Ahad, Mac 27, 2011

KHUTBAH JUMAAT : BERIMAN DENGAN HARI KIAMAT

Jumaat (19-Dec-2008) 21hb Zulhijjah 1429H



Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang yang mendapat rahmat Allah Subhanahu Wata'ala di dunia mahupun di akhirat.

Sebagai umat Islam kita wajib beriman kepada Rukun Iman yang enam yang salah satu daripadanya ialah Percaya kepada Hari Kiamat. Hari Kiamat yang disebut juga hari kebangkitan itu tetap akan berlaku, hanya manusia tidak mengetahui bilakah berlakunya kecuali Allah Subhanahu Wata'ala.

Pada hari itulah seluruh umat manusia akan dihimpunkan untuk dihisab segala amal perbuatan mereka yang telah dilakukan ketika berada di dunia dan akan menerima pembalasan yang setimpal dari amal yang mereka kerjakan dari Allah Subhanahu Wata'ala dengan seadil-adilnya.

Apabila datangnya Hari Kiamat, ketika itulah sangkakala ditiup dan seluruh makhluk yang hidup di dunia ini akan mati. Ketika kejadian dahsyat itu menimpa dunia, berlakulah goncangan bumi yang amat menggerikan, langit-langit beserta isi alam ini akan menjadi kacau-bilau, bumi digoncangkan dengan sedahsyat-dahsyatnya, gunung-ganang berterbangan dan hancur luluh dengan sehancur-hancurnya, bintang-bintang berguguran, matahari telah digulung sehingga tidak bercahaya lagi, lautan yang besar meluap-luap dengan gelombang yang bergulung-gulung menghancurkan dan menelan setiap yang ada di permukaan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Haaqqah ayat 13-15 tafsirnya :

"Kemudian ketahuilah bahawa apabila ditiup sangakakala dengan sekali tiup dan bumi serta gunung-ganang diangkat dari tempatnya lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur, maka pada saat itu berlakulah Hari Kiamat".

Begitulah dahsyatnya keadaan Kiamat pada tiupan sangkakala yang pertama itu sehingga jika ada para ibu yang menyusukan anak akan menjadi bingung, wanita-wanita hamil menjadi keguguran, manusia berlari-lari kebingungan dan ketakutan. Mereka seperti dalam keadaan mabuk akibat terlalu ketakutan. Begitulah azab Allah yang amat berat lagi mengerikan.

Ahli Jumaat sekalian,

Setelah berlaku tiupan sangkakala yang pertama, Allah memerintahkan Malaikat Israfil meniup sangakakala kali kedua untuk kebangkitan semula. Pada kali ini, semua manusia akan diadili berdasarkan amalan mereka di dunia dahulu. Mereka tidak akan dizalimi, tidak akan diseksa kecuali disebabkan dosa mereka.

Semua ini berdasarkan catatan dua Malaikat yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk mencatat segala kebaikan dan keburukan yang dilakukan oleh umat manusia ketika di dunia tanpa sedikit pun ditambah atau dikurangi dari amal-amal perbuatan yang pernah dilakukan, hatta sebesar zarrah akan tetap diadili oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Catatan tersebut ditutup apabila manusia telah mati tetapi setelah tiba hari pengadilan, buku amal itu diberikan serta dibuka di hadapan mereka masing-masing.

Pada ketika itu manusia akan mengetahui amal kebaikan atau keburukan yang mereka lakukan ketika berada di dunia. Di saat itu tiada siapa yang dapat mengubah catatan berkenaan. Masing-masing akan menerima hasil perbuatan mereka dalam bentuk buku catatan amalan mereka. Jika diberi dan diterima dengan tangan kanan, berbahagialah si penerimanya kerana itulah tanda bahawa kenikmatan hidup di Syurga bakal menantinya.

Syurga merupakan balasan dan ganjaran yang penuh kenikmatan dan kebahagiaan bagi mereka yang beriman dan bertakwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang berjuang di jalan Allah, menegakkan kebenaran, mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Tetapi amat malang bagi mereka yang menerima buku catatan amalan mereka dengan tangan kiri kerana balasan ke atas mereka adalah neraka yang disediakan bagi mereka yang ingkar kepada Allah Subhanahu Wata'ala, manusia yang zalim, yang kafir, yang ingkar kepada kebenaran Al-Quran dan orang yang suka berbuat kemaksiatan semasa hidupnya di dunia. Pada ketika itu barulah mereka berkata menyesal. Ini jelas disebutkan dalam Surah Al Haaqqah ayat 27-29 tafsirnya :

"Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahannya, tidak dibangkitkan lagi). Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikit pun, kuasa-kuasaku dan hajat-hajatku membela diri telah dibinasa dan hilang lenyap dariku".

Ketika itu Malaikat penjaga neraka diperintahkan menangkap orang-orang yang berdosa itu serta membelenggu mereka, kemudian mereka dibayar di neraka jahanam. Tubuh mereka dibelit dengan lingkaran rantai besi yang ukuran panjangnya 70 hasta.

Demikianlah gambaran betapa dahsyatnya Hari Kiamat atau hari kebangkitan itu kerana itulah peringatan ini diulang-ulang oleh Allah Subhanahu Wata'ala di dalam Al-Quran agar manusia menjadikannya pengajaran, peringatan serta iktibar sehingga mereka tidak tergolong di kalangan orang-orang yang sesat dan ingkar akan kebenaran hari pembalasan tersebut.

Ahli Jumaat sekalian,

Ingatlah bahawa dunia ini hanya pinjaman dan inilah ketikanya untuk kita menentukan masa depan kita di akhirat nanti. Jika kita seorang yang taat perintah Allah pasti kegembiraan dan kebahagiaan yang akan diperolehi tetapi jika seorang yang ingkar perintah Allah, hidup bergelombang dosa dan maksiat, maka kesengsaraanlah yang akan menanti.

Bukankah Allah telah memperingatkan bahawa sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum melainkan merekalah yang merubahnya. Kerana itu kita perlu sedar jika kita telah banyak melakukan kesalahan dan dosa, bertaubatlah dengan segera. Jangan tunggu sehingga nyawa di kerongkong baru hendak bertaubat kerana pada ketika itu tidak ada gunanya lagi.

Oleh itu sebagi umat Islam amalkanlah ajaran Islam itu secara menyeluruh, bukan sebahagian-sebahagiannya sahaja. Kerjakanlah segala yang diperintahkan Allah meskipun berat, tinggalkan segala yang dilarang walaupun pada kebiasaannya maksiat dan dosa itu menjanjikan keindahan dan keseronokkan, sedangkan hakikatnya akan mendatangkan kesusahan dan kesengsaraan di akhirat kelak.

Apakah dengan peringatan Allah tentang Hari Kiamat kelak kita masih belum mahu insaf dan sedar? Ingatlah bahawa penyesalan pada hari itu sudah tiada ertinya lagi. Oleh itu jika kita mahu selamat di dunia dan di akhirat, berpegang teguhlah kepada ajaran Al-Quran kerana sesungguhnya Al-Quran itu tetap menjadi peringatan dan pedoman bagi orang-orang yang bertakwa. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah At-Takwiir ayat 26-29 tafsirnya :

"Dengan yang demikian, maka kemanakah kamu hendak pergi kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran? Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan Islam yang betul. Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu mengenai sesuatu pun. Kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam".

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Buatlah perhitungan ke atas diri kita sebelum kita diperhitungkan. Jangan lalai dan leka dengan keseronokkan dunia semata-mata. Beramallah sebelum terlambat dengan memperbanyakkan istighfar, taubat dan muhasabah diri sendiri. Ingatlah hidup ini hanya sementara dan amal kebaikan sahaja yang akan dapat menolong dan menyelamatkan kita di Hari Kiamat kelak. Mudah-mudahan dengan demikian kita menjadi hamba Allah yang akan mendapat husnul khatimah (kesudahan yang baik) dan bukan suhul khatimah (kesudahan yang buruk). Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Az Zalzalah ayat 6-8 tafsirnya :

"Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam supaya diperlihatkan kepada mereka balasan pekerjaan mereka. Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat balasannya. Barangsiapa yang mengerjakan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat balasannya pula".

daripada;
http://www.religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_info&pg=bm_info_khutbah&ac=328

Rabu, Mac 16, 2011

Pesan Imam Al Ghazali

JANGAN KAHWINI WANITA YANG ADA 6 SIFAT



Pesanan Rasulullah S.A.W untuk kaum Lelaki : "Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang ANANAH, yang MANANAH, dan yang HANANAH dan jangan engkau kahwini yang HADAQAH, yang BASAQAH dan yang SYADAQAH".

1.Wanita Ananah : wanita yang banyak mengomen itu dan ini. Apa yang diberi atau dilakukan suami untuk rumahnya tangga semua tidak kena dan tidak berpuas hati.

2.Wanita Mananah : wanita sebegini yang menidakkan usaha dan jasa suami sebaliknya mendabik dada dialah yang banyak berkorban untuk membangun rumah tangga. Dia suka mengungkit-ungkit apa yang dilakukan untuk kebaikan rumah tangga. Biasanya wanita ini bekerja atau berkedudukan tinggi dan bergaji besar.

3.Wanita Hananah : Menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain dan wanita ini berangan-angan mendapatkan suami yang lebih baik dari suami yang sedia ada. Dalam kata lain wanita sebegini tidak bersyukur dengan jodohnya itu. Wanita sebegini yang mengkufuri nikmat perkahwinan. Dia juga merendahkan kebolehan dan kemampuan suaminya.

4.Wanita Hadaqah : melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya selain itu wanita ini suka ikut nafsunya. Wanita sebigini memeningkan kepala lelaki. Dia tenguk apa saja dia mahu. Dia suka membandingkan dirinya dengan diri orang lain. Suka menunjuk-nujuk. Wanita inilah yang menjadikan suami dulu handsome sekarang suah botak.

5. Wanita Basaqah : Terdapat dua makna:

Pertama wanita sebegini yang suka bersolek dan menghiaskan diri. Dia menghias diri bukan untuk sumainya tetapi untuk ditunjuk-tujukkan kepada dunia. Suka melawa. Wangnya dihabiskan untuk membeli make-up, kasut dan barang kemas. Wanita begini juga suka dipuji-puji. Kalau dia kebetulan menjadi isteri orang ternama dan menjadi pula ketua dalam kumpulan itu, orang lain tidak boleh mengatasi dirinya.

Kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

6.Wanita Syadaqah : banyak cakap, tidak menentu lagi bising. Kebecokan itu juga menyebabkan segala kerja yang dibuatnya tidak menjadi, hanya tukang sibuk dan komen saja.


---Dicatat oleh Imam Al-Ghazalli...Wallahu'alam.
Semoga kita dijauhi daripada golongan wanita sebegini... Amin. Tapi kalau dah terkawin juga, redha dan anggaplah itu sudah ketentuan Ilahi.

Bahan dikirim oleh UPDAZ

Sabtu, Mac 12, 2011

Kisah Tikus Kecil

Seekor Tikus tanah yang kecil ingin melihat dunia. Sebelum ini dia mendengar cerita bahwa di bawah sinar matahari ada gunung yang hijau, dan air yang membiru. 

Ikan-ikan berenang-renang dengan riang di kolam-kolam, di pinggir sungai pula, bunga-bunga yang indah bermekaran, di atas pepohonan penuh dengan buah-buahan, dan burung merak yang warna-warni bertenggek diatas dahan. Ada pula burung pipit bernyanyi dengan gembira.

Semua cerita ini sangat menggoda, sehingga tikus tanah kecil ingin segera keluar melihat semua pemandangan ini.

Setelah menembus ke permukaan tanah, tikus tanah kecil dengan gembira meloncat kesana kemari. Hanya beberapa langkah dia meloncat, dia mendengar ibunya mengejarnya dan dengan lembut berkata:

“Sayangku, engkau tidak boleh berenang, sungai dan kolam kecil walaupun terlihat indah, tetapi jika engkau jatuh ke dalamnya engkau boleh mati.”

"Lalu saya harus bagaimana wahai bondaku?” Tikus tanah kecil membalikkan badannya bertanya kepada bondanya.

“Engkau harus hati-hati, tidak boleh mendekati sungai dan kolam,” sahut bondanya.

“Baiklah bonda, saya akan selalu mengingatnya.” Tikus kecil membalikkan badan dan berjalan dengan perlahan.

“Tunggu sebentar sayangku,”

Belumpun tikus tanah kecil melangkah beberapa langkah, ibunya memanggilnya lagi, “Bonda lupa mengingatkan kamu, buah-buahan di atas pohon sangat banyak dan besar, kalau jatuh akan menimpa kamu, itu sangat berbahaya!”

“Aduhai bondaku, pesnan ini sangat mengerikan, apakah ada cara untuk mencegahnya?”

Tikus tanah kecil setelah mendengar perkataan bondanya menjadi ketakutan.

“Harus selalu diingat, jangan berjalan di bawah pohon!”

"Baiklah bonda...." Tikus tanah kecil menjawab perkataan bondanya dengan lemas sambil perlahan-lahan melangkahkan kakinya.

Tidak berapa lama kemudian bondanya mengejar dari belakang sambil berteriak lagi,

“Anakku, engkau mungkin belum pernah mendengar bahwa ketika engkau berjalan di semak belukar, kemungkinan helang terbang mendekati dan menerkam engkau, dan ketika engkau berjalan di jalan pegunungan, kemungkinan boleh bertemu dengan harimau, jika engkau tidak berhati-hati, maka saya tidak akan bertemu dengan kamu lagi, jangan lupa pesanan ini anakku!”

“Lalu saya harus bagaimana bonda?” Jawab tikus tanah kecil dengan gelisah hampir menangis.

“Ketika engkau melangkah selangkah, engkau harus berhenti melihat kanan-kiri, atas-bawah, setelah itu baru melanjutkan langkah berikutnya.”

Bondatikus tanah berpesan kepada tikus tanah kecil, “Sayangku, bonda tidak mampu berbuat apa-apa lagi, engkau teruskanlah perjalananmu saja!”

Bonda tikus tanah kembali masuk ke dalam gua, keesokan harinya dia melanjutkan pekerjaannya menggali terowong, dia menghidu adanya seekor tikus tanah yang sedang menggali terowongan dari arah yang berlainan, ketika terowongan terbuka, dia terperanjat melihat rupanya anaknya yang berada di sana.

“Anakku, kenapa engkau masih disini?” Bonda tikus tanah bertanya, “Bukankah katamu engkau ingin melihat dunia luar?”

“Benar bonda, namun, setelah mendengar pesan-pesan bonda kemarin, akhirnya saya memutuskan lebih bagus saya hanya di dalam gua ini menggali terowongan, bukankah itu lebih selamat.” Jawab tikus tanah kecil dengan suara lemas.

Sampai sekarang, tikus tanah kecil tidak pernah lagi mempunyai impian melihat permukaan tanah yang indah, sampai kedua matanya benar-benar rabun dan tidak boleh melihat apa-apa lagi



ikuti Kisah Tikus - Bahagian 2

Ahad, Februari 27, 2011

Merealisasikan Satu Hasrat - Murid Cemerlang, Guru Gemilang, Sekolah Terbilang



Sepanjang empat tahun saya berada di SMK Kulai Besar, saya sedar bahawa baju yang kita ukur untuk sekolah kita selama ini sekadar bersaiz “S” sahaja. Sebelum ini strategi yang kita gunakan ialah strategi kura-kura sebagai pencetus semangat.

Mengikut strategi ini, kita tidak terlalu mementingkan kedudukan, sebaliknya kita cukup selesa dengan bidalan "biarlah perlahan asalkan maju ke hadapan". Apa yang diutamakan ialah peningkatan minimum 3 peratus setahun dalam peperiksaan awam (PMR dan SPM).

Kini dalam mengimbau liku-liku perjalanan sepanjang 24 tahun penubuhannya, pelbagai suka duka telah ditempuhi oleh warga SMK Kulai Besar. Kita bukan sekadar pernah jatuh terduduk, telentang malah pernah tersungkur dalam keputusan PMR dan SPM.

Namun sepekara yang membanggakan ialah setiap kali kita terungkur dan terjatuh, kita bingkas bangkit kembali. Kita bersatu hati, membuat muhasabah diri, mengkaji dan melihat kelemahan sendiri bagi membaiki prestasi. Buktinya pencapaian SPM 2009 kita bukan setakat berdiri bahkan terus melompat setelah jatuh beberapa kali.

Dari perspektif sejarah pula, kita pernah berada pada kedudukan terbaik dalam pencapaian SPM di daerah Kulai iaitu pada tahun 1995. Perkara inilah sepatutnya kita jadikan iktibar bahawa kita tidaklah seburuk mana, bahkan kita boleh menjadi yang terbaik sekiranya kita mahu mengulangi kejayaan itu dengan sedikit usaha yang luar dari kebiasaan. 

Melihat kekuatan yang kita miliki dan disertai dengan keazaman yang kuat di bawah kepimpinan pengetua baru, Pn Hajah Fouziah binti Abu Hamid, maka telah tiba masanya untuk kita warga SMK Kulai Besar untuk membuat anjakan ke arah perubahan.

Justeru itu pada tahun 2011 ini, SMK Kulai Besar mensasarkan kecemerlangan dalam segenap bidang bagi meletakkan sekolah pada kedudukan yang terbaik dalam daerah dan dalam negeri Johor, khususnya dalam pencapaian PMR, SPM dan Kokurikulum. 

Tahun ini SMK Kulai Besar memasang cita-cita yang amat besar, iaitu kita tidak mahu lagi bercakap tentang peningkatan peratusan dan GPS sahaja, tetapi kita mahu mengorak langkah untuk membuat lonjakan bagi memastikan kedudukan SMK Kulai Besar sama ada dalam PMR mahupun SPM dapat diperbaiki. Sasaran yang rasional ialah sekurang-kurangnya tempat ke 8 dalam daerah..

Bagi mencapai hasrat ini kisah Arnab dan Kura-kura tidak kita lupakan begitu sahaja. Dua watak itu tetap menjadi inspirasi untuk kita mengorak langkah ke hadapan. Bezanya, kita sekadar mengambil nilai-nilai baik dari arnab dan kura-kura iaitu kita gunakan kepantasan sang Arnab dan disepadukan dengan konsitensi kura-kura untuk dijadikan budaya dan amalan dalam kita berfikir dan bertindak.

Menyedari hakikat ini dan sedar bahawa persekitaran sekolah yang kondusif amat penting dalam menyediakan suasana pembelajaran yang berkesan, maka usaha untuk mengindahkan persekitaran sekolah dan melangkapkan infrasturuktur sekolah menjadi fokus utama untuk tiga bulan pertama sesi persekolahan 2011 di bawah kepimpinan pengetua.

Segala sumber dan tenaga telah digembeling membabitkan PIBG, PPD, JPN dan KPM bagi mengatasai kekurangan yang ada. Matalamat fokus pertama ini ialah apa yang sepatutnya ada, ada, berfungsi dan dimanfaatkan.

Segala tindakan vendalisme yang selama ini ditanggung oleh pihak sekolah akan ditangani dengan cara yang sistematik dan konstruktif, berasaskan prinsip siapa yang buat dia yang tanggung. Jerih dan usaha ini akhirnya membuahkan hasil apabila untuk awal tahun 2011 ini, SMK Kulai Besar berjaya menguruangkan masalah kekurangan kerusi dan meja yang meruncing sebagaimana dialami saban tahun.

Fokus kedua yang diberi pertimbangan oleh kepimpinan sekolah ialah pemantapan disiplin dan sahsiah murid. bagi tujuan ini sistem pengurusan disiplin telah dimantapkan sama ada dalam aspek pengurusan dan juga program penambahbaikan.

Walaupun perubahan yang ketara masih belum dapat dirasakan namun sekiranya semua guru berganding bahu dan berkerjasama serta menari mengikut rentak yang dipalukan oleh kepimpinan Unit HEM, saya sangat positif bahawa semua murid SMK Kulai Besar akan dibentuk ke arah satu budaya baru, budaya belajar, budaya menghormati dan menghargai sebagaimana yang kita hasratkan.

Sekiranya ini dapat dicapai dan kesinambungan usaha ini berterusan maka saya yakin bahawa sekolah kita pasti mampu membuat lonjakan dalam pencapaian akadmik. Inilah fokus terakhir yang menjadi tumpuan kepimpinan sekolah iatu Fokus Kecemerlangan Akademik.

Sama-samalah kita bertekad untuk menjadikan sekolah yang seronok untuk para pentadbir mengurus sekolah, tempat yang seronok untuk guru mengajar dan pekerja bekerja dan yang terpenting tempat yang paling seronok untuk semua murid belajar dan beraktiviti dalam memacu kecemerlangan diri merentasi kurikulum, sahsiah dan kokurikulum.

"BERDISIPLIN, BERUSAHA DAN BERBAKTI"

Kursus Kepimpinan Pengawas 2011



Savannah Hill, Ulu Tiram - 27 Februari , Seramai 81 pengawas SMK Kulai Besar telah menyertai Kursus Kepimpinan Pengawas yang telah dianjurkan oleh Unit HEM. Kursus berlangsung selama dua hari iatu dari 26 - 27 Februari, turut disertai oleh sembilan guru pembimbing yang berperanan selaku urus setia dan pengendali kursus.

Kursus ini diadakan adalah sejajar dengan hasrat Unit HEM menjadikan Badan pengawas sebagai entiti penting dalam memantapkan disiplin dan pembangunan modal insan. Majlis persamian telah disempurnakan oleh Puan Hajah Fouziah binti Abu Hamid, Pengetua SMK Kulai Besar.

Semasa menyampaikan ucapan, Puan Hajah Fouziah antara lain menyeru agar semua pengawas sentiasa bertanggungjawab dan menjaga kredebiliti selaku pemimpin. Pengawas juga perlu mempunyai jati diri untuk mendepani segala cabaran dan rintangan yang dihadapi dengan penuh kekuatan sama ada dari segi fizakal, mental dan emosi.

Sebahagian Peserta Kursus Bergambar Bersama Pentadbir Sekolah -
dari kiri En Masa'ud (PK HEM), Pn. Hjh. Fouziah (Pengetua) dan
En Azman (Penolong Kanan)

Artikel Popular