diri. Melihat hal itu, pengawal yang di belakang segera memberitahu kawannya yang di hadapan, “Si Luncai terjun dengan labunya!”
Malangnya, pengawal di hadapan terus menjawab, “Biarkan, biarkan…” Dia menyangka, pemberitahuan itu masih lagi sebahagian seni kata lagu yang mereka nyanyikan sebelumnya. Setelah Si Luncai jauh berenang menyelamatkan diri, barulah pengawal di hadapan itu menyedari kejadian sebenarnya.
Tetapi apa boleh buat, Si Luncai telah berjaya menyelamatkan diri. Mereka pun pulang tanpa memberitahu raja hal sebenarnya. Apa tidaknya, jika silap perhitungan, mereka pula akan dihukum. Si Luncai yang telah selamat daripada lemas, lari menyembunyikan diri.
Namun dalam hatinya menyimpan dendam yang sangat mendalam kepada raja yang zalim dan angkuh itu. Setiap hari dia memikirkan bagaimanakah caranya untuk membalas dendam. Padanya, raja adil raja disembah, raja zalim, raja disanggah. Setelah beberapa hari lamanya, barulah Si Luncai mendapat idea.
Pada hari yang terpilih itu, Si Luncai pun mengenakan baju serba putih lengkap dengan serbannya sekali. Imej yang dibinanya adalah imej orang alim lagi warak. Setelah itu dia pun dengan beraninya pergi ke istana raja.
Melihat Si Luncai datang, terkejutlah seisi istana, kerana tidak menyangka yang Si Luncai telah ‘hidup’ kembali. Raja pun keluar dan terjadilah pertemuan baginda dengan Si Luncai buat kali kedua. “Apa yang terjadi kepada kamu?” tanya baginda.
“Alhamdulillah, patik sekarang telah insaf … patik akan menjadi orang alim. Patik tidak perlukan apa-apa lagi dalam hidup ini.” “Apa yang terjadi kepada kamu?” “Patik telah sampai ke alam arwah dan bertemu dengan arwah-arwah orang yang telah mati … termasuk arwah ayah patik dan Almarhum ayahanda tuanku.” “Almarhum ayahanda beta? Bagaimana gerangannya di sana?”
“Ampun, tuanku. Almarhum sangat dukacita kerana perbuatan tuanku.” “Apa yang beta lakukan?” “Entahlah, Almarhum cuma berdiam diri. Katanya baginda ingin bertemu sendiri dengan tuanku untuk memberi nasihat,” kata Si Luncai. “Bagaimana, bolehkah beta bertemu ayahanda beta?” “Masakan tidak, hamba yang hina ini pun boleh, apalagi tuanku yang mulia.”
Si Luncai tersenyum dalam hatinya. Perangkapnya sudah mengena. Raja yang zalim tapi bodoh itu akan berjaya dijeratnya. “Bagaimanakah caranya?” tanya raja. “Begini … tuanku hendaklah masuk ke dalam laut dalam peti yang dilubangi. Patik dahulu pun begitu juga. Di dasar lautlah akan berlaku pertemuan itu nanti.”
Tanpa berfikir panjang, raja pun bersetuju. Pendek cerita, raja pun dibuang ke laut di dalam peti yang berlubang. Apalagi, air pun masuk dan raja pun mati lemas. Si Luncai lari menyembunyikan diri dan tidak diketahui lagi keadaan dan nasibnya selepas itu.
Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah Si Luncai ini? Selain daripada keburukan akibat keceluparan berkata-kata, cerita yang sarat dengan unsur satira ini penuh dengan sindiran dan pengajaran yang sangat tajam dan menusuk hati.
Iktibar dari kisah Si Luncai
1) Si Luncai adalah ‘gambaran’ orang bawahan yang berdepan dengan kezaliman orang atasannya. Walaupun tanpa kuasa dan senjata, Si Luncai berjaya mengalahkan raja berbekalkan minda, keberanian dan kemahuan.
2) Cerita ini juga mengisahkan bagaimana akibat buruk yang boleh menimpa rakyat jika diperintah secara zalim oleh seorang pemerintah yang ego dan dungu. Pemerintah yang begini bukan sahaja berpotensi memporak-perandakan negara bahkan akhirnya memakan diri sendiri.
3) Kisah Si Luncai juga memaparkan bagaimana ‘agama’ dan ‘kerohanian’ boleh dijadikan ‘alat’ untuk mengeksploitasi orang lain demi kepentingan diri dan puak.
4) Penguasaan ilmu dengan konsep ‘knowledge is power’ (pengetahuan itu kuasa) semakin dominan dalam konteks k-ekonomi sekarang ini. Penguasaan ilmu semakin penting justeru ia sangat dominan peranannya dalam bidang ekonomi, ketenteraan, sosial dan lain-lain. Si Luncai moden boleh jadi mampu menguasai sebuah negara dan dunia dengan ilmunya, justeru ilmu lebih berpengaruh daripada harta dan senjata.
Kesimpulannya janganlah kita terjebak dengan strategi Si Luncai, sama ada kita dikenakan oleh orang lain atau kita menggunakannya untuk memanipulasi orang lain. Sikap dan akhlak yang ditunjukkan oleh Si Luncai tidak sejajar dengan akhlak Islam. Perwatakan raja yang zalim dan dungu pula adalah ciri kepimpinan yang tidak boleh ada pada seseorang pemimpin.
Strategi ‘Si Luncai’ telah digunakan dengan maksud jahat dan sesat. Ramai yang tertipu oleh kelicikan Si Luncai jika tidak punya keberanian, ilmu asas yang kukuh dan dihantui oleh dosa-dosa silam. Orang yang boleh ditipu hanya orang yang dungu. Orang yang boleh digertak, hanya orang yang banyak salah. Si Luncai tahu itulah hakikat raja yang sedang dihadapinya.
Oleh hal yang demikian kita perlu memastikan diri kita sentiasa dipersiapkan dengan ilmu agar tidak menjadi mangsa Si Luncai. Memiliki ilmu sahaja tidak memadai kerana ilmu tanpa kekuatan rohani boleh menjadikan kita sesat lagi menyesatkan.
Ilmu tanpa bimbingan tauhid dan iman kan menjadikan kita manusia yang rakus, tamak dan haloba. Perkara inilah nanti yang mendorong seseorang itu untuk menggunakan kepandaian dan kecerdikannya untuk mengambil kesempatan terhadap orang lain. Sepatutnya ilmu yang kita ada kita gunakan untuk membantu orang lain.
Gambar dan cerita si luncai diambil dari blog gentarasa. Cerita disesuaikan untuk titipan warga SMK Kulai Besar. Semoga kita semua bergerak ke hadapan mengorak langkah sebagai orang yang bijaksana tetapi benar dari cara dan tingkah kita.
AZMAN BIN SAFII