Oleh;
Shamsuddin bin Haron
Pegawai SIPartner+, PPD Kluang
PERTEMUAN
PERTAMA
Alhamdulillah. Aku amat
bersyukur ditakdirkan untuk bertemu dengan Pengetua SMK Seri Kota Paloh,
Kluang. Riak wajahnya yang riang dan senyumannya yang sentiasa terukir ketika
menyambut kehadiranku membuatkan aku berasa selesa bersamanya.
“Diam tak diam, dah dua
minggu tuan haji di sekolah ini ” aku mulakan bicara.
“Iya betul, dua minggu
yang sangat panjang. Tak ada seorang pun pegawai dari PPD mahupun JPN yang
datang menjengah. Satu-satunya pegawai yang menghubungi saya melalui telefon
adalah Timbalan Pengarah. Beliau memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk
membangunkan sekolah ini” jawabnya
dengan nada yang agak serious.
Aku dapat menyelami
perasaannya kerana beliau sebelum ini telah menjadi pengetua di sebuah sekolah
Band 4 yang sudah mula meningkat maju dan terletak tidak berapa jauh dari
bandar Kluang. Namun sebaliknya, SMK Seri Kota Paloh pula merupakan sebuah
sekolah Band 6 yang terletak agak jauh di luar bandar dan masih belum ada
sebarang pencapaian yang membanggakan.
“Insya Allah, walaupun
agak mencabar, saya yakin tuan haji boleh bangunkan sekolah ini. Saya akan cuba
membantu setakat yang saya mampu” aku menawarkan perkhidmatanku.
“Sebenarnya, saya
memang menunggu-nunggu kehadiran SIPartner+. Dalam masa dua minggu ini saya dah
buat environmental scanning. Saya dah
banyak dapat maklum balas daripada guru, murid dan ibubapa. Saya dah mula
memahami masalah sekolah ini dan sedang berbincang dengan penolong-penolong
kanan untuk mengambil tindakan yang perlu. Sekarang ni, saya perlukan bantuan
SIPartner+ supaya kami semua berada pada landasan yang betul”, beliau
menyatakan hasratnya dengan penuh semangat dan nada yang bersungguh-sungguh.
Aku yakin, sekolah ini
mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan dengan komitmen yang tinggi
daripada kepimpinannya. Bermula dari pertemuan pertama inilah aku mula kerap
mengunjungi beliau untuk berbincang dan membantu dalam mengenalpasti isu dan
masalah sebenar, menetapkan matlamat yang hendak dicapai, mengenalpasti dan
memilih intervensi yang bersesuaian, merancang dan melaksanakan intervensi yang
ditetapkan dengan berkesan, membuat pemantauan dan penilaian yang menyeluruh
serta membuat refleksi bagi membolehkan usaha-usaha pembetulan dan
penambahbaikan dapat dilaksanakan.
LATAR
BELAKANG SEKOLAH
SMK Seri Kota Paloh
merupakan sekolah harian yang terletak di
Paloh, salah sebuah pekan yang terletak di daerah Kluang. Sekolah ini
adalah sebuah sekolah baharu yang ditubuhkan pada tahun 2010 dan terletak kira-kira 36 km dari bandar Kluang.
Sekolah ini menawarkan
pendidikan mulai Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Sehingga 31 Ogos 2016 enrolmen
murid ialah 305 orang murid. Seramai 125 muridnya adalah berbangsa Melayu, 98
adalah berbangsa Cina manakala 82 adalah berbangsa India. SMK Seri Kota Paloh
mempunyai seramai 32 orang guru dan 5 orang kakitangan pejabat. Kebanyakan
tenaga kerja SMK Seri Kota Paloh terdiri daripada golongan muda dengan lebih
daripada 50 peratus (20 orang) masih berumur di bawah 35 tahun.
Dari aspek demografi
lokasi penempatan, hampir 50 peratus (148 orang) murid tinggal di kawasan
ladang berhampiran yang jaraknya antara 3 km hingga 26 km. Sejumlah 14 buah
ladang di sekitar menjadi tempat mencari rezeki ibu bapa murid sebagai pekerja
ladang. Manakala selebihnya tinggal di kawasan kampung dan taman perumahan
berhampiran sekolah. Dari aspek
pendidikan keluarga, data yang diperolehi oleh sekolah menunjukkan tiada
seorang pun daripada ibu bapa murid yang mendapat pendidikan tinggi sehingga ke
peringkat Diploma di IPTA mahupun IPTS.
ISU DAN MASALAH
Masalah kehadiran murid
dikenalpasti sebagai faktor penyumbang utama terhadap pencapaian akademik yang
rendah. Melalui tinjauan dan perbincangan dengan kaunselor, latar belakang
keluarga dan tempat tinggal ini mempunyai perkaitan yang rapat dengan masalah
ketidakhadiran murid ke sekolah yang amat serius. Keadaan ini menjadi semakin
serius sekiranya hujan turun pada awal pagi. Sehingga 28 Mei 2014, purata
kehadiran murid adalah rendah (87.3 peratus) berbanding sasaran yang ditetapkan
oleh Jabatan Pendidikan Johor (95 peratus).
Sekiranya tidak ditangani segera, banyak implikasi negatif mungkin akan
berlaku kepada sekolah. Oleh itu, melalui pengetua, aku cuba membantu sekolah
untuk menyelesaikan isu ini.
Natijahnya, sekolah
mengambil tindakan mengenal pasti punca-punca masalah tersebut dengan
menggunakan beberapa management tools.
Berdasarkan punca-punca yang dikenal pasti, sekolah mendapati bahawa faktor
utama ramai murid tidak hadir ke sekolah adalah disebabkan proses pembelajaran
dan pengajaran (PdP) di dalam bilik darjah yang dianggap membosankan.
Sehubungan itu, strategi
untuk meningkatkan minat murid terhadap PdP melalui projek yang diberi nama fun learning telah dirancang dan
dilaksanakan. Konsep “Fun Learning” ini
adalah berasaskan kepada idea keseronokan dalam pembelajaran yang mengutamakan
pendekatan berpusatkan murid seperti lakonan, main peranan, permainan dan
penggunaan ICT. Sementara itu, satu program sokongan yang diberi nama Program
Psikososial “Engagement” (PRIME) telah digunakan sebagai strategi untuk membina
kejelekitan dengan murid, ibu bapa dan komuniti ke arah peningkatan kehadiran
dan prestasi sekolah.
PROJEK
FUN LEARNING
Projek Fun Learning telah dilaksanakan di SMK
Seri Kota Paloh mulai Jun 2014. Projek ini berasaskan kepada idea yang telah
dilaksanakan di sekolah rendah iaitu dengan mengutamakan pendekatan berpusatkan
murid. Projek ini dilaksanakan berasaskan kepada masalah kehadiran murid yang
dihadapi oleh sekolah ini. Oleh itu, matlamat projek ini adalah untuk meningkatkan
peratus kehadiran murid yang masih jauh daripada sasaran yang ditetapkan oleh Jabatan
Pendidikan Negeri Johor. Secara tidak
langsung, projek ini juga diharapkan berupaya untuk meningkatkan kualiti pengajaran
guru hasil daripada kreativiti dan inovasi mereka menerapkan elemen fun dalam melaksanaan proses PdP.
Fokus Projek Fun Learning ini adalah murid Tingkatan
5 yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Projek ini juga
amat penting bagi meningkatkan imej SMK Seri Kota Paloh, Pejabat Pendidikan
Daerah Kluang dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Hal ini kerana sekolah ini berada pada band dan ranking paling
bawah dalam negeri Johor. Tambahan pula, isu ini juga berkait rapat dengan
faktor kepercayaan ibu bapa terhadap sekolah.
Proses perancangan dan
pelaksananaan projek ini bermula dengan identifikasi masalah yang dihadapi oleh
pihak sekolah. Daripada 6 masalah yang disenaraikan, para pentadbir sekolah
bersama kaunselor telah berbincang dan membuat sumbangsaran bagi mengenal pasti
masalah paling utama yang perlu diatasi segera. Hasil daripada brainstorming dan analisis SMART masalah
utama yang dipilih ialah masalah kehadiran murid ke sekolah.
Masalah ini perlu
diatasi segera kerana gejala ini boleh membawa kepada pelbagai masalah lain
seperti masalah sosial. Hal ini kerana ketidakhadiran murid atau gejala ponteng
menyebabkan murid terdedah untuk mengadakan pelbagai aktiviti tanpa kawalan
seperti vandalisme, berpeleseran, mencuri, melakukan maksiat dan pelbagai
aktiviti sosial yang lain. Masalah
kehadiran yang berpunca daripada kebosanan murid dengan kaedah PdP guru pula
didapati merupakan faktor penyumbang yang paling utama. Bertitik tolak daripada
punca masalah inilah pemilihan Projek Fun
Learning telah dibuat.
Sementara itu, kerangka
projek yang dibina bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan lancar
telah melalui proses pengurusan melibatkan konsep Plan, Do, Check and Action (PDCA). Beberapa alat kualiti seperti Analisis
5W1H, Analisis Why-Why dan Tulang Ikan Ishikawa turut digunakan. Sehubungan
itu, projek ini dirancang dan dilaksanakan secara terperinci. Proses pengawalan
dan refleksi juga diberi penegasan bagi memastikan usaha-usaha penambahbaikan dilaksanakan.
Gambarajah yang berikut adalah antara
contoh alat kualiti yang digunakan:
Pelaksanaan
perojek ini telah dapat menggerakkan warga pendidik untuk mengubah cara mereka
berfikir dan bertindak ke arah pendekatan yang lebih kreatif dan inovatif dalam
mewarnai proses pendidikan untuk membina anak bangsa. Guru sebagai fasilitator mula
melaksanakan pelbagai aktiviti menarik. Murid bebas bersuara tetapi dalam
suasana yang terkawal. Murid juga bebas bergerak tetapi juga dalam keadaan yang
terkawal. Tiada unsur kalah atau menang dalam menjayakan permainan atau kuiz.
Namun, PdP berkonsepkan fun learning ini amat menitikberatkan aktiviti secara
berkumpulan atau berpasangan yang berfokus kepada pembelajaran murid.
Sebagai langkah
pengukuhan, aktiviti pembelajaran dalam pasukan (team learning) telah diberi penekanan. Setiap panitia diminta
mengamalkan konsep perkongsian. Guru diminta berbincang dalam kumpulan professional learning community (PLC)
mengikut mata pelajaran agar pelaksanaan elemen fun learning dapat diterapkan secara lebih berkesan. Setiap GKMP
diminta menyelaraskan kumpulan PLC bagi setiap mata pelajaran di bawah
pentadbiran masing-masing. Hasil daripada perbincangan menerusi PLC panitia,
pelbagai kaedah fun ditemui dan
dilaksanakan. Ringkasnya
pelbagai aktiviti PdP yang menarik telah dapat dihasilkan. Hal ini disebabkan
guru-guru diberi ruang dan peluang untuk berbincang dan berkongsi idea dalam
melaksanakan aktiviti dalam bilik darjah semasa pertemuan PLC mata pelajaran dilaksanakan.
Pada masa yang sama, aktiviti
pengukuhan turut dilaksanakan menerusi kaedah kumpulan Whatsapp. Sehubungan itu, satu kumpulan perbincangan melalui
aplikasi telefon pintar Whatsapp
telah dicipta bagi membolehkan perkongsian ilmu (knowledge sharing) berlaku dalam kalangan guru secara santai tanpa
mengira masa dan tempat. Mereka juga boleh berkongsi bahan berkaitan dengan
pelajaran seperti gambar, nota dan video secara atas talian.
Aspek pengiktirafan
turut menjadi elemen penting bagi memperkukuhkan pelaksanaan projek ini. Pengiktirafan
semerta telah dibuat dalam bentuk lisan seperti ucapan tahniah dalam pelbagai
mesyuarat bersama guru dan ucapan penghargaan ketika berjumpa dengan guru.
Selain itu, rakaman dan gambar juga diambil bagi guru yang menyahut cabaran fun learning. Ini bertujuan supaya guru rasa
dihargai dan sekolah serius dengan amalan fun
di dalam bilik darjah.
Bagi mengawal dan
menilai projek fun learning beberapa
kaedah telah dilaksanakan antaranya melalui :
a.
Mesyuarat Pengurusan Sekolah
b.
Temubual bersama murid dan guru
c.
Buku
Rekod Persediaan Mengajar
d.
Pencerapan guru
Setelah Projek Fun Learning ini dilaksanakan, dapatan berikut
telah diperolehi:
a.
Peratus kehadiran murid telah meningkat.
b.
Guru menjadi lebih kreatif dalam merancang
aktiviti di dalam bilik darjah dengan menggunakan pelbagai kaedah yang menarik
c.
PLC menjadi amalan untuk meningkatkan kualiti
PdP.
d.
Pencapaian murid dan prestasi akademik sekolah
meningkat.
PROJEK PRIME
Program
Psikososial “Engagement” atau
ringkasnya PRIME merupakan satu program sokongan yang dirancang dan
dilaksanakan bagi membina kejelekitan dengan murid, ibu bapa dan komuniti dalam
usaha ke arah meningkatkan kehadiran murid dan prestasi sekolah. Oleh itu, program ini disasarkan kepada tiga
kelompok tersebut dengan aktiviti yang berbeza untuk PRIME Murid, PRIME Ibu
Bapa dan PRIME Komuniti.
PRIME
Murid dilaksanakan bagi tujuan untuk membenteras gejala ponteng dalam kalangan
murid. Oleh itu, beberapa aktiviti yang bersesuaian telah dilaksanakan bagi
mencapai tujuan ini. Antaranya, aktiviti melibatkan konsep guru penyayang yang
dijenamakan sebagai “Secret Recipe”.
Melalui program ini, hari lahir murid diraikan berdasarkan bulan mereka lahir.
Istimewanya, pengetua dan guru-guru menyuapkan kek harijadi tersebut kepada
murid-murid yang diraikan.
Sementara itu, program “Amazing Month” pula bertujuan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan terhadap murid yang mencapai rekod kehadiran penuh (100%) dalam sesuatu bulan. Murid-murid tersebut diberikan ais krim sebagai perangsang untuk terus hadir ke sekolah. Istemewanya, Pengetua dan guru-guru menyuapkan ais krim tersebut kepada murid-murid sebagai simbolik terhadap kasih sayang mereka terhadap murid-murid berkenaan. Projek Baju Raya Jakel pula dilaksanakan bagi membantu murid-murid yang kurang berkemampuan untuk mendapat bekalan sepasang baju raya yang ditaja oleh oleh pihak Jakel.
Sementara itu, program “Amazing Month” pula bertujuan untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan terhadap murid yang mencapai rekod kehadiran penuh (100%) dalam sesuatu bulan. Murid-murid tersebut diberikan ais krim sebagai perangsang untuk terus hadir ke sekolah. Istemewanya, Pengetua dan guru-guru menyuapkan ais krim tersebut kepada murid-murid sebagai simbolik terhadap kasih sayang mereka terhadap murid-murid berkenaan. Projek Baju Raya Jakel pula dilaksanakan bagi membantu murid-murid yang kurang berkemampuan untuk mendapat bekalan sepasang baju raya yang ditaja oleh oleh pihak Jakel.
PRIME
Ibu Bapa pula disasarkan kepada kumpulan ibu dan bapa murid. Tujuannya bukan
sahaja untuk membenteras gejala ponteng dalam kalangan murid, malah ia menjadi
wadah untuk menyebarkan maklumat tentang kepentingan pendidikan dan
perkembangan pendidikan anak-anak mereka. Oleh itu, aktiviti Jalinan Mesra dan
Program Audit Total telah dilaksanakan bagi mencapai tujuan ini.
Aktiviti
Jalinan Mesra merupakan konsep penyebaran
maklumat tentang kepentingan pendidikan di sekolah serta perkongsian teknik ‘parenting’
daripada beberapa penceramah jemputan (secara mengikut kaum) kepada ibu bapa di
SMK Seri Kota Paloh. Sementara itu, Program Audit Total pula memberi fokus terhadap penglibatan ibu bapa dalam
pembangunan diri dan pendidikan anak-anak mereka. Mereka diberi ruang dan
peluang untuk berbincang dengan pihak sekolah berkaitan kemajuan anak-anak
mereka terutama dari aspek perkembangan akademik, sahsiah dan psikologi mereka.
PRIME Komuniti pula
disasarkan kepada ahli masyarakat setempat terutama mereka yang terlibat secara
langsung atau tidak langsung dengan
pihak sekolah. Tujuannya adalah untuk membina hubungan dan kerjasama bagi membantu
sekolah dalam pelbagai urusan seperti melaksanakan tindakan bersama dalam
mengatasi masalah ketidakhadiran. Program Kembara Pendidikan dan Projek
Empatisme pula merupakan program outreach
bagi membolehkan pihak sekolah menjalin hubungan dengan komuniti melalui
pelaksanaan aktiviti berbentuk kebajikan, pendidikan dan khidmat sosial.
Natijahnya, persepsi
ibu bapa dan masyarakat terhadap fungsi sekolah dan peranan pendidikan mula berubah ke arah yang
lebih positif. Penerimaan dan kepercayaan mereka terhadap sekolah, pengetua dan
guru-guru turut bertambah baik. Peratus kehadiran ibu bapa dalam aktiviti
sekolah turut meningkat dengan mendadak. Mereka memberi kerjasama yang sangat
baik sehingga pelibatan mereka dalam PIBG dan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB)
sangat aktif dan pelbagai aktiviti tambahan telah dilaksanakan untuk
kepentingan pendidikan anak-anak mereka.
IMPAK
PROGRAM
Intervensi Projek Fun Learning dan Projek PRIME yang
dilaksanakan telah memberi impak yang besar terhadap peningkatan kehadiran
murid dan prestasi sekolah. Kehadiran murid telah meningkat dari 85.23% pada
tahun 2013 kepada 89.49% (2014) dan 94.6% (2015).
Sementara itu, peratus
kehadiran murid dalam kelas tambahan juga turut meningkat daripada 80.5% (2014)
kepada 91.6% (2015). Peratus kehadiran murid dalam Perkampungan Akademik juga
turut meningkat daripada 86% (2014) kepadaa 100% (2015).
Sementara itu,
pencapaian sekolah dalam akademik juga turut meningkat secara tekal. GPS
sekolah dalam Peperiksaan Percubaan SPM
bertambah baik daripada 7.89 pada tahun 2013 kepada 6.87 (2014) dan 6.02
(2015). Begitu juga dengan pencapaian SPM sebenar, GPS sekolah bertambah baik
iaitu daripada 7.65 pada tahun 2013 kepada 6.43 (2014) dan 5.55 (2015).
Berdasarkan
peningkatkan tersebut, Band sekolah juga turut meningkat dari Band 6 pada tahun
2013 kepada Band 5 pada tahun 2014 dan 2015 dengan Skor Komposit meningkat dari
46.71 (2013) kepada 52.44 (2014) dan 53.82 (2015). Oleh sebab itu, ranking
sekolah turut berganjak daripada 2289/ 2312 pada tahun 2013 kepada 2196/ 2301
(2014) dan 1725/ 2272 (2015). Lonjakan ini juga telah membolehkan sekolah ini
dicalonkan untuk menerima New Deal 2016.
ANUGERAH
DAN PENGIKTIRAFAN
Berdasarkan perkembangan
yang berlaku, SMK Seri Kota Paloh telah memperolehi pelbagai anugerah dan
pengiktirafan. Pihak Pejabat Pendidikan Daerah Kluang telah memberi Anugerah
Peningkatan Kehadiran Tertinggi, Anugerah Lonjakan Saujana dalam SPM 2015
(Peringkat Daerah dan Negeri) dan Anugerah Peningkatan Band Prestasi SKPM Tahun
2014.
Sementara itu, Projek
PRIME pula telah mendapat pengiktirafan yang tersendiri. Pihak sekolah telah menerima Anugerah PIBK
Cemerlang, sementara Pengetua pula dinobatkan sebagai Tokoh Inovasi Unit
Bimbingan dan Kaunseling Daerah Kluang. Kemuncaknya, sekolah telah menjadi
Johan dalam Amalan Terbaik Perkhidmatan Kaunseling di peringkat
Negeri Johor dan Kebangsaan pada tahun 2015.
Ekoran kejayaan sekolah
dalam PIBK, PLUS Pintar telah menghulurkan perkhidmatan dan sumbangan untuk
menjayakan program smart partnership. Melalui
program ini, murid-murid telah berpeluang menyertai beberapa pertandingan di
peringkat kebangsaan. Hasilnya, mereka telah berjaya menjadi Johan dalam
Pertandingan MyCity 2050 anjuran Pintar PLUS dan CIDB dengan membawa pulang
hadiah berupa piala dan wang tunai sebanyak RM6000 serta mendapat tempat ke-10
dalam pertandingan Mural anjuran Pintar PLUS dengan ganjaran wang tunai sebanyak RM5000.
Akhirnya, SMK Seri Kota
Paloh telah diiktiraf sebagai Sekolah Showcase Fun Learning dan Showcase PIBK. Pengetua sekolah ketika itu iaitu
Tuan Haji Shaharudin Basri bin Ibrahim telah membuat pembentangan tentang
Projek Fun Learning di satu saminar peringkat kebangsaan di
Institut Aminuddin Baki dan telah dinobatkan sebagai Projek Terbaik CPD untuk
High Performing Leader (HPL). Sebagai sekolah showcase, pelbagai organisasi dan
agensi luar seperti PPD, MPSM dan sekolah telah membuat lawatan penanda aras ke
SMK Seri Kota Paloh. Malah, pengetua turut membuat pembentangan dan perkongsian
tentang projek ini di beberapa daerah dan negeri di Malaysia.
Sementara
itu, inisiatif Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) sekolah ini turut
menerima pelbagai pengiktirafan. Sekolah telah dianugrahkan sebagai PIBK Cemerlang
(2014) dan Ikon PIBK (2015) di peringkat
PPD Kluang dan dinobatkan sebagai Johan PIBK Peringkat Negeri Johor bagi kategori sekolah
cemerlang (2016).
Malah, pengetuanya telah diminta untuk membuat
perkongsian dengan beberapa sekolah, PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)
dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Beliau turut dilantik menjadi
Jurulatih Utama PIBK di peringkat KPM. Sebagai Sekolah Showcase PIBK, sekolah
telah dilawati oleh pelbagai pihak dari peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat
yang lebih tinggi. Istimewanya, sekolah telah dilawati oleh rombongan dari Kumpulan
Penggerak Sarana Kebangsaan (KPSK), pegawai-pegawai dari Bahagian Pengurusan Sekolah
Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (BPSH) dan Pegawai Meja PIBK di JPN
Johor.
NOTA
HUJUNG
Kepimpinan
merupakan satu seni untuk mempengaruhi
aktiviti-aktiviti sekumpulan manusia supaya berusaha secara sukarela dalam
organisasi ke arah penentuan dan pencapaian matlamat organisasi. Oleh itu,
pemimpin sekolah perlu mempunyai kebolehan untuk mempengaruhi
subordinat membuat usaha dan mengambil tindakan yang berkesan bagi
mencapai matlamat untuk meningkatkan prestasi dan
pencapaian sekolah. Keupayaan ini telah digunakan sepenuhnya oleh Pengetua SMK
Seri Kota Paloh dalam usaha untuk melonjakkan sekolahnya ke tahap yang lebih
tinggi.
Melalui Projek Fun Learning dan
Projek PRIME, pengetua sekolah ini telah dapat mempengaruhi dan menggerakkan
seluruh warganya ke arah pencapaian matlamat untuk meningkatkan prestasi murid
dan sekolah. Dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, akhirnya inisiatif ini
telah memberi impak yang sangat positif terhadap perkembangan dan pembangunan
murid, guru, ibu bapa dan komuniti sekitarnya. Malah, sekolah telah menerima
pelbagai anugerah dan pengiktirafan dari pelbagai pihak dan agensi.
Kemuncaknya, pengetua sekolah ini telah dilantik menjadi Ketua Pegawai
Pendidikan Daerah Kluang mulai Februari 2016. Didoakan agar beliau terus maju
dan berjaya dalam profesion dan kerjayanya.
Sesungguhnya, kisah kejayaan SMK Seri Kota Paloh mencipta sejarah
tersendiri untuk meningkatkan pencapaian akademik murid dan seterusnya keluar
dari kelompok Band 6 mempunyai pelbagai ibrah yang boleh dipelajari. Semoga
coretan ini manjadi sumber inspirasi kepada warga pendidik untuk lebih komited
dan tidak mudah mengaku kalah dalam menelusuri liku-liku perjuangan mendidik
anak bangsa. Selamat berjuang. Terus perjuangan anda. Semoga kita bertemu di
puncak kejayaan.
PENGHARGAAN
Saya ingin
merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada
semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam
menjayakan penulisan buku kecil ini terutamanya kepada penama yang berikut:
Tuan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah
Kluang
Tuan Pengetua SMK Seri Kota Paloh
Pegawai-Pegawai SIPartner+ PPD Kluang
Penolong-Penolong Kanan SMK Seri Kota
Paloh
Guru-Guru Kanan Mata Pelajaran SMK
Seri Kota Paloh
Kaunselor SMK Seri Kota Paloh
Guru-Guru SMK Seri Kota Paloh
Murid-Murid SMK Seri Kota Paloh
YDP PIBG SMK Seri Kota Paloh dan
semua ahli jawatankuasanya
PIBK SMK Seri Kota Paloh
Dan semua pihak yang terlibat.
Semoga
jasabaik dan sumbangan bakti tuan/ puan menjadi amal jariah yang diberi
ganjaran pahala dan kebaikan oleh Allah S,W.T.
No comments:
Post a Comment