Sepanjang empat tahun saya berada di SMK Kulai Besar, saya sedar bahawa baju yang kita ukur untuk sekolah kita selama ini sekadar bersaiz “S” sahaja. Sebelum ini strategi yang kita gunakan ialah strategi kura-kura sebagai pencetus semangat.
Mengikut strategi ini, kita tidak terlalu mementingkan kedudukan, sebaliknya kita cukup selesa dengan bidalan "biarlah perlahan asalkan maju ke hadapan". Apa yang diutamakan ialah peningkatan minimum 3 peratus setahun dalam peperiksaan awam (PMR dan SPM).
Kini dalam mengimbau liku-liku perjalanan sepanjang 24 tahun penubuhannya, pelbagai suka duka telah ditempuhi oleh warga SMK Kulai Besar. Kita bukan sekadar pernah jatuh terduduk, telentang malah pernah tersungkur dalam keputusan PMR dan SPM.
Namun sepekara yang membanggakan ialah setiap kali kita terungkur dan terjatuh, kita bingkas bangkit kembali. Kita bersatu hati, membuat muhasabah diri, mengkaji dan melihat kelemahan sendiri bagi membaiki prestasi. Buktinya pencapaian SPM 2009 kita bukan setakat berdiri bahkan terus melompat setelah jatuh beberapa kali.
Dari perspektif sejarah pula, kita pernah berada pada kedudukan terbaik dalam pencapaian SPM di daerah Kulai iaitu pada tahun 1995. Perkara inilah sepatutnya kita jadikan iktibar bahawa kita tidaklah seburuk mana, bahkan kita boleh menjadi yang terbaik sekiranya kita mahu mengulangi kejayaan itu dengan sedikit usaha yang luar dari kebiasaan.
Melihat kekuatan yang kita miliki dan disertai dengan keazaman yang kuat di bawah kepimpinan pengetua baru, Pn Hajah Fouziah binti Abu Hamid, maka telah tiba masanya untuk kita warga SMK Kulai Besar untuk membuat anjakan ke arah perubahan.
Justeru itu pada tahun 2011 ini, SMK Kulai Besar mensasarkan kecemerlangan dalam segenap bidang bagi meletakkan sekolah pada kedudukan yang terbaik dalam daerah dan dalam negeri Johor, khususnya dalam pencapaian PMR, SPM dan Kokurikulum.
Tahun ini SMK Kulai Besar memasang cita-cita yang amat besar, iaitu kita tidak mahu lagi bercakap tentang peningkatan peratusan dan GPS sahaja, tetapi kita mahu mengorak langkah untuk membuat lonjakan bagi memastikan kedudukan SMK Kulai Besar sama ada dalam PMR mahupun SPM dapat diperbaiki. Sasaran yang rasional ialah sekurang-kurangnya tempat ke 8 dalam daerah..
Bagi mencapai hasrat ini kisah Arnab dan Kura-kura tidak kita lupakan begitu sahaja. Dua watak itu tetap menjadi inspirasi untuk kita mengorak langkah ke hadapan. Bezanya, kita sekadar mengambil nilai-nilai baik dari arnab dan kura-kura iaitu kita gunakan kepantasan sang Arnab dan disepadukan dengan konsitensi kura-kura untuk dijadikan budaya dan amalan dalam kita berfikir dan bertindak.
Menyedari hakikat ini dan sedar bahawa persekitaran sekolah yang kondusif amat penting dalam menyediakan suasana pembelajaran yang berkesan, maka usaha untuk mengindahkan persekitaran sekolah dan melangkapkan infrasturuktur sekolah menjadi fokus utama untuk tiga bulan pertama sesi persekolahan 2011 di bawah kepimpinan pengetua.
Segala sumber dan tenaga telah digembeling membabitkan PIBG, PPD, JPN dan KPM bagi mengatasai kekurangan yang ada. Matalamat fokus pertama ini ialah apa yang sepatutnya ada, ada, berfungsi dan dimanfaatkan.
Segala tindakan vendalisme yang selama ini ditanggung oleh pihak sekolah akan ditangani dengan cara yang sistematik dan konstruktif, berasaskan prinsip siapa yang buat dia yang tanggung. Jerih dan usaha ini akhirnya membuahkan hasil apabila untuk awal tahun 2011 ini, SMK Kulai Besar berjaya menguruangkan masalah kekurangan kerusi dan meja yang meruncing sebagaimana dialami saban tahun.
Fokus kedua yang diberi pertimbangan oleh kepimpinan sekolah ialah pemantapan disiplin dan sahsiah murid. bagi tujuan ini sistem pengurusan disiplin telah dimantapkan sama ada dalam aspek pengurusan dan juga program penambahbaikan.
Walaupun perubahan yang ketara masih belum dapat dirasakan namun sekiranya semua guru berganding bahu dan berkerjasama serta menari mengikut rentak yang dipalukan oleh kepimpinan Unit HEM, saya sangat positif bahawa semua murid SMK Kulai Besar akan dibentuk ke arah satu budaya baru, budaya belajar, budaya menghormati dan menghargai sebagaimana yang kita hasratkan.
Sekiranya ini dapat dicapai dan kesinambungan usaha ini berterusan maka saya yakin bahawa sekolah kita pasti mampu membuat lonjakan dalam pencapaian akadmik. Inilah fokus terakhir yang menjadi tumpuan kepimpinan sekolah iatu Fokus Kecemerlangan Akademik.
Sama-samalah kita bertekad untuk menjadikan sekolah yang seronok untuk para pentadbir mengurus sekolah, tempat yang seronok untuk guru mengajar dan pekerja bekerja dan yang terpenting tempat yang paling seronok untuk semua murid belajar dan beraktiviti dalam memacu kecemerlangan diri merentasi kurikulum, sahsiah dan kokurikulum.
"BERDISIPLIN, BERUSAHA DAN BERBAKTI"
No comments:
Post a Comment