Sabtu, Ogos 04, 2012

Kita berada pada landasan yang betul...usaha tangga kejayaan!

 
SEMASA SAYA menghadiri satu mesyuarat di peringkat KPM, terdapat larangan keras terhadap peserta yang merokok di hotel penginapan khususnya di bilik mesyuarat. Merokok tidak dibenarkan langsung....namun salah seorang urusetia yang prihatin terhadap keperluan dan memahami masalah perokok tegar (mungkin dia juga merokok), lantas menyampaikan pesanan... "merokok tidak dibenarkan sama sekali di dalam dan di luar bilik mesyuarat ini, namun kepada yang mahu merokok juga, perlulah berusaha....usaha TANGGA kejayaan".

Pesanan ini disambut gembira oleh sebahagian besar peserta kerana ia membawa maksud kepada peserta yang mahu merokok bolehlah merokok di tangga kecemasan hotel tersebut. Ini adalah contoh kreativiti dan kemahiran dalam berkomunikasi di mana mesejnya tidak menyingung hati dan perasaan mana-mana pihak, khususnya perokok tegar.

Cerita ini bagaimanapun hanyalah selingan. Perkara yang ingin saya sampaikan di sini ialah KITA BERADA PADA LANDASAN YANG BETUL...oleh itu teruskanlah usaha dalam melaksanakan program-program kecemerlangan yang telah dirancang bagi mempersiapkan anak-anak didik dan ayam tambatan yang akan kita pertaruhkan dalam peperiksaan PMR dan SPM 2012....USAHA TANGGA KEJAYAAN!

Berdasarkan Audit Akademik Peperiksaan pertengahan Tahun yang telah dijalankan oleh PPD Kulaijaya pada 2 Ogos 2012, pencapaian sekolah kita berada pada landasan yang betul dengan mengambilkira perbandingan pencapaian dengan sekolah-sekolah menengah di daerah Kulaijaya. Pada peringkat Tingkatan 3 kita telah mencatatkan peratus kelulusan 32.44% (133/410 daripada jumlah calon). GPS pula mencatat 3.53 mata.

Pencapaian ini meletakkan SMK Kulai Besar berada pada kedudukan ke-6 dari segi peratus dan ke-7 dari segi GPS dalam peringkat daerah Kulaijaya. Pada peringkat Tingkatan 5, daripada 319 calon yang menduduki peperiksaan pertengahan tahun, 59.25 % calon telah mencapai tahap menguasai dengan GPS mencatatkan 6.49 mata. Catatan ini meletakkan SMK Kulai Besar berada pada kedudukan ke-10 dari segi peratus dan kedudukan ke-3 dari segi GPS pada peringkat daerah Kulaijaya.

Bukanlah kedudukan itu yang menjadi keutamaan kita, tetapi pencapaian ini menjadi indikator terhadap di mana kita berada sekarang dan seterusnya membuat perancangan pada sisa-sisa masa yang berbaki yang walaupun singkat tetapi masih sempat. Berdasarkan analisis trend lima tahun, jika pencapaian ini dapat dipertahankan atau ditingkatkan dalam peperiksaan percubaan nanti, maka saya optimis untuk mengatakan bahawa sasaran ETR PMR dan SPM 2012 nanti boleh dicapai.

Oleh itu kepada semua guru di SMK Kulai Besar bersama-samalah kita tingkatkan tekad dan kuatkan semangat untuk memimpin anak didik kita dalam mempersiapkan diri bagi menduduki peperiksaan PMR dan SPM dengan kejayaan. Segala program yang telah dirancang perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Keletihan dalam melaksanakan ibadah puasa dan kesibukan dalam membuat persiapan Hari Raya bukanlah satu halangan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita dalam mendidik anak bangsa.

Dalam melaksanakan program kecemerlangan dan penambahbaikan sekolah, kita perlu melaksanakannya berdasarkan analisis persekitaran sekolah. Perkara ini sangat penting kerana setiap sekolah mempunyai budaya yang tidak sama dan tidak semestinya program yang berkesan di sekolah lain sesuai untuk SMK Kulai Besar. Murid, guru dan persekitaran sekolah adalah berbeza, namun segala program yang baik dan sesuai boleh dilaksanakan bagi tujuan penambahbaikkan sekolah.

Saya berharap guru-guru berada dalam keadaan yang bersedia dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan program-program pecutan akhir iaitu; Program Halus, Kem Endurance, Sentuhan Gemilang, Jejak Gemilang, Modul Tiga Aras, Mastery Learning, I Impian, Menjejak Bintang dan program-program peringkat panitia yang lain. Sama-samalah kita berusaha dan teruskan berusaha kerana USAHA TANGGA KEJAYAAN.

Khamis, Julai 26, 2012

Kepercayaan dan Disiplin Pemacu Kecemerlangan Diri


Salam Sejahtera Salam Perpaduan dan Salam Satu Malaysia kepada seluruh warga SMK Kulai Besar. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh warga sekolah yang beragama Islam.Saya berharap agar Ramadan kali ini dapat ditempuhi dengan penuh kesabaran serta  dapat disempurnakan pada tahap yang lebih baik sama ada dari segi kualiti dan kuantiti. 

Kualiti merujuk kepada kesempurnaan dalam melaksanakan ibadah puasa ini dengan mengikut adab sama ada pada zahir mahupun dari segi batinnya. Kuantiti yang saya maksudkan pula adalah merujuk kepada jumlah hari ibadah puasa yang dapat disempurnakan. Walaupun saranan ini  agak pelik dan kelakar tetapi inilah hakikat yang berlaku dalam kalangan murid di sekolah ini  iaitu ada murid yang tidak berpuasa. Bukan sehari dua bahkan lebih banyak bilangan hari tidak berpuasa berbanding hari berpuasa. 

Oleh itu tanamkanlah azam agar Ramadan kali ini dapat ditingkatkan bilangan hari berpuasa berbanding tahun-tahun yang lalu. Saya percaya saranan ini agak unik, tetapi biarlah perubahan itu berlaku berdikit-dikit berbanding tidak berubah langsung. Saya juga berharap agar semua warga sekolah ini menghormati bulan Ramadan. Menghormati Bulan Ramadan bermaksud murid-murid yang beragama Islam tidak makan atau minum secara terbuka sepanjang bulan Ramadan, tidak membawa makanan ke sekolah di samping menjaga akhlak zahir dan batin. 

Kepada murid-murid bukan Islam, tiada halangan untuk makan dan minum seperti biasa, tetapi perlulah menghormati murid Islam dengan tidak makan di khalayak ramai melainkan di kawasan kantin sekolah sahaja.Pada minggu ini kita berada dalam minggu ke-27. Secara logik dan matematik kita telah melepasi sempadan separuh perjalanan bagi sesi persekolahan 2012. Oleh itu saya menyeru kepada semua murid-murid agar sentiasa kekal fokus kepada persiapan dalam menghadapi ujian dan peperiksaan yang akan dilaksanakan pada awal Ogos nanti. 

Murid tingkatan 1 dan tingkatan 4 perlu bersedia untuk Ujian 2 yang akan dilangsungkan pada 10 hingga 17 Ogos nanti. Murid Tingkatan 3 pula akan menduduki Peperiksaan Percubaan PMR mulai 9 hingga 17 Ogos 2012, manakala murid tingkatan 5 bakal menduduki Percubaan SPM yang akan berlangsung dari 30 Ogos hingga 21 September 2012. Semua murid perlu menganggap ujian dan peperiksaan tersebut sebagai penting dan perlu membuat persiapan yang rapi untuk menghadapinya. 

Peperiksaan Percubaan PMR dan SPM akan dimasukkan markah secara dalam talian dan akan memberikan gambaran keupayaan dan persiapan murid dalam menghadapi PMR dan SPM yang sebenar. Ujian 2 yang bakal diduduki oleh murid tingkatan 1, 2 dan 4 pula akan dapat dijadikan kayu ukur sejauh manakah penguasaan anda dalam mengikuti pelajaran dan hasil pembelajaran. Walaupun Ujian 2 dan peperiksaan percubaan PMR dan SPM dilaksanakan pada peringkat sekolah namun pencapaiannya akan memberi kesan kepada  pemarkahan dalam aspek kemenjadian murid dalam penarafan SKPM. Jika murid menunjukkan pencapaian yang cemerlang ia akan memberi kesan peningkatan terhadap indeks kemenjadian murid dalam bidang akademik. 

Adalah menjadi harapan semua individu untuk menjadi seseorang yang cemerlang. Sama ada pada peringkat negara, komuniti, ibu bapa, guru mahupun peringkat murid-murid, kecemerlangan bukan sekadar diimpikan tetapi menjadi destinasi yang dituju. Untuk menjadi seorang yang cemerlang ia bermula dengan keazaman dan diterjemahkan dalam bentuk usaha, ikhtiar, amalan dan tindakan. Justeru itu kepercayaan adalah prasyarat utama yang menjadi kunci untuk membuka pintu kecemerlangan. 

Kepercayaan adalah elemen penting dalam menuju kecemerlangan kerana kepercayaan akan menjadikan kita lebih yakin terhadap kemampuan diri. Tanpa adanya sifat percaya maka tiadalah keyakinan kepada diri dan pihak sekolah. Jika ini berlaku maka anda telah menempah kegagalan. Kepercayaan dalam konteks ini ialah percaya bahawa anda boleh dan mempunyai potensi untuk menjadi murid yang cemerlang. 

Kepercayaan juga merujuk kepercayaan bahawa sistem pendidikan di negara ini dan guru-guru di sekolah ini mampu untuk membimbing anda semua menjadi murid yang cemerlang. Sebagai bukti kepercayaan anda terhadap pihak sekolah khususnya guru-guru maka semua murid harus menunjukkan sikap yang berikut;  

a) Penyerahan diri; bermaksud komited terhadap program-program kecemerlangan sekolah, akur dan tidak membantah di samping yakin dan percaya bahawa guru-guru di sekolah ini mempunyai kompeten. 

b) Hadir ke sekolah; bermaksud hadir dari segi fizikal dan mental, tidak ponteng sekolah dan ponteng kelas. Hadirkan hati, hadirkan minda dan hadirkan jiwa ketika sesi pengajaran dan pembelajaran guru.  

c) Keterlibatan; bermaksud semua murid perlu melibatkan diri salam semua program kecemerlangan sekolah. Kos, masa, kesukaran dan ketidakselesaan tidak dijadikan halangan dan kekangan untuk melibatkan diri dalam program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. 

d) Mematuhi arahan; akur dan patuh kepada arahan guru sepanjang masa di sekolah. Anggaplah guru sebagai jurulatih yang boleh membantu membentuk pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi insan yang cemerlang. 

Di samping menanamkan kepercayaan terhadap kebolehan diri dan guru-guru, murid juga perlu mempunyai disiplin diri untuk menjadi murid yang cemerlang. Disiplin adalah istilah yang kerap kita dengar di sekolah ataupun di rumah. Disiplin mempunyai kaitan yang rapat dengan kejayaan dalam apa jua bidang. Secaranya umumnya disiplin bermaksud mengikut peraturan. Mudah bunyinya, kerana sekiranya anda sentiasa mengikut peraturan maka anda akan dikatakan seorang yang berdisiplin. 

Disiplin dalam konteks ini ialah disiplin dalam belajar, iaitu satu amalan yang membuatkan anda melakukan kerja-kerja bagi mencapai matlamat anda walaupun anda tidak terasa untuk melakukannya. Sebagai contoh mungkin dalam kalangan anda yang malas dan tidak mahu bangun pagi semata-mata untuk mengulang kaji pelajaran, tetapi anda kuatkan semangat dan bangun juga untuk belajar. Jadi apakah kuasa yang mendorong anda untuk bangun ? Jawapannya adalah disiplin. 

Sekiranya anda bertekad untuk membuat latihan menjawab satu set soalan kertas 1 (Sejarah 40 soalan)pada setiap hari, apakah yang boleh memastikan anda benar-benar berjaya melakukannya ? Jawapannya ialah disiplin ! disiplin ! disiplin !. Disiplin adalah pendorong kepada anda untuk; 

a) Terus melakukan sesuatu walaupun rasa hendak berhenti; 

b) Terus melakukan sesuatu yang dirancang walaupun anda tidak suka melakukannya pada peringkat awal; dan 

c) Meneruskan usaha walaupun anda rasa seolah-olah telah berputus asa. Kesimpulannya kepercayaan dan disiplin perlu ada pada anda jika mempunyai impian untuk menjadi murid yang cemerlang.


(Penulisan ini disesuaikan daripada ucapan yang disampaikan semasa Perhimpunan Rasmi Minggu ke-27 pada Isnin, 23 Julai 2012)

Selasa, Julai 10, 2012

Teks Ucapan : Alu-aluan Pengetua Pada Majlis Perasmian Kejohanan Padang dan Balapan Kali Ke-22


TEKS UCAPAN ALU-ALUAN TUAN PENGETUA SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KEJOHANAN PADANG DAN BALAPAN
KALI KE-22 TAHUN 2012


Yang berbahagia, Yang Berhormat Chong Chin Liang, ADUN BUKIT BATU

Yang Dihormati, Datin Hasnah Binti Md Sem Pegawai PPD Daerah Kulaijaya

Yang Dihormati, Encik Samsol Kamal Bin Mat Nasir YDP Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Kulai Besar.

Yang Berusaha, Penolong-penolong Kanan, Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, Ahli Jawatankuasa PIBG, guru-guru, tuan-tuan, puan-puan dan semua murid yang dikasihi sekalian.

Salam sejahtera, Salam perpaduan   dan Salam Satu Malaysia

Saya mengambil  kesempatan ini  mengucapkan selamat datang  dan terima kasih atas kesudian YB Chong Chin Liang  untuk hadir dan seterusnya merasmikan  Kejohanan Padang dan Balapan SMK Kulai Besar kali Ke-22, 2012.

Sidang hadirin yang berbahagia.

Aktiviti sukan telah pun dijadikan sebagai fokus dalam sistem pendidikan pada hari ini yang akan menjadi aktiviti yang wajib dijalankan sepanjang tahun. Jadi, kejohanan Padang dan Balapan sekolah merupakan suatu wahana untuk mencapai wawasan negara dalam pembudayaan sukan dalam kalangan murid sekolah. Budaya sukan dalam kalangan semua murid adalah untuk memperlengkap kecemerlangan sistem pendidikan bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan holistik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek ke arah pembinaan negara bangsa Malaysia.

Saudara dan saudari sekalian,

Pihak sekolah sentiasa mendukung hasrat KPM dengan sentiasa responsif terhadap keperluan pelajar ke arah pemupukan dan membina bakat bagi murid yang berkecenderungan memilih  kerjaya mereka dalam apa jua bidang sukan. Dasar 1 Murid 1Sukan yang diperkenalkan mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun.

Dasar ini sebenarnya selaras dengan Dasar Sukan Negara yang bermatlamat untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat. Dasar sukan Negara  dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan kepada semua murid. Bagi strategi Sukan untuk Kecemerlangan pula, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi akan terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendukung aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu.

Hadirin yang dihormati,

Selain memupuk perpaduan dalam kalangan murid berlainan bangsa, aktiviti sukan juga dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Aktiviti  seperti ini memberikan akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid zaman ini cenderung mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik sahaja dan beranggapan aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka. Jadi, mereka perlu disedarkan tentang kepentingan aktiviti sukan yang turut dinilai bagi melayakkan mereka memasuki pusat pengajian tinggi kelak.

Hadirin sekalian,

Aspek-aspek yang saya sebutkan ini amat penting sekali dalam usaha kerajaan kita untuk membina negara bangsa, membangunkan modal insan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

Sebagai mengakhiri ucapan alu-aluan ini, sekali saya ingin mengambil kesempatan pada pagi yang meriah ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Chong Chin Liang, Datin Hasnah Binti Md Sem, YDP PIBG serta para tetamu yang telah sudi menerima undangan kami pada Majlis Perasmian Temasya Sukan Olahraga Tahunan kali yang ke-22, SMK Kulai Besar.

Sekian, terima kasih.

Teks Ucapan : Majlis Perasmian Kejohanan Padang dan Balapan SMK Kulai Besar

TEKS UCAPAN PERASMIAN
YANG BERHORMAT EN CHONG CHIN LIANG,
ADUN BUKIT BATU
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
KEJOHANAN PADANG DAN BALAPAN
KALI KE-22 TAHUN 2012


Yang Dihormati, Datin Hasmah Binti Md Sem Pegawai PPD Daerah Kulaijaya;

Yang Dihormati, Encik Samsol Kamal Bin Mat Nasir, YDP Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Kulai Besar;

Yang Dihormati, Puan Tan Moi Yan, Pengetua SMK Kulai Besar;
Yang Berusaha, Penolong-penolong Kanan, Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, AHli Jawatankuasa PIBG, guru-guru, tuan-tuan, puan-puan dan semua murid yang dikasihi sekalian.

Salam sejahtera, Salam perpaduan dan Salam Satu Malaysia
Saya amat gembira pada hari ini kerana dapat meluangkan masa bersama-sama warga sekolah ini pada Majlis Perasmian Kejohanan Padang  dan Balapan SMK Kulai Besar kali Ke-22, 2012

Sidang hadirin yang berbahagia.
Bidang sukan merupakan antara platform terbaik untuk melahirkan murid-murid yang cergas fizikal dan mental. Menerusi latihan yang konsisten dan seimbang daripada pelbagai aspek yang merangkumi minda, fizikal, otot, saraf dan emosi, sukan juga mampu membentuk seorang murid yang cergas, patuh dengan aturan dan secara tidak langsung  membentuk seorang atlet yang  berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai  jati diri yang kental serta mempunyai daya kepimpinan.

Hadirin yang dihormati,
Dasar 1 Murid 1 Sukan merupakan satu langkah yang tepat untuk mencapai matlamat tersebut. Dasar  yang mewajibkan setiap murid yang sihat mengikuti sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah bukan sahaja mampu mengembalikan kemeriahan sukan di sekolah dan merapatkan silaturrahim warga sekolah dan masyarakat setempat,  malahan, pendekatan ini akan menjadi pemangkin ke arah kejayaan yang lebih cemerlang.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Kejohanan  ini tidak semata-mata menentukan juara dan pemenang bagi sesuatu acara, perkara yang lebih penting ialah kejohanan ini memberikan pendidikan secara tidak langsung kepada murid-murid dan atlet bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan pengorbanan. Tidak ada kejayaan yang mudah dicapai melainkan melalui perjuangan yang berterusan. Kejohanan ini juga adalah landasan ke arah perpaduan, menjalin sifat hormat-menghormati dan semangat kerjasama yang tinggi. Matlamat akhirnya nanti adalah untuk membentuk sebuah masyarakat dan warganegara yang berjiwa kental, patriotik dan saling berkasih sayang.
 
Kegiatan sukan yang berterusan akan menjadi satu daripada benteng yang menjadi penghalang kepada murid-murid daripada terlibat dalam pelbagai aktiviti yang tidak sihat. Melalui latihan persiapan mental dan spiritual, seseorang atlet itu dilatih agar mempunyai daya saing dan semangat yang tinggi. Kita harus  sedar bahawa melalui kegiatan sukan, kita mampu membangun modal insan yang berkualiti dan insan yang memiliki minda kelas pertama yang menjadi peneraju negara pada masa hadapan .Melalui kegiatan sukan bukan sahaja akan melahirkan pelajar yang sihat fizikalnya tetapi pelajar yang memiliki cergas mindanya.

Hadirin yang dikasihi

Aktiviti sukan  juga berupaya memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Rakyat tidak harus alpa dengan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu ialah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertoleransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama.

Sebagai mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada AJK Pengelola kerana telah dapat menganjurkan Kejohanan Olahraga SMK Kulai Besar kali yang ke-22 dengan jayanya. Kepada para atlet yang mengambil bahagian dan  meraih pingat kejohanan selepas ini,  saya ucapkan tahniah dan kepada yang tidak berjaya janganlah berputus asa, kerana penyertaan anda sudah pun menunjukkan bahawa anda telah mencipta kerjaya

SAYA DENGAN INI MERASMIKAN KEJOHANAN PADANG DAN BALAPAN  SMK KULAI BESAR   KALI KE -22 .
Sekian, terima kasih.

Isnin, Jun 25, 2012

Gurindam Tonggak Dua Belas


Jika kita berhajat untuk menjadi pemimpin yang hebat, amalkan ilmu kepimpinan yang telah dipelajari dari IAB atau dari mana-mana sahaja yang diperoleh, ikhlaskan hati dalam setiap amalan dan tindakan dan satu lagi hayatilah gurindam ini.....

Gurindam Tonggak 12


Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.
Setiap orang hendaklah menghargai masa, dan tidak wajar bertangguh dalam sesuatu kerja.

Ketekunan akan membawa kejayaan,
Kegigihan bekerja dengan keupayaan.
Tumpuan terhadap sesuatu kerja hingga selesai akan membolehkan matlamat seseorang atau sesuatu organisasi tercapai. Kerja dilakukan dengan gigih (cekal, rajin) walaupun banyak cabarannya.

 
Wajah ceria keseronokan bekerja,
Usah berduka bermuram durja.
Dorongan untuk bekerja akan menyebabkan beban yang berat menjadi ringan. Kerja dianggap sebagai ibadah dan sumbangan yang penting.

Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
Bertindak penuh dengan kebijaksanaan.

Dalam menjalani kedidupan seharian, orang yang sederhana dalam segala hal akan lebih disenangi. Orang yang sederhana akan bertindak dengan bijaksana. Mereka tidak menyusahkan orang lain dengan tingkah laku yang keterlaluan atau berlebihan.

Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.
Seseorang yang memiliki ketinggian peribadi akan menjaga penampilan luaran (jasmani) dan menggambarkan sikap positif lagi terbuka. Mereka akan menjadi contoh dan sebutan.

 
Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbang rasa dan simpati.
Orang yang baik hati sentiasa mempamerkan sifat yang disukai. Orang lain akan berasa selamat dan selesa apabila berada di sampingnya.

 
Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
Baik buruk jadikan sempadan. 
Pengaruh teladan sentiasa mendatangkan kebaikan. Seseorang itu sentiasa mempunyai peribadi rujukan bagi menentukan baik buruk sesuatu perkara.

Menjadi kewajipan menjalan tugas,
Walaupun sederhana tetapi tegas.
Segala tugas dilakukan dengan cekap, cepat, berkesan dan sempurna. Ketegasan dalam kerja menjadi kunci kejayaan walaupun bersifat sederhana.

 
Kebijaksanaan berhemat perlu diutama,
Tidak membazir teliti saksama.
Hemat bermakna cermat, teliti dan menjaga sesuatu supaya lebih tahan lama. Dengan itu, pembaziran dapat dielakkan. Seseorang yang berhemat sangat menghargai sesuatu sumber sama ada masa, tenaga, wang ringgit dan perkataan.

Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.
Orang yang sabar sentiasa tenang dalam menghadapi sesuatu. Sifat negatif seperti gopoh, kelam-kabut, kucar-kacir, putus asa dan tergesa-gesa akan dijauhi. Cabaran dihadapi dengan tabah dan jalan keluar dicari.
 

Peningkatan bakat diberi sokongan,
Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.
Bakat dan potensi yang dikembangkan akan mendorong pembaharuan, penambahbaikan dan inovasi. Kebolehan yang ditunjukkan bakal mendatangkan manfaat kepada kehidupan.

 
Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.
Penghasilan idea, bahan atau reka bentuk tertentu akan meningkatkan kesejahteraan. Bakat terpendam hendaklah digilap supaya idea yang muncul tidak sia-sia sahaja. Bakat yang dikembangkan perlu diaktifkan sepanjang masa.

Artikel Popular