Saturday, November 27, 2010

Dosa-dosa dan Facebook


Sebelum ini saya ada menulis mengenai Facebook iaitu pada artikel bertajuk "Iktibar Dari Facebook" yang lebih fokus kepada sesuatu yang boleh kita pelajari daripada kejayaan pengasasnya Mark Zuckerberg. Pada penulisan mengenai Facebook kali ini, saya memfokus pula kepada "Dosa-dosa Dan Facebook" iaitu perbuatan yang boleh mendatangkan dosa melalui facebook, sekiranya penggunaannya tanpa mengikut lunas-lunas syarak.

Penulisan kali ini dicernakan hasil daripada pembacaan saya daripada artikel yang ditulis oleh Ustaz Zaharudin Abdul Rahman dalam zaharuddin.net. yang antara lain telah menyenaraikan enam perkara yang boleh mendatangkan dosa daripada Facebook, iaitu :-


1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.

Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci dan marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar yang pelbagai daripada rakan-rakan mereka.

Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Sedangkan perkara ini boleh dibincangkan semasa minum teh di rumah.

Sebagaimana yang disebut oleh ramai pakar dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.

Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya.

Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan.

Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga. Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.

Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.

Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan akal yang wajar.


2) Terlebih gambar

Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.

Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan perdana gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.

Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.

Berterusanlah mereka bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.

Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook.


3) Penyamaran

Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut.

Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.

Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.


4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.

Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.

Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.


5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.

Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. 

Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.

Ini boleh menjadi dosa, kerana :-

a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.

b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar.

Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.

c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus.

Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya.

Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.


6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan

Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.

Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.

Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.


KESIMPULAN

Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.

Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.

Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.

Wednesday, November 24, 2010

Don't drink bubble tea any more!

Dear All,

I will roughly translate this articles which is in Chinese. (see below for Chinese version)




Bubble tea brings a lot of sweet excitement to our taste buds but it is also very harmful to health. Milk essence is the main ingredient in bubble tea. Ten cups of fresh milk cannot match the taste of of a teaspoon of milk essence. The main ingredient of milk essence is hygrogenated vegetable oil, a type of transfat.

Experts says that a glass of 500ml of bubble tea a day far exceed the allowable limit of transfat for any person. It will lead to heart and blood vessel diseases.

Milk essence gives the bubble tea the fragrance and make it tasty. The fragrance and tastiness derived from a type of chemical. This chemical has trace of arsenic, lead, copper and many harmful minerals.

Long term consumption can lead to heart and blood vessel disease, cancer, asthma and other health complications. It reduces the IQ of children.

Consuming the black bubbles is equivalent to consuming plastic. Normally these bubbles were made from casava (tapioca) powder. This alone does not give the rubbery texture. To make it more rubbery, millet protein is added.

Some "black hearted" businessmen felt that this is still not rubbery enough. so, an artificial plastic powder is added. This type of artificial plastic material will never be digested and absorbed into the body. It will remain in the body and cause havoc to our health. You can imagine what will happen to your health after prolonged consumption of transfat and plastic!!!!

FOR YOUR HEALTH SAKE, PLEASE ABSTAIN FROM BUBBLE TEA.


ORIGINAL TEXT.....

Subject: 珍珠奶茶 Don't drink bubble tea any more!


珍珠奶茶在給人們的味蕾帶來甜美刺激的同時也給人的健康帶來隱患。
"奶精"是珍珠奶茶之魂。十杯鮮奶的味道,也不如一勺奶精來得香濃。奶精的主要成分氫化植物油是一種反式脂肪酸。

專家指出:每天一杯500 升(?mL)珍珠奶茶中反式脂肪酸含量已超出正常人承受極限,飲用者易患心血管疾病。

奶精”使奶茶變得香濃源自於奶精中一種名為”植脂末”的化學物質.

這種物質中含有砷(砒霜)、鉛、銅等有害物質,長期攝入,可增加患冠心病、腫瘤、哮喘等疾病的幾率,幼兒更會變得智力低下。

吃”珍珠”等於吃塑膠

吃 ” 珍珠”等於吃塑膠?珍珠奶茶正因為這些黑色的小顆粒而得名,我們一般叫它為珍珠粉圓,公開的主材料是木薯澱粉。然而,單純的木薯澱粉並不能讓珍珠彈性足,如今比較通用做法是在其中加入小麥蛋白。即使如此,有的商家也覺得彈性還不夠,為了讓珍珠有“嚼頭“,於是再添加人工合成的高分子材料。

說白了,高分子材料就是塑膠,這也是行業內心照不宣的秘密。這樣的成分不可能被人體吸收,吃塑膠是什麼結果,大家可以想像。


Don't drink any more!


From: Peter Chan

Subject: 珍珠奶茶 Don't drink bubble tea any more!

Wednesday, November 17, 2010

Selamat Hari Raya Haji


Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضحى 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya. Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.

Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid.

Manakala bagi Aidiladha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.

Thursday, November 11, 2010

"FEAR FACTOR" SEBAGAI PENDORONG

Artikel ini ditulis semula daripada ucapan yang disampaikan semasa Perhimpunan Rasmi Mingguan, pada Isnin, 8 November 2010 dan telah disesuaikan mengikut keperluan blog.


Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Minggu ini ialah minggu yang ke-41 sesi persekolahan dari 42 minggu yang terkandung dalam takwim persekolahan bagi tahun 2010. Ini bermakna kita mempunyai masa selama 10 hari lagi untuk menamatkan sesi persekolahan 2010. Bilangan ini termasuk 2 hari cuti yang diberi pelepasan kepada kita sempena Hari Raya Aidil Adha iaitu pada hari Selasa,16-11-2010 yang merupakan Cuti Tambahan Tidak Berganti manakala pada Rabu, 17-11-2010 pula adalah Hari Raya Kurban.

Sebelum ini, iaitu pada minggu lalu bermula 3 hingga 5 November 2010 (Rabu – Jumaat) kita bercuti sempena Deepavali. Pihak sekolah tidak mengambil cuti pada Isnin 8 November 2010 untuk Cuti Tambahan (Berganti)sempena Deepavali kerana merasakan bahawa 1 hari Cuti Peristiwa dan 1 hari Cuti Berganti yang diambil pada 3 dan 4 November sudah memadai. Kita juga tidak boleh mengambil Cuti Berganti tersebut kerana kesuntukan waktu dan tiada lagi hari Sabtu yang sesuai yang boleh kita jadikan hari sekolah ganti.

Cuti-cuti Malaysia! Jika kita lihat dari sudut cuti, maka inilah keistimewaan negara kita yang diwarnai oleh pelbagai budaya. Kita tetap akan bercuti pada setiap perayaan yang disambut oleh semua kaum di negara ini. Sama ada Hari Raya Aidil Fitri, Hari Raya Aidil Adha, Krismas, Tahun Baru Cina, Deepavali........ bila tiba musim perayaan tersebut semua kaum akan bercuti.

Saya berharap kepada semua murid agar dapat menggunakan masa selama 8 hari persekolahan yang masih berbaki dengan sebaik mungkin. Jadikanlah ia masa yang sangat berkualiti kepada diri anda. Murid-murid tingkatan lima terutamanya, hargailah masa yang ada ini dengan meninggalkan catatan manis untuk diri anda, dan guru-guru anda. Selepas ini anda akan pergi meninggalkan SMK Kulai Besar, untuk satu tempoh yang mungkin lama atau mungkin sekejap.

Anda mungkin kembali ke SMK Kulai Besar sebagai seorang guru disekolah ini, sebagai seorang kontraktor yang berjaya, mendapat tander mengecat atau membuat bangunan di sekolah ini. Anda mungkin akan kembali sebagai seorang jurujual...mempromosi produk yang diniagakan. Anda akan kembali sebagai seorang ibu atau bapa untuk mendaftar anak, atau cucu untuk bersekolah di sini. Anda mungkin kembali dengan seribu satu cara.

Kembalilah ke sekolah ini walau siapa diri anda. Biar berapa lama masa untuk kembali ke SMK Kulai Besar ini, itu tidak menjadi masalah, tetapi biarlah kembalinya anda ke sekolah ini sebagai manusia yang berjaya. Harapan kami guru-guru ialah melihat anda lebih berjaya daripada kami.

Apakah ukuran kejayaan anda itu? terpulanglah kepada anda yang mentafsirnya. Bagi kami kejayaan bukan diukur berdasarkan wang ringgit, segulung ijazah atau pekerjaan yang baik...tetapi kejayaan yang sebenarnya ialah sejauh mana anda menjadi insan yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain, sama ada kepada keluarga, masyarakat dan agama.

Semua murid perlu sedar bahawa salah satu formula untuk berjaya ialah bagaimana anda dapat mendorong diri anda sendiri untuk berjaya. Bagaimana dorongan itu dapat mengubah anda adalah bergantung kepada kemahuan anda. Perpatah Melayu ada menyebut "kalau hendak seribu daya kalau tak mahu seribu dalih". Perpatah Cina pula ada menyebut jika hendak memulakan perjalanan seribu batu, ia bermula dengan lngkahan pertama.

Berhubung dengan dorongan, saya ada membaca satu artikel dalam sebuah buku yang mengesahkan bagaimana seorang yang kaya lagi ternama merasa rungsing mengenangkan nasib satu-satu anak perempuannya yang masih belum berkahwin lagi.

Kerungsingan itu bukan kerana peuterinya yang jelita itu tiada kumbang yang sudi menghinggap. Tetapi gara-gara semua kumbang yang hinggap tidak mempunyai kualiti yang diharapkan oleh orang kaya tadi. Orang kaya tadi mahukan calon menantu yang berani, cekal dan tabah dengan rupa paras yang sekadar ok sahaja (tak perlu hensem sangat). Tujuannya supaya empayar perniagaan yang dibina dapat diteruskan oleh bakal menantunya, walau apa jua rintangan yang datang di samping mempunyai dedikasi yang tinggi terhadap keluarga.

Orang kaya itu pun mendapat ilham dari rancangan "Fear Faktor" yang ditayangkan di TV Astro. Orang kaya tersebut telah mengadakan satu majlis keramaian dengan mengundang rakan-rakannya yang mempunyai anak teruna untuk dijadikan menantu.

Setelah para tetamu dijamu dengan makanan yang lazat-lazat, dan dipersembahkan dengan hiburan serta tarian, tuan rumahpun mengumumkan satu pertandingan akan diadakan. Dia memberi tahu yang sebuah kolam yang berisi ular liar yang berbisa dan buaya ganas telah disediakan.

Beliau mencabar sesiapa yang berani berenang menyeberangi kolam itu berhak untuk memilih tiga hadiah. Pertama berhak mengahwini anak perempuannya dan mewarisi segala hartanya. Kedua, memperoleh 100 000 hektar kebun sawit yang buah-buahnya sedia untuk dituai. Ketiganya, berhak mendapat wang tunai 1 juta ringgit, barang-barang kemas emas dan berlian.

Sebelum sempat tuan rumah memberi isyarat perlumbaan, tiba-tiba kedengaran bunyai percikan yang sangat kuat dan disusuli dengan renangan yang begitu cepat merentasi kolam yang dipenuhi buaya dan ular berbisa tadi. Semua hadirin terpaku, takjub dan kehairanan, siapa gerangan pemuda yang begitu bersemangat mahu menyertai pertandingan itu. Pemuda itu akhirnya sampai di tepian kolah sambil tercungap-cungap menarik nafas.

Sebagai pemenang, tuan rumah bertanya kepada pemuda tadi apa pilihan hadiah yang diinginkannya di saksikan oleh sekalian hadirin. Pemuda itu menggeleng-gelengkan kepalanya. Tuan ruamh dan para tetamu lain kehairanan lantas bertanya lagi “Kalau begitu apa yang kamu mahukan? Dengan nafas yang masih termengah-mengah, dia menjawab dengan tegas “Saya ingin tahu siapa yang menolak saya ke dalam kolam tadi?

Berdasarkan cerita ini pemuda tadi berjaya merentasi kolam renang yang dipenuhi buaya dan ular ganas tadi bukanlah didorong oleh tawaran hadiah lumayan oleh tuan rumah, tetapi dia dapat beranang dengan laju dan selamat kerana dorong oleh kebimbangan terhadap haiwan ganas tadi. Sekiranya tiada orang yang menolak, barangkali dia tidak mempunyai keberanian menggadaikan nyawanya semata-mata kerana harta yang belum pasti dimiliki.

Begitulah juga kita semasa melakukan aktiviti seharian, kita memerlukan dorongan ataupun tolakan yang kuat suapaya kita menjadi lebih berani dalam usaha memenuhi sesuatu keperluan. Pada hakikatnya ramai dalam kalangan kita perlu ditakutkan dahulu sebelum menjadi produktif atau efisien.

Saya berharap semua pelajar mempunayi pendorong tersendiri dalam memastikan anda terus bermotivasi dan tabah dalam mengharungi sepanjang masa pembelajaran anda. Contohilah merka yang berjaya dalam pelajaran dan peperiksaan, kerana mereka yang berjaya mempunyai jejak yang boleh kita ikuti. Sebaliknya ambillah iktibar daripada mereka yang gagal dalam pelajaran agar jejak yang ditanggalkan tidak kita susuri.

Sekian untk kali ini, kepada calon SPM saya mendoakan kejayaan buat anda. Anggaplah anda kini sedang dihambat oleh buaya ganas, untuk selamat anda perlu terus berenang dengan renangan yang kuat. Begitulah dalam pelajaran, belajarlah dengan kuat dan SMART supaya anda mengharungi SPM dengan kejayaan

Saturday, November 06, 2010

Kisah Arnab dan kura-kura – Bahagian 4 (Akhir)


Filem The Hare and the Tortoise (1947)
Sumber: Encyclopaedia Britannica Films

KISAH ARNAB DENGAN KURA-KURA (Bahagian Akhir)

Setelah tiga kali perlumbaan, Sang Arnab dan Sang Kura-kura telah menjadi rakan karib. Mereka kerap berbincang bersama, bertukar-tukar rahsia bagaimana mereka menang dan bertukar-tukar rasa bagaimana mereka kalah dalam setiap perlumbaan sebelum ini. Masing-masing telah belajar tentang apa kekuatan dan kelemahan mereka.

Oleh sebab “perlumbaan” menjadi topik kegemaran mereka, maka mereka bersetuju untuk berlumba lagi. Namun, perlumbaan kali ini bukan sebagai pesaing tetapi sebagai satu pasukan. Mereka mahu lihat sejauh mana kepantasan mereka jika digandingkan sebagai satu pasukan.

Perlumbaan dimulakan, Sang Arnab mendukung Sang Kura-kura di belakangnya dan memecut pantas sehingga ke sungai yang besar. Setibanya di sungai, Sang Arnab pula berada di atas Sang Kura-kura yang sedang berenang.

Setibanya di seberang sungai, mereka bertukar posisi sekali lagi dan sampai ke garisan penamat dengan jayanya. Mereka merasa lebih puas dan berjaya berbanding apa yang mereka telah lalui sebelum ini.

Pengajaran :
Walau sehebat mana pun seseorang individu, pasti terdapat bidang yang individu ini lemah dan orang lain lebih baik berbandingnya. Oleh yang demikian, adalah bagus kita bekerja dalam satu kumpulan dengan menggunakan kelebihan yang ada pada setiap orang.

Monday, November 01, 2010

Kepentingan Kokurikulum Dalam Pembangunan Sahsiah Murid

1) Assalamualaikum dan salam sejahtera. Penulisan kali ini akan menyentuh mengenai peranan murid dalam menggunakan segala peluang dan potensi diri menerusi kegiatan kokurikulum.

2) Pertamanya saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada En Mohd Tahir bin Haji Ismail dan semua warga guru dalam menjayakan Hari Kemuncak Kokurikulum 2010.

3) Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua murid yang telah hadir pada Hari Kemuncak Kokurikulum tersebut. Sebenarnya program tersebut diadakan adalah untuk semua murid sebagai menghargai sumbangan anda dalam kegiatan kokurikulum sepanjang tahun 2010.

4) Pelbagai aktiviti telah diatur bagi menjayakan majlis ini, dari upacara perarakan, majlis rasmi, penyampaian hadiah, jualan, persembahan kebudayaan hinggalah kepada karaoke. Semua aktiviti yang dijalankan adalah melambangkan komitmen guru-guru dan kesungguhan sebahagian murid di sekolah ini bagi memastikan kegiatan kokurikulum menjadai teras penting dalam pembangunan sahsiah diri.

5) Situasi ini adalah sejajar dengan paradigma untuk melahirkan insan yang sepadu dan seimbang dengan memberikan penekanan terhadap kedua-dua komponen, iaitu akademik dan kokurikulum dalam sistem pendidikan kita hari ini.

6) Pada hari ini kegiatan kokurikulum semakin mendapat perhatian dalam sistem pendidikan negara. Banyak peruntukan telah disalurkan melibatkan puluhan ribuan ringgit. Peruntukan Khas Uniform, Peruntukan Kerajaan, SUWA dan banyak lagi, kesemuanya untuk memberi peluang kepada murid tanpa mengira kaum agar mempunyai peluang yang sama rata dan tidak terpinggir dalam program pembangunan insan menerusi kegiatan kokurikulum

7) Oleh itu saya berharap segala peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan oleh semua murid dengan cara melibatkan diri secara aktif dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Carilah peluang dan ruang yang sesuai dalam bidang kokurikulum mengikut minat, kecenderungan, kemampuan dan cita rasa anda.

8) Ceburilah kegiatan kokurikulum sama ada dalam pasukan beruniform, persatuan, kelab ataupun kegiatan sukan dan permainan. Fokuslah terhadap aktiviti yang anda ceburi supaya penglibatan anda itu nanti mencapai satu tahap pengiktirafan yang tertinggi.

9) Pada peringkat KPM dan KPT penglibatan murid dalam kokurikulum semakin diutamakan. Pengambilan murid ke MRSM, SBP, Matrikulasi, IPTA dan pemberian biasiswa semuanya mengambil kira merit penglibatan murid dalam kegiatan kokurikulum.

10) Melihat kepada peluang yang ada, komitmen guru-guru yang tinggi dan peruntukan kewangan yang besar oleh pihak kerajaan, saya tidak nampak mengapa murid harus memandang sepi kegiatan kokurikulum ini.

11) Sebagai makluman, Universiti Harvard adalah antara universiti terbaik di dunia. JPA juga ada menghantar pelajar tajaannya ke sana. Universiti ini antara lain telah menetapkan bahawa syarat kemasukan dengan kelulusan akademik sahaja tidak memadai.

12) Oleh itu calon yang memohon kemasukan ke universiti tersebut perlu mempunyai ciri-ciri seperti ahli muzik, saintis, usahawan, ahli sukan dan sebagainya – bukan sekadar penglibatan bahkan yang bertaraf dunia.

13) Begitulah gambarannya betapa pentingnya kokurikulum di kalangan warga akademik yang paling tinggi tarafnya pada masa ini. Namun demikian jangan pula nanti anda bergiat aktif dalam kokurikulum hanya sekadar untuk memenuhi syarat kemasukan ke IPT semata-mata.

14) Jika ini paradigmanya, maka hasrat menjadikan kokurikulum sebagai wadah untuk pembentukan sahsiah diri, kepimpinan dan modal insan tidak akan kesampaian.

15) Ada juga pelajar dan ibu bapa yang menolak kepentingan kokurikulum kerana mereka berpendapat akibat aktif dalam kokurikulum boleh menjejaskan prestasi akademik mereka.

16) Pandangan ini sebenarnya tidak begitu tepat kerana sekiranya ada yang gagal akademik kerana terlalu banyak menghabiskan masa dalam kokurikulum, maka ini bukan masalah kokurikulum. Ia masalah pengurusan masa. Janganlah kokurikulum pula dipersalahkan.

17) Seorang Profesor Universiti Harvard, Harry R. Lewis (2006) dalam bukunya Excellence Without A Soul, kajian membuktikan bahawa penglibatan dalam kokurikulum yang seimbang tidak menggugat prestasi akademik.

18) Masalah kita ialah apabila pelajar merosot akademiknya, seringkali fokus kita ialah kokurikulum adalah puncanya. Sepatutnya, fokus kita ialah kualiti akademik ditawarkan kepadanya. Jika masalah pelajar itu ialah akademiknya, maka perbaikilah akademiknya, bukannya menyekat kokurikulumnya.

19) Menyekat pelajar terhadap kokurikulum diminatinya bukanlah caranya untuk meningkatkan minatnya terhadap akademiknya, bahkan boleh jadi juga menimbulkan lagi kemerosotan akademiknya.

20) Akhir kata, nasihat saya kepada semua, kokurikulum mesti dilihat dengan paradigma bahawa ia mempunyai kepentingan seimbang dengan akademik. Kokurikulum mesti dilihat sebagai pelengkap kepada akademik, dan seterusnya sebagai sebahagian daripada cara hidup.

Catatan:
Artikel ini disesuaikan daripada teks ucapan yang disampaikan semasa Perhimpunan Rasmi Mingguan, pada Isnin, 31 Oktober 2010. Ayat dan fakta telah disesuaikan mengikut keperluan blog.

Saturday, October 30, 2010

Air Untuk Sihat, Air Untuk Rawat, Air Untuk Hayat

"You're not sick; you're thirsty. Don't treat thirst with medication."
Dr. F. Batmanghelidj

Kehidupan kita dan planet di mana kita berpijak, lebih 70% daripada komposisinya adalah air. Sebahagian besar air yang terdapat dipermukaan bumi pula,  iaitu 98% adalah air masin. Hanya 2% daripada kandungan air di bumi merupakan air bersih yang boleh diminum. Sebahagian besar air bersih ini pula terperangkap dalam bentuk glasier beku.

Kita bukan sahaja dikenali daripada apa yang kita makan, tetapi juga daripada apa yang kita minum. Hal ini menjelaskan betapa air bersih sangat penting kepada kesihatan kita. Air adalah asas kepada semua kehidupan dan ini termasuklah tubuh badan kita.

Otot yang menggerakkan tubuh kita adalah 75% air; darah yang mengalir dan membawa zat makanan 82% adalah air; paru-paru yang menyalurkan oksigen keseluruh badan komposisinya adalah 90% air; otak yang mengawal keseluruhan tubuh badan kita 76% adalah air; malahan tulang kita 25% komposisinya adalah air.

Air bukan sekadar untuk menghilangkan dahaga tetapi air juga mempunyai kaitan terus dengan kesihatan. Kesihatan kita sangat bergantung kepada kualiti dan kuantiti air yang kita minum. Atas alasan inilah maka kita disarankan membudayakan "air untuk sihat, air untuk rawat dan air untuk hayat". Kita boleh mengubah cara kita minum dengan meminum air yang tulen dan semulajadi, yang bukan sahaja bagus kepada kesihatan tetapi juga alam sekitar.

Tiada keajiban, hanya perkara biasa berdasarkan kepada penemuan hasil kajian bertahun-tahun oleh Dr. F. Batmaghelidj. Beliau telah mengkaji bagaimana air dapat memberi kesan terhadap pengekalan tahap kesihatan dan kebebasan seseorang daripada penyakit. Dapatan kajiannya membuktikan air juga boleh menjadi penyembuh kepada individu yang sakit.

Sebagai saranan, seorang rakan telah memaklumkan kepada saya bahawa kita perlu minum air mengikut berat badan. Jika berat badan 80 Kg maka perkiraan keperluan air kita adalah seperti sifir di bawah;

1) 80 kg tukar ke Paun ==> 80 x 2.205 = 175.4 lb
2) 175.4 lb bahagi 2 = 88.2
3) Air yg perlu diminum dlm sehari semalam adalah 88.2 aun (oz)
4) 88.2 oz ==> L , 88.2 /35.2 = 2.5 Liter

Minum air bersih yang mencukupi keperluan tubuh, menjadi alat untuk kesihatan yang mantap, terhindar dari penyakit kronik serta meningkatkan IQ terutama untuk pelajar. Air juga menjadi asbab untuk menyembuhkan pelbagai penyakit, namun pada hakikatnya Allah jualah yang mendatangkan dan menyembuhkan penyakit.

Sila rujuk http://www.watercure.com/ untuk eksplorasi tentang manfaat air lebih lanjut.

Catatan ini ditulis hasil dari pembacaan saya terhadap satu artikel dalam blog The Water Cure.

Kisah Arnab Dengan Kura-Kura – Bahagian 3

Kemenangan Arnab pada siri perlumbaan kali kedua telah menceriakan kem arnab. Perlumbaan yang satu ketika dahulu hanyalah kerana cabaran yang bersifat lokal....kini bertukar menjadi global.

Semua warga rimba mengambil tahu dan kura-kura yang selama ini tidak peduli tentang tahap kelajuan mereka, kini mula mencongak peluang, bagaimana mahu mengulangi sejarah mengalahkan arnab.

Cita-cita besar kura-kura kali ini membawa kepada perlumbaan siri yang ketiga. Kali ini kura-kura pula memikirkan strategi untuk menang. Kura-kura menyedari bahawa jika format pertandingan seperti sedia ada digunakan, adalah mustahil bagi Sang Kura-kura untuk menang. Strategi terbaik adalah mengubah format perlumbaan.

Setelah berfikir panjang. Sang Kura-kura mencabar Sang Arnab untuk perlumbaan ketiga. Kali ini perlumbaan akan dilakukan menerusi laluan yang dikemukakan oleh Sang Kura-kura. Laluan perlumbaan adalah sedikit berbeza dari laluan asal. Kesimpulannya lokasi kali ini ialah pilihan kura-kura.

Tanpa berfikir panjang, Sang Arnab bersetuju, kerana memikirkan walau di mana pertarungan mahu di atur, bagi arnab itu tiada masalah. Arnab yakin kerana kemenangan dalam perlumbaan siri ke-2 telah menceritakan segala-galanya tentang prestasi arnab yang sebenar.

Perlumbaan dimulakan. Berbekalkan komitmen yang ada, Sang Arnab memecut pantas, sangat pantas, memang pantas...tetapi akhirnya terhenti di sebuah sungai yang besar. Garisan penamat adalah beberapa kilometer di seberang dari sungai ini.

Sang Arnab tidak tahu berenang. Tak terfikir pula arnab bahawa kura-kura memilih laluan tersebut. Sang Arnab berhenti di tebing sungai dan memikirkan tentang apa yang patut dilakukan sekarang.

Memang ada jalan alternatif tetapi arnab terpaksa berpatah balik mencari bahagian sungai yang sempit, mencari pohon-pohon tumbang atau batu-batu yang boleh dijadikan loncatan.

Pada masa yang sama pula, Sang Kura-kura berjalan perlahan-lahan, setibanya di sungai, dia berenang ke seberang dan kemudiannya berjalan semula sehingga tiba di garisan penamat. Akhirnya Sang Kura-kura menang!

Pengajaran :

Kenal pasti kelebihan diri kita, ceburkan diri dalam bidang yang kita mempunyai kelebihan. Sebagai contoh jika kita tidak mahir dan tidak berminat dalam bidang pendidikan iaitu mengajar maka tinggalkan bidang itu dan carilah kerja lain yang sealiran dengan minat kita.

Berilah peluang kerja itu kepada individu yang berhati dan berjiwa guru. Jika tidak nanti kita bakal menjadi guru yang suka salak menyalak, lebih banyak menuntut hak berbanding menunaikan hak sebagai seorang guru.

Begitu jugalah sekiranya kita ingin berjaya dalam sesuatu bidang atau kerjaya, kita perlu memilih strategi yang sesuai dengan jiwa kita. Ceburilah bidang tersebut dengan sepenuh hati. Tetapkan laluan perlumbaan kita berdasarkan kelebihan dan minat yang kita miliki.

Kisah ini belum berakhir....ikuti kisah seterusnya Kisah Arnab dengan Kura-kura Bahagian 4. Jika anda ada idea tetang apa pengajaran dari cerita Arnab Dengan Kura-kura ini dari bahagian 1 hingga 3; bolehlah beri pandangan dalam ulasan yang disediakan pada blog ini. Terima kasih

Thursday, October 21, 2010

Pergi Tak Kembali, Yang Tinggal Teruskan Agenda

Assalamualaikum wkt, salam sejahtera dan salam satu Malaysia kepada seluruh warga SMK Kulai Besar.

Pertamanya marilah kita melafazkan kesyukuran kehadrat Ilahi, kerana dengan rahmatnya kita dikurniakan kesempatan dan nikmat kesihatan bagi membolehkan kita meneruskan tugas kita sama ada kita sebagai seorang guru yang mengajar dan sebagai seorang murid yang belajar.

Sebagimana yang diketahui oleh seluruh warga sekolah, En Wong Kim Fah, Penolong Kanan HEM tidak bersama-sama dengan kita lagi. Keramahan dan kelibatnya dipersekitaran sekolah terutama pada awal pagi kini sekadar tinggal kenangan, kerana En Wong Kim Fah telah pergi dan tidak akan kembali. Beliau tidak akan kembali berkhidmat semula ke SMK Kulai Besar, kerana beliau telah menamatkan perkhidmatannya atau bersara.

Seperti kata pepatah Melayu "Patah Tumbuh Hilang Berganti", yang pergi pasti berganti. Walaupun sehingga kini kita tidak pasti siapakah guru yang bakal mengisi kekosongan En Wong Kim Fah, yang pasti ialah sama ada cepat atau labat, pasti akan ada penggantinya.

Saya berharap semua murid bersedia untuk memberi sokongan kepada sesiapa sahaja guru yang bakal ditempatkan di sekolah ini nanti selaku Penolong Kanan HEM. Saya juga menekankan di sini bahawa Penolong Kanan HEM dan juga guru disiplin sepatutnya dilihat dalam prespektif yang positif.

Satu ketika dahulu PK HEM dan guru disiplin selalunya dikaitkan dengan ketegasan, kegarangan dan hukuman. Tetapi pada hari ini disiplin di sekolah ditegakkan tidak semestinya oleh guru yang mempunyai imej sebagai seorang yang garang, contohnya memiliki misai melintang seperti Tok Panglima Garang, atau seorang guru yang lantang suaranya seperti halilintar - menengking dan mengherdik, atau wajah yang masam-kusam hinggakan murid hilang ilham apabila terpandang pada raut di wajahnya.

Keadaan kini telah berubah, dan sejauhmanakah ia benar-benar berubah adalah bergantung kepada sikap semua murid terhadap pematuhan disiplin di sekolah. Selagi peraturan sekolah dipatuhi, selagi disiplin sekolah dipenuhi dan selagi keberadaan guru -guru di sekolah ini dihormati oleh semua murid, maka selagi itulah kekerasan dan hukuman tidak perlu dizahirkan atas nama mendisiplinkan murid.

Memanglah bagus sekiranya disiplin dan iklim di sekolah dapat dipupuk dalam suasana yang lebih harmoni......... "sekolah ku, rumah ku, syurga ku"..."sekolah penyayang"......"murid belajar dan guru mengajar". Namun sekiranya murid tidak menunjukkan tingkahlaku yang diharapkan maka ketegasan adalah jalan terakhir.

Hakikatnya manusia itu seperti tanah, maka sebab itulah sesetengah murid perlu dilayan mengikut jenis tanah bagaimanakah ia digolongkan. Kalau murid mengikut resam tanah pasir yang poros, maka ia perlu disimbah air setiap hari, biar dia kekal basah dan subur;

Kalau sifatnya keras seperti batu, kita terpaksa menggunakan tukul untuk memecahkannya, jika tak berhasil, kita guna peledak sahaja biar berkeca jadi batu kelikir. Sekurang-kurangnya boleh dicampurkan dengan minyak tar untuk menurap jalan, memberi manfaat kepada orang lain;

Kalau sifatnya seperti tanah lanar yang lembut dan subur, maka kita biarkan....dibajai sekali sekala, ia tetap akan mendatangkan hasil memuaskan apabila diusahakan.

Legasi En Wong selaku PK HEM telah menjadi sejarah di sekolah ini, dan demikianlah guru-guru akan datang dan pergi. Untuk tahun ini sahaja seramai sembilan orang guru telah memohon untuk bertukar sama ada ke luar daerah atau ke luar negeri Johor dari sekolah ini.

Perkara ini adalah satu kelaziman dan saya percaya semua guru yang memohon bertukar keluar dari sekolah ini bukanlah kerana mereka tidak suka berkhidmat di sini, tetapi disebabkan keperluan mereka untuk bertukar bagi meneruskan perkhidmatan di tanah tumpah kelahiran dan demi kepentingan perkhidmatan.

Kita warga SMK Kulai Besar yang masih kekal di sini, kita teruskan agenda kita yang belum selesai, iaitu memartabatkan SMK Kulai Besar. Kita perlu bertekad untuk mengeluarkan SMK Kulai Besar dari kelompok bawahan sama ada dalam peperiksaan, sahsiah mahupun dalam bidang kokurikulum.

Akhir sekali pada kesempatan ini saya berpesan kepada semua warga sekolah sama ada guru mahupun murid-murid yang mempunyai akaun dalam laman sosial seperti facebook, friendster, twitter dan pelbagai lagi, agar dapat menggunakan rangkaian sosial tersebut dengan cara yang konstruktif.

Gunakanlah kemahiran ICT anda dan kemajuan dalam jaringan sosial dengan penuh tanggungjawab. Janganlah menyalahgunakan laman sosial tersebut untuk perkara-perkara yang boleh menyentuh sensitiviti kaum, agama dan individu tertentu.

Kepada murid saya nasihati, janganlah menggunakannya semasa di sekolah ketika berada di makmal komputer manakala kepada guru-guru pula janganlah menggunakannya dalam waktu bekerja kerana ia boleh menjejaskan fokus terhadap pekerjaan utama kita.

Sekian, terima kasih.


Catatan :

Catatan ini adalah sebahgian daripada ucapan pada perhimpunan rasmi pada 18 Oktober 2010, yang diolah kembali bagi disesuaikan dengan keperluan blog atau laman web ini.

Wednesday, October 20, 2010

Kisah Arnab Dengan Kura-kura - Bahagian 2




Dalam perlumbaan yang pertama Sang Arnab terlalu yakin kekuatannya tidak mampu ditandingi oleh kura-kura. Tindakannya menghebohkan perlumbaannya dengan kura-kura dengan warga rimba benar-benar menjerat dirinya.

Antara percaya atau tidak seluruh warga belantara dah tahu, bahawa sang arnab telah dikalahkan. Pertubuhan Arnab Sedunia pun telah menerima laporan kekalahan yang memalukan. Arang telah tercalar pada spesies arnab. Satu suruhanjaya telah ditubuhkan dan kertas siasatan telah dibentangkan.
Arnab 1 :
Kita kalah dengan kura-kura, ini tidak boleh jadi.....macam mana boleh kalah


Arnab 2 (Pakar Perunding) :
Saya rasa kita kalah kerana kita silap strategi, kalau wakil kita tidak tertidur kita pasti menang.....memang menang


Arnab 3 (Pakar Motivasi) :
Saya sependapat dengan kamu...kita terlalu yakin dan memandang rendah terhadap kura-kura.


Arnab 1 : Kalau begitu kita mesti buat perlawanan semula....apapun kita kena fight balik. Arnab boleh !!!

Sesuatu perlu dilakukan dan untuk itu pakar-pakar perunding dan motivasi telah dipanggil untuk mengkaji punca kekalahan dan mencari strategi bagi memulihkan imej spesies mereka. Sang Arnab mendapati bahawa mereka terlalu berkeyakinan tinggi, tidak berhati-hati dan terlalu sambil lewa sebagai punca kekalahan dalam perlumbaan itu.

Menyedari kekalahan mereka bukan kerana kekuatan sebenar yang dipamerkan semasa perlumbaan lalu, maka Sang Arnab mengajak Sang Kura-kura untuk mengadakan perlawanan ulangan. Sang Kura-kura bersetuju.

Kura-kura sedar bahawa arnab yang bakal ditandingi nanti ialah arnab yang telah berubah. Arnab kini telah belajar dari kesilapan lalu. Oleh itu kura-kura menyasarkan untuk memperbaiki rekod sahaja dalam perlumbaan kali ini, di samping mengharap tuah kalau-kalau arnab terleka lagi, kena semput ke atau pengsan semasa perlumbaan.

Semasa perlumbaan dimulakan, Sang Arnab memecut laju dari garisan permulaan sehingga ke garisan penamat. Keputusannya menepati ramalan. Nasib tidak menyebelahi kura-kura kerana semangat dan strategi arnab kali ini benar-benar menjadi. Arnab memenangi pertandingan dengan meninggalkan Sang Kura-kura jauh ketinggalan di belakang.

Kura-kura tahu di mana kekuatan dan kelemahan arnab. Walaupun kalah tetapi kura-kura bekerja keras dan akhirnya dapat menamatkan perlumbaan dengan memperbaiki masa berbanding catatan sebelumnya.


Pengajaran daripada perlumbaan siri kedua ini ialah:

1) Strategi pantas dan konsisten dapat menewaskan strategi perlahan-lahan dan konsisten.

Kita sering mendengar perumpaaan “Biar Lambat Asalkan Selamat” dan "Sedikit-sedikit Lama-lama Jadi Bukit". Tiada salahnya perumpaan ini jika ditilik dari satu sudut, tetapi jika diperhalusi lagi alangkah bagusnya jika “Biar Cepat Asalkan Selamat” dan Banyak-banyak Lama-lama Biar Melambak”.

Jika dalam persekitaran sesuatu pekerjaan, terdapat seorang pekerja yang lambat dan konsisten dan seorang lagi pantas dan konsisten. Sudah tentu, individu yang pantas dan konsisten akan menjadi pilihan kita. Lambat dan konsisten adalah baik tetapi pantas dan konsisten adalah jauh lebih baik.

2) Walaupun lambat tapi meningkat. Dalam konteks kura-kura, strategi yang digunakan ialah KAIZEN – strategi orang Jepun iaitu setiap masa perlu ada pembaharuan, sama ada dalam prestasi atau inovasi ke arah yang lebih baik.

Kura-kura kalah dalam perlumbaan ini, tetapi keazamannya untuk bertanding tetap membara, menyebabkan masa kura-kura menamatkan perlumbaan dapat diperbaiki. Oleh itu apabila kita melihat orang lain mendahului di hadapan, kita jangan berputus asa, kita teruskan usaha.

Biar kita tertinggal walau sejauh mana di belakang tetapi kita terus bergerak ke hadapan, menunjukkan peningkatan dari masa ke semasa.

Opssssss......ada lagi sambungan. Ikuti Kisah Kura-kura dan Arnab – Bahagian III pada penulisan akan datang.

Thursday, October 14, 2010

Kisah Arnab dan kura-kura – Bahagian 1



Tersebutlah kisah arnab sedang berjalan-jalan mencari makanan pada sebatang jalan di tepi sungai. Tiba-tiba ia terpandang seekor kura-kura yang merangkak-rangkak naik ke tepi sungai.


Arnab :
Alahai, kura-kura. Mengapalah engkau lambat sangat? Bila nak sampai tu?

Kura-kura : Sedikit-sedikitlah arnab. Lama-lama aku sampailah.

Arnab : Ha..ha..ha…geli hati aku lihat cara engkau berjalan. Bilalah engkau nak sampai si tua lambat ni…ha..ha.

Kura-kura :
Jangan engkau hina aku arnab.

Arnab :
Eleh....kalau lumba lari ni, engkau pasti kalah!

Kura-Kura :
Jangan konfiden sangat arnab, belum cuba belum tahu .......

Arnab :
Aku cabar engkau, siapa yang sampai dulu ke hujung jalan sana, dia akan menang.

Kura-kura :
OK! Aku terima cabaran kau, bila, di mana, cakap....aku anytime ready

Arnab : hmmmm...esok pukul 4 petang


Arnab telah menghebohkan perlumbaan itu dengan mengundang seluruh suku sakat, ipar-duai, dan juaknya serta rakan-rakan rapatnya untuk menyaksikan perlumbaan itu nanti, dengan niat untuk menunjukkan kekuatannya dan pada masa yang sama memalukan kura-kura.

Maka, bila tiba masa dan hari dijanjikan berlumbalah arnab dan kura-kura. Kura-kura dan arnab bermula pada permulaan yang sama, tetapi sebaik dimulakan arnab terus memecut laju ke hadapan. Pada satu peringkat perlumbaan arnab menoleh ke belakang, kura-kura sayup-sayup kelihatan di belakang antara nampak dan tidak dalam bayangan fatamorgana.

Kura-kura pula terus melangkah, melangkah dan terus melangkah ke hadapan tanpa mempedulikan di mana kedudukan arnab. Matlamatnya hanya satu untuk menamatkan perlumbaan.

Yakin bahawa perlumbaan itu pasti dimuktamadkan dengan kemenangannya arnab berehat sebentar, tetapi akhirnya arnab tertidur. Ketika arnab tertidur, kura-kura meneruskan perjalanan tanpa berehat. Tidak berapa lama kemudian kura-kura tiba di pohon di mana arnab sedang lena tertidur. Kura-kura mendengar dengkuran arnab yang keletihan.

Selepas terjaga dari lenanya arnab menoleh ke arah lembah, kedudukan terakhir kura-kura yang dilihatnya sebelum dia tertidur. Namun kura-kura telah tiada. Apabila arnab menoleh ke atas bukit, dia melihat kura-kura sedang diraikan kerana telah sampai ke garisan penamat terlebih dahulu.

Demikianlah selingkar kisah perlumbaan klasik arnab dan kura-kura. Cerita ini yang biasanya dipadankan dengan cita rasa kanak-kanak, tetapi sebenarnya membawa mesej yang amat besar. Apakah Iktibar dari Kisah Kura-kura dan arnab ini;

Apa yang kita boleh ambil pengajaran daripada cerita ini ialah jika hendak berjaya, bukanlah semestinya mempunyai kepandaian dan kekuatan fizikal sahaja. Tetapi yang penting ialah sikap.

Mengikut kajian yang dibuat oleh pakar-pakar pendidikan, kepandaian seseorang, maklumat yang dimilikinya, hanya menyumbang 3 % sahaja kepada kejayaan seseorang. Selebihnya 97% lagi ditentukan oleh sikapnya.

Dalam kisah sang arnab dan kura-kura tadi, jika diukur dari segi fizikal, tentulah arnab ini lebih tangkas. Kakinya lebih panjang, tenaganya lebih banyak. Memang terbukti ia sudah mendahului kura-kura dalam perlumbaan itu. Malangnya sikap arnab itu sendiri menyebabkan ia gagal.

Apakah sikap negatif yang ada pada arnab sehingga menyebabkan ia gagal? Sikap itu ialah sambil lewa, sikap terlalu yakin, sikap bertangguh, sikap berpuas hati dan suka memandang rendah terhadap kemampuan orang lain.

Bagi kura-kura pula walaupun kakinya pendek dan tiada kekuatan seperti arnab, tetapi sikapnya betul. Sikap kura-kura yang positif telah berjaya mengatasi sikap arnab yang negatif. Walaupun ia telah ketinggalan, tetapi matlamatnya sentiasa di hadapan. Ia tidak mengubah-ubah matlamatnya.

Matlamatnya hanya hendak menang dalam perlumbaan. Kura-kura mempunyai keyakinan pada diri sendiri dan tidak menjadikan reputasi arnab menghalanginya dari memenangi perlumbaan tersebut.

Sebaliknya, arnab ini pula matlamatnya berubah-ubah. Apabila ia sampai di tengah jalan, matlamatnya berubah kepada hendak berehat yang kemudian tertidur.

Sikap positif kura-kura yang lain ialah sentiasa konsisten ataupun istiqamah. Ia tetap meneruskan perlumbaan walau apa pun terjadi. Misalnya, walau ia telah ketinggalan, ia tetap merangkak juga. Inilah sikap istiqamah.

Seterusnya, sikap kura-kura ialah sabar. Kura-kura mempunyai kesabaran tinggi dalam menempuh dugaan sepanjang perjalanan. Kura-kura tetap meneruskan perlumbaan walaupun ia tidak nampak arnab di hadapan.

Kura-kura juga mempunyai harga diri yang tinggi. Sikap inilah yang menyebabkan ia menyahut cabaran arnab. Ia tidak mahu dihina. Semua sikap-sikap ini memberi kredit atau kelebihan kepada kura-kura. Dari segi fizikalnya arnab reputasinya memang lebih tangkas. Tetapi dari segi mental, jiwa dan emosinya, kura-kura lebih stabil.

Perbandingan cerita arnab dan kura-kura ini boleh kita padankan dengan kehidupan manusia sebenarnya.

1) Pertama, ada manusia yang kita lihat kadang-kadang mempunyai kecerdikan dan kekayaan yang pada zahirnya boleh menyebabkan mereka berjaya, tetapi tak berjaya juga dalam hidup kerana sikap mereka. Mereka yang gagal ini mewarisi sikap buruk seperti arnab tadi. Mereka tidak konsisten, tiada harga diri, angkuh, berubah matlamat, terlalu yakin dan sebagainya.

2) Menerusi cerita ini kita tahu Allah swt tidak suka orang yang sombong. Orang sombong seperti arnab yang suka menghina orang lain, sebenarnya dia telah membuktikan bahawa dirinyalah yang lebih hina daripada orang yang dihina itu. Apabila arnab memandang hina kura-kura, menunjukkan dia bersikap takbur dan sombong. Sebaliknya, kura-kura yang dihina pula, ia membela maruah diri dengan menyahut cabaran arnab itu.

3) Sikap ego pada diri seseorang jika tidak dikawal boleh memusnahkan dirinya sendiri. Oleh itu, dalam hidup ini kita tidak boleh ego iaitu merasakan diri lebih baik daripada orang lain.
Apabila merasakan diri baik, dari sudut perkembangan diri, tidak akan muncul lagi usaha hendak meningkatkan diri. Tidak timbul lagi dorongan untuk berjaya. Bagi kura-kura tadi, apabila menerima cemuhan, ia menjadi pendorong untuk lebih maju dan sebagainya.

Ikuti penulisan seterusnya KISAH ARNAB DAN KURA-KURA – BAHAGIAN KEDUA

Monday, October 11, 2010

Renungan : 10 Wasiat Imam Syafie Kepada Muridnya



DIRIWAYATKAN, sebelum Imam Syafie kembali ke Rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada sebahagian daripada muridnya yang boleh dijadikan panduan kepada umat Islam. Wasiat yang dimaksudkan ialah pesanan dan nasihat beliau yang yang sangat bernilai.

Berikut ialah antara kandungan wasiat itu: "Sesiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat, maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

Pertama:
Hak kepada diri – mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

Kedua :
Hak kepada malaikat maut - mengqandakan kewajipan yang tertinggal , mendapatkan kemaafan dari orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati dan berasa cinta kepada Allah.

Ketiga :
Hak kepada kubur – membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat tahajud dan membantu orang yang dizalimi.

Keempat :
Hak kepada Munkar dan Nakir – tidak tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

Kelima :
Hak kepada Mizan (Neraca Timbangan Amalan Pada Hari Akhirat) – menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan.

Keenam :
Hak kepada Sirat (titian yang merentangi neraka pada hari akhirat) – membuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

Ketujuh :
Hak kepada Malik (Malaikat Penjaga Neraka) – menangis lantaran takut kepada Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi dan memperelokkan akhlak.

Kelapan :
Hak kepada Ridhwan (Malaikat Penjaga Syurga) – berasa reda kepada qada Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas hikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

Kesembilan :
Hak Kepada Nabi saw – bersalawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-sunnah (hadis) menyayangi sahabat dan bersaing dalam mencari kelebihan daripada Allah.

Kesepuluh :
Hak kepada Allah SWT – mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia daripada keburukan, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.


Catatan ini dikhususkan kepada pembaca muslim sahaja. Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan kita taufiq, hidayah dan kekuatan kepada kita agar dapat menjalani kehidupan sebagaimana yang pernah dilalui oleh Imam As Syafie.

Friday, October 08, 2010

Meningkatkan Kecekapan Dalam Membuat Keputusan



Membuat keputusan yang tepat merupakan satu perkara yang kritikal kerana ia memberi kesan yang mendalam terhadap sesuatu perkara. Kadang kala kita terpaksa menggunakan pelbagai pendekatan dalam menentukan apakah keputusan yang benar-benar tepat dan memberikan hasil yang diharapkan.

Timbul juga keadaan di mana kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai isu dan kontroversi terhadap sesuatu tindakan yang telah diambil. Memanglah sukar untuk memenuhi atau memuaskan hati semua pihak. Perasaan tidak puas hati pasti timbul dan jika perkara ini tidak ditangani secara bijak ia boleh mencetuskan krisis dalam organisasi.

Bagi syarikat-syarikat yang besar kesilapan dalam membuat keputusan boleh menimbulkan implikasi kewangan yang menggawatkan. Kesilapan dalam membuat keputusan menyebabkan sesuatu syarikat itu mengalami kerugian yang besar.

Justeru itu sesetengah syarikat sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk mengupah perunding profesional dalam menentukan portfolio pelaburan yang betul sebelum mengambil keputusan melabur dalam mana-mana prospek ekonomi.

Dalam bidang pendidikan para guru dan murid juga tidak terlepas daripada membuat keputusan. Pentadbir di sekolah membuat keputusan sama ada dasar yang dilaksanakan sesuai atau tidak dalam memacu sekolah menuju misi dan visi yang disasarkan.

Para guru dan pendidik juga perlu membuat keputusan yang tepat tentang apakah strategi, kaedah dan pendekatan yang bersesuaian dengan tahap murid semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Keputusan yang diambil itu akan memberi kesan secara langsung terhadap hasil pembelajaran.

Guru yang berjaya membuat keputusan yang tepat tentang apakah program kecemerlangan yang sesuai dilaksanakan untuk murid akan menghasilkan pulangan yang besar dari segi impak terhadap kecemerlangan dalam peperiksaan awam.

Oleh kerana pentingnya membuat keputusan, maka banyak buku yang telah menulis mengenai strategi dalam membuat keputusan. Satu strategi yang agak pelik dan jarang dijumpai ialah pendapat yang mengatakan kita boleh menjadi mahir membuat keputusan dengan BERMAIN GAME. Cadangan ini memang pelik tetapi dapatan kajian membuktikan keberkesannya bagi sesetengah individu.

Bermain game dapat meningkatkan kepantasan dan ketepatan dalam membuat keputusan, seperti hasil kajian yang dilakukan oleh pasukan penyelidikan dari University of Rochester. Kajian tersebut telah menemui dapatan beberapa kesimpulan yang menarik.

Setelah membahagi subjek ujian mereka menjadi dua kelompok, satu kumpulan dibuat untuk bermain game action sementara yang lain dibuat untuk bermain game strategi. Kedua-dua kumpulan kemudian diminta untuk membuat keputusan pada sejumlah tugas.

Dalam tugas yang diberikan ini, para peserta harus melihat paparan, menganalisis situasi, dan menjawab soalan secepat mungkin.

Keputusannya mendapati aksi pemain game membuat keputusan 25% lebih cepat, semasa menjawab soalan-soalan yang betul. Ini bermakna bahawa bermain game tidak mebuang masa seperti banyak yang mendakwa selama bertahun-tahun.

Dapatan daripada kajian tersebut juga mendapati dengan bermain game serba pantas seperti Tanaman vs Zombies dapat membantu meningkatkan kemampuan dalam membuat keputusan kita.

Namun demikian kita perlu ingat, bukan semua game dan bukan bermaksud selepas ini kita perlu bermain game 80 jam seminggu. Sama seperti segala sesuatu dalam hidup, main game harus dilakukan secara bersederhana.

Jika tertarik dengan strategi bermain game dalam meningkatkan ketajaman kita dalam membuat keputusan ... bolehlah cuba, test ... try bermain game seperti Besar Wang atau Bubble Buster. Tidak percaya ? cubalah diri sendiri, mulai bermain game sekarang dan lihat hasilnya!

Sunday, October 03, 2010

Strategi Si Luncai

Kisah Si Luncai terjun dengan labu-labunya adalah satu satira Melayu yang dikategorikan sebagai cerita lucu. Umum mungkin menggambarkan cerita ini sekadar cerita pengelipur lara yang kini tidak relevan lagi dalam kehidupan pada abad ke-21.

Tahap pemahaman pembaca mengenai kisah Si Luncai ini juga berbeza-beza, tetapi sebenarnya jika diteliti mesej yang cuba disampaikan dalam cerita ini adalah sama iaitu peringatan kepada kita supaya sentiasa bijaksana. Sama ada kita seorang pemimpin atau pengikut, guru atau murid kita perlu bijaksana dan pintar dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran kita.

Keceluparan kerapkali mengundang bencana. Kata pepatah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Terlajak perahu boleh dibelok, terlajak kata buruk padahnya. Begitulah yang terjadi pada Si Luncai. Akibat kata-katanya, dia dimurkai raja.

Episod paling menarik Si Luncai ialah semasa menghadap raja, dia terlepas cakap bahawa muka raja mirip wajah arwah bapanya. Raja yang zalim itu terasa dipersendakan. Baginya, mukanya tidak sekali-kali boleh disamakan dengan rakyat biasa … apatah lagi dengan muka arwah bapa Si Luncai yang miskin dan dipandang hina itu.

Tanpa mempertimbangkan perkara ini dengan adil dan teliti, raja pun menjatuhkan hukuman. Penghinaan Si Luncai mesti dibayar dengan nyawa. Dan untuk itu, Si Luncai dihukum bunuh dengan cara dicampakkan ke tengah laut.

Tetapi Si Luncai bukan anak sembarangan, dia seorang yang licik dan pintar terutama dalam menghadapi saat yang sukar. Yang miskin cuma hartanya, bukan minda dan ketangkasan fikirannya. Si Luncai mencari jalan bagaimana hukuman raja itu tenang dihadapi tanpa mengorbankan nyawanya.

Sebelum dia dibawa dengan sampan untuk dicampakkan ke tengah laut, dia sempat membeli sebiji labu besar. Sejak itu dia menangis berhiba-hiba sambil mengusap-usap labu itu. Selang beberapa ketika, dua orang pengawal istana pun tiba untuk membawanya ke sampan bagi melaksanakan hukuman, menghumbankannya ke laut.

Menyedari kedatangan pengawal itu, Si Luncai pun tambah beria-ia menangis sambil membelai-belai labu airnya. Melihat telatah Si Luncai, dua pengawal kehairanan lalu bertanya, “Kenapa kamu menangis dan memeluk labu ini?”Si Luncai pun menjawab, “Hamba terkenangkan arwah bapa hamba, bukankah hamba akan berjumpanya sebentar lagi.”

Melihat perilaku Si Luncai itu, kedua-dua pengawal berasa kasihan. Mereka pun membenarkan Si Luncai membawa labu itu bersama dalam sampan untuk menuju ke tengah laut. Sewaktu mereka sedang mengayuh, Si Luncai pun memulakan strategi untuk menyelamatkan diri.

Dia berkata, “Sebelum hamba mati, bolehkah tuan hamba berdua menunaikan hajat hamba?” Seorang daripada pengawal itu menjawab, “Boleh jika hajat itu tidak berat.”

Si Luncai gembira seraya berkata, “Memang tidak berat. Tuan hamba berdua hanya perlu menyanyi satu lagu untuk hamba.” “Lagu apa?” tanya kedua-dua pengawal itu.“Mudah sahaja, pengawal yang duduk di belakang hamba hendaklah mengulang kata yang begini, Si Luncai terjun dengan labu-labunya … Manakala tuan hamba yang di hadapan pula membalas, Biarkan, biarkan … .” “Baiklah,” jawab kedua-dua pengawal itu tanpa mengesyaki apa-apa.

Mereka pun sama-sama menyanyi. Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan … . Seni kata itu dilagukan berulang-ulang serentak dengan kayuhan sampan. Semakin lama semakin rancak. Setelah agak lama, kedua-dua pengawal itu semakin terleka.

Pada saat itulah Si Luncai pun terjun dari sampan untuk menyelamatkan diri. Melihat hal itu, pengawal yang di belakang segera memberitahu kawannya yang di hadapan, “Si Luncai terjun dengan labunya!”

Malangnya, pengawal di hadapan terus menjawab, “Biarkan, biarkan…” Dia menyangka, pemberitahuan itu masih lagi sebahagian seni kata lagu yang mereka nyanyikan sebelumnya. Setelah Si Luncai jauh berenang menyelamatkan diri, barulah pengawal di hadapan itu menyedari kejadian sebenarnya.

Tetapi apa boleh buat, Si Luncai telah berjaya menyelamatkan diri. Mereka pun pulang tanpa memberitahu raja hal sebenarnya. Apa tidaknya, jika silap perhitungan, mereka pula akan dihukum. Si Luncai yang telah selamat daripada lemas, lari menyembunyikan diri.

Namun dalam hatinya menyimpan dendam yang sangat mendalam kepada raja yang zalim dan angkuh itu. Setiap hari dia memikirkan bagaimanakah caranya untuk membalas dendam. Padanya, raja adil raja disembah, raja zalim, raja disanggah. Setelah beberapa hari lamanya, barulah Si Luncai mendapat idea.

Pada hari yang terpilih itu, Si Luncai pun mengenakan baju serba putih lengkap dengan serbannya sekali. Imej yang dibinanya adalah imej orang alim lagi warak. Setelah itu dia pun dengan beraninya pergi ke istana raja.

Melihat Si Luncai datang, terkejutlah seisi istana, kerana tidak menyangka yang Si Luncai telah ‘hidup’ kembali. Raja pun keluar dan terjadilah pertemuan baginda dengan Si Luncai buat kali kedua. “Apa yang terjadi kepada kamu?” tanya baginda.

“Alhamdulillah, patik sekarang telah insaf … patik akan menjadi orang alim. Patik tidak perlukan apa-apa lagi dalam hidup ini.” “Apa yang terjadi kepada kamu?” “Patik telah sampai ke alam arwah dan bertemu dengan arwah-arwah orang yang telah mati … termasuk arwah ayah patik dan Almarhum ayahanda tuanku.” “Almarhum ayahanda beta? Bagaimana gerangannya di sana?”

“Ampun, tuanku. Almarhum sangat dukacita kerana perbuatan tuanku.” “Apa yang beta lakukan?” “Entahlah, Almarhum cuma berdiam diri. Katanya baginda ingin bertemu sendiri dengan tuanku untuk memberi nasihat,” kata Si Luncai. “Bagaimana, bolehkah beta bertemu ayahanda beta?” “Masakan tidak, hamba yang hina ini pun boleh, apalagi tuanku yang mulia.”

Si Luncai tersenyum dalam hatinya. Perangkapnya sudah mengena. Raja yang zalim tapi bodoh itu akan berjaya dijeratnya. “Bagaimanakah caranya?” tanya raja. “Begini … tuanku hendaklah masuk ke dalam laut dalam peti yang dilubangi. Patik dahulu pun begitu juga. Di dasar lautlah akan berlaku pertemuan itu nanti.”

Tanpa berfikir panjang, raja pun bersetuju. Pendek cerita, raja pun dibuang ke laut di dalam peti yang berlubang. Apalagi, air pun masuk dan raja pun mati lemas. Si Luncai lari menyembunyikan diri dan tidak diketahui lagi keadaan dan nasibnya selepas itu.

Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah Si Luncai ini? Selain daripada keburukan akibat keceluparan berkata-kata, cerita yang sarat dengan unsur satira ini penuh dengan sindiran dan pengajaran yang sangat tajam dan menusuk hati.

Iktibar dari kisah Si Luncai

1) Si Luncai adalah ‘gambaran’ orang bawahan yang berdepan dengan kezaliman orang atasannya. Walaupun tanpa kuasa dan senjata, Si Luncai berjaya mengalahkan raja berbekalkan minda, keberanian dan kemahuan.

2) Cerita ini juga mengisahkan bagaimana akibat buruk yang boleh menimpa rakyat jika diperintah secara zalim oleh seorang pemerintah yang ego dan dungu. Pemerintah yang begini bukan sahaja berpotensi memporak-perandakan negara bahkan akhirnya memakan diri sendiri.
3) Kisah Si Luncai juga memaparkan bagaimana ‘agama’ dan ‘kerohanian’ boleh dijadikan ‘alat’ untuk mengeksploitasi orang lain demi kepentingan diri dan puak.

4) Penguasaan ilmu dengan konsep ‘knowledge is power’ (pengetahuan itu kuasa) semakin dominan dalam konteks k-ekonomi sekarang ini. Penguasaan ilmu semakin penting justeru ia sangat dominan peranannya dalam bidang ekonomi, ketenteraan, sosial dan lain-lain. Si Luncai moden boleh jadi mampu menguasai sebuah negara dan dunia dengan ilmunya, justeru ilmu lebih berpengaruh daripada harta dan senjata.

Kesimpulannya janganlah kita terjebak dengan strategi Si Luncai, sama ada kita dikenakan oleh orang lain atau kita menggunakannya untuk memanipulasi orang lain. Sikap dan akhlak yang ditunjukkan oleh Si Luncai tidak sejajar dengan akhlak Islam. Perwatakan raja yang zalim dan dungu pula adalah ciri kepimpinan yang tidak boleh ada pada seseorang pemimpin.

Strategi ‘Si Luncai’ telah digunakan dengan maksud jahat dan sesat. Ramai yang tertipu oleh kelicikan Si Luncai jika tidak punya keberanian, ilmu asas yang kukuh dan dihantui oleh dosa-dosa silam. Orang yang boleh ditipu hanya orang yang dungu. Orang yang boleh digertak, hanya orang yang banyak salah. Si Luncai tahu itulah hakikat raja yang sedang dihadapinya.

Oleh hal yang demikian kita perlu memastikan diri kita sentiasa dipersiapkan dengan ilmu agar tidak menjadi mangsa Si Luncai. Memiliki ilmu sahaja tidak memadai kerana ilmu tanpa kekuatan rohani boleh menjadikan kita sesat lagi menyesatkan.

Ilmu tanpa bimbingan tauhid dan iman kan menjadikan kita manusia yang rakus, tamak dan haloba. Perkara inilah nanti yang mendorong seseorang itu untuk menggunakan kepandaian dan kecerdikannya untuk mengambil kesempatan terhadap orang lain. Sepatutnya ilmu yang kita ada kita gunakan untuk membantu orang lain.

Gambar dan cerita si luncai diambil dari blog gentarasa. Cerita disesuaikan untuk titipan warga SMK Kulai Besar. Semoga kita semua bergerak ke hadapan mengorak langkah sebagai orang yang bijaksana tetapi benar dari cara dan tingkah kita.


AZMAN BIN SAFII

Monday, September 27, 2010

Iktibar Dari Facebook



Mark Zuckerberg, Pengasas Facebook

Lahir :
14 Mei 1984(umur 26)White Plains, New York

Pekerjaan :
Pencipta asal, CEO & Presiden kepada Facebook

Nilai harta kekayaan :
Kurang daripada $1 Bilion

Agama : Atheist

FACEBOOK – Kejayaan dari Minat, Bakat Kreativiti dan Inovasi.

Pada minggu ini saya memilih untuk membuat catatan hasil pembacaan saya mengenai Facebook. Saya mendapati sejarah Facebook lahir dari orang biasa tetapi mempunyai idea yang sangat kreatif terhadap bidang yang diminati, sehingga menjadi satu budaya baru dalam membina rangkaian sosial. Ada sesuatu iktibar yang boleh kita pelajari daripada kreativiti mindanya hingga mampu menjana kehidupan berbilion dollar. Satu aspek yang perlu kita jauhi tentang Mark Zuckerberg ialah dia tidak beragama.........????? Sebijak-bijak manusia ada pula kejahilannya, tapi biarlah nak buat macam mana, mudah-mudahan Allah SWT kurniakan taufik dan hidayat kepadanya. Amin

Facebook ialah sebuah tapak web rangkaian sosial yang di kendali dan dimiliki secara persendirian oleh Facebook, Inc. Sejak 2006, sesiapa yang berumur 13 tahun ke atas dan memiliki alamat e-mel yang sah boleh menjadi pengguna Facebook. Facebook lebih menyasarkan golongan belia berbanding dewasa. Pengguna boleh menambah rakan dan saling menghantar mesej, serta mengemas kini profil peribadi mereka sebagai makluman kepada rakan-rakan.

Selain itu, pengguna juga boleh menyertai rangkaian yang dianjurkan oleh tempat kerja, sekolah, atau kolej. Nama Facebook berasal daripada timangan yang digunakan untuk buku-buku yang diserahkan oleh pihak pentadbiran universiti kepada para penuntut pada permulaan tahun akademik di AS dengan tujuan membantu penuntut saling mengenali.

Facebook diasaskan oleh Mark Zuckerberg bersama teman-teman sebiliknya dan rakan-rakan sekursus sains komputer Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes. Pada mulanya, keahlian tapak web ini terhad kepada penuntut Harvard, tetapi kemudian beransur-ansur diperluaskan kepada kolej-kolej lain di kawasan Boston, Liga Ivy, dan Universiti Stanford. Selepas itu, Facebook berkembang lagi untuk merangkumi mana-mana pelajar universiti, kemudian pelajar sekolah tinggi, dan akhirnya, sesiapa sahaja yang berumur 13 ke atas. Kini, tapak web ini dianggotai oleh lebih 400 juta pengguna aktif seluruh dunia.

Konsep asal Facebook dipinjam dari hasil keluaran Akademi Phillips Exeter, sebuah sekolah persediaan yang pernah dihadiri oleh Zuckerberg, yang menerbitkan dan mengedarkan manual bercetak untuk semua pelajar dan fakulti selama berpuluh-puluh tahun, iaitu "face book".

Pada Julai 2009, syarikat Internet Rusia menawarkan AS$100 juta (RM358 juta) untuk membeli saham daripada pekerja-pekerja Facebook.Syarikat Rusia itu, Digital Sky Technologies (DST) itu melabur sebanyak AS$200 juta (RM716 juta) ke atas Facebook pada Mei 2009 dan menawarkan sebanyak AS$14.77 juta (RM52.8 juta) untuk satu unit saham biasa Facebook. Syarikat gergasi perisian komputer Amerika Syarikat, Microsoft telah membeli 1.6 % dalam Facebook bernilai AS$240 juta (RM859 juta) pada 2007.

Saya percaya ramai murid dan guru telah mempunyai akaun facebook sendiri. Facebook adalah satu gelombang ICT yang datang menerjah kita dalam segenap arah khususnya kepada pengguna internet. Suka atau tidak glombang itu menerpa kita selagi kita bermain dengan internet. Seperti kata pepatah “kalau takut bermain ombak jangan membina rumah di tepi pantai”. Inilah hakikat yang perlu diterima.

Ada laporan di media menyatakan tentang keburukan facebook, bahkan facebook pernah disekat secara sementara di beberapa negara termasuk Syria, China, Vietnam, dan Iran. Facebook juga dilarang di kebanyakan tempat kerja untuk menghindarkan para pekerja daripada membuang masa bersama perkhidmatannya. Saya pernah dimaklumkan bahawa Facebook adalah dikyah Yahudi untuk menyesatkan dan melekakan umat Islam khususnya. Saya berpendapat bagaimana kesan dan pengaruh facebook kepada seseorang adalah bergantung kepada cara bagaimana kita mengendalikannya. Sejauh mana kesan facebook kepada kita ialah sejauh mana etika kita ketika menggunakannya.

Kita tidak boleh lari dari kenyataan bahawa facebook semakin membudayakan kehidupan kita. Apa yang saya harapkan ialah warga SMK Kulai Besar dapat menggunakan facebook secara bijaksana dengan menulis bahan secara terhormat tanpa menyentuh peribadi individu, masyarakat, agama, kaum dan bangsa dengan cara yang boleh membangkitkan sentimen. Jadikanlah Facebook sebagai ruang untuk memupuk silaturahim, merapatkan yang jauh dan mengeratkan lagi yang dekat.

Semua murid perlu mengambil iktibar daripada kejayaan Mark Zuckerberg, pengasas facebook dengan mencari peluang dalam dunia ICT tanpa sempadan ini agar turut menempa nama sebagai pelopor kepada penemuan baru yang berdaya maju dalam bidang ICT. Saya dan rakan-rakan guru telah melepasi era ICT dengan peluang yang amat terbatas. Kami warga guru edisi 80-an dan awal 90-an membesar dengan teknologi mesen taip.

Para guru di sekolah sekadar berperanan sebagai pendorong, pembimbing dan jurulatih untuk melahirkan insan pintar seperti Mark Zuckerberg. Insan biasa yang menggunakan kombinasi minat, bakat, kreativiti dan inovatif untuk menjadi insan bernilai berbilion dollar. Oleh itu andalah para remaja yang bakal mencorakkan masa hadapan dengan peluang yang luas terbentang. Rebutlah peluang itu dengan memajukan diri dalam bidang ICT seterusnya membina kemahiran dan kerjaya menerusi Ekonomi Berasaskan Pengetahuan (Knowledge Base Economy)

AZMAN BIN SAFII

Sunday, September 19, 2010

Selamat Kembali Ke Sekolah Warga SMKKB

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH :

Setelah kita bercuti selama dua minggu sempena Cuti Pertengahan Penggal 2 dan Cuti Hari Raya Aidilfitri, maka pada Isnin ini 20 September 2010 kita semua warga SMK Kulai Besar kembali ke sekolah. Justeru itu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat kembali bertugas kepada semua guru dan kakitangan serta selamat kembali belajar kepada semua murid. Tidak terlewat rasanya untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin kepada semua warga sekolah.

Kepada semua murid, sesungguhnya belajar adalah tugas anda dan tanggungjawab anda. Sekiranya tugas guru mengajar, tugas ibu bapa anda mencari nafkah (bekerja), maka tugas anda hanyalah belajar. Belajar adalah satu proses untuk melahirkan seorang insan yang terdidik bagi memastikan anda menjadi individu yang mempunyai keseimbangan sama ada dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dengan modal JERI itulah nanti yang akan menjadikan anda sebagai insan yang bermodal, dan seterusnya menjadi pewaris kepada kesinambungan kemakmuran negara.

Cuti yang agak lama (2 minggu) sudah tentu menjadikan catatan diari kita semakin panjang kerana banyak cerita....cerita panjang, cerita pendek, cerita berbingkai dan pelbagai genre lain yang telah kita lalui sepanjang cuti yang lalu. Walau bagaimana seronok, suka dan dukanya anda sepanjang cuti yang lalu, namun saya berharap semua murid sedar bahawa semalam adalah sejarah, hari ini ialah realiti dan esok adalah harapan dan terbentang masa depan anda yang belum pasti lagi. Oleh itu sama-samalah kita memantapkan persiapan kita untuk mengharungi esok tadi, khususnya dalam mempersiapkan diri dalam menghadapi peperiksaan PMR, SPM dan peperiksaan akhir tahun.

Kepada calon PMR, pihak sekolah telah berkesempatan untuk melaksanakan program BERSAMAMU sejurus sebelum cuti yang lalu. Tujuan diadakan program tersebut adalah sebagai satu inisiatif untuk menyatakan apakah harapan sekolah, satu rasionalisasi pencapaian individu murid terhadap prestasi semasa (headcount) serta sebagai satu strategi bimbingan saat akhir kepada calon PMR (strategi pecutan akhir) sebelum PMR. Kepada murid yang terlibat dalam program tersebut saya berharap anda semua masih ingat apakah pesanan dan amanat yang telah diberikan, serta mengamalkan strategi belajar Pecutan Akhir yang telah disampaikan.

Minggu pertama selepas cuti raya adalah minggu yang sangat sebuk bagi guru-guru dan semua murid. Bagi calon SPM markah peperiksaan percubaan SPM sedang dan telah diproses, dan selepas ini guru-guru akan berbincang mengenai hasil pencapaian anda. Keputusan peperiksaan percubaan SPM adalah kayu ukur untuk mengesan sejauh manakah kemampuan anda. Refleksilah diri anda dan buatlah penjajaran strategi bagi memastikan anda benar-benar telah bersedia untuk melakar kejayaan dalam peperiksaan SPM nanti.

Calon-calon PMR pula pastinya akan sebuk mengikuti pelbagai program Pecutan Akhir seperti yang telah diaturkan oleh UBK dan panitia-panitia mata pelajaran. Jadikanlah semua program yang dijalankan oleh pihak sekolah sebagai peluang dalam memantapkan persiapan sebelum PMR. Sekiranya persiapan anda masih belum mantap untuk menduduki PMR, anda sebenarnya masih belum terlewat, kerana setiap saat adalah di dalamnya kesempatan. Selagi PMR belum bermula, selagi itulah masa dan ruang masih ada.

Sementara itu bagi semua murid tingkatan Peralihan, 1, 2 dan 4, anda sepatutnya turut sebuk dalam mempersiapkan diri sebelum peperiksaan akhir tahun. Para guru sudah tentulah pada minggu ini dan seterusnya berusaha mempersiapkan anda untuk menduduki peperiksaan. Kesimpulannya kita semua sebuk dengan banyak tugas dan perkara yang perlu diselesaikan...hakikatnya inilah yang dinamakan sebagai Kesibukan Profesional. Janganlah selepas ini anda menyebuk pula di bilik disiplin dengan menambah kesibukan Unit HEM kerana mengambil terpaksa mengambil tindakan disiplin ke atas salah laku anda. Atau jangan pula anda menyebuk di bilik Kaunseling, untuk menokok kesibukan kaunselor yang terpaksa memperuntukkan masa untuk menasihati anda atas kesalahan yang anda lakukan.

Sekian catatan untuk kali ini, selamat belajar.


AZMAN BIN SAFII

Tuesday, September 14, 2010

Pendekatan 5S Dalam Amalan Pengurusan Sekolah

https://drive.google.com/file/d/0B1CWnQhTT5h6U3JPenB6SVhqVnM/view?usp=sharing


Tulisan ini dibuat berdasarkan sesi CPD yang disampaikan semasa berkhidmat di SMK Kulai Besar. Penghargaan kepada MPC Johor Bahru atas perkongsian bahan dan maklumat. Sila klik pada gambar untuk muat turun bahan.
 
Aktiviti-aktiviti 5S telah bermula di Jepun selepas Perang Kedua bertujuan membersihkan dan mengemas kilang-kilang yang terdapat di Jepun kesan daripada peperangan. Langkah Jepun yang berjaya memulihkan ekonomi selepas era peperangan, membukti pendekatan 5S mereka berjaya. Lantas strategi yang sama diteruskan dan diamalkan oleh syarikat-syarikat di seluruh dunia bagi memastikan tempat kerja sentiasa selesa, sempurna, teratur, bersih dan selamat.

5S adalah satu kaedah pengurusan tempat kerja yang menggunakan senarai lima perkataan dalam Bahasa Jepun iaitu  “Seiri”,  ”Seiton”, ”Seiso”, ”Seiketsu” dan ”Shitsuke”. 5S tersebut adalah mewakili 5 tahap dalam proses pengurusan ruang tempat kerja, yang kemudiannya telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dengan mengekalkan awalan huruf ”S” dalam kelima-lima peringkat pengurusan tempat kerja.
 

Tahap
Istilah Jepun
Istilah Dalam BI
Istilah dalam BM
Tahap 1
Seiri (整理)
Sorting
Sisih
Tahap 2
Seiton (整頓)
Straighten
Susun
Tahap 3
Seisō (清掃)
Sweeping or Shining
Sapu
Tahap 4
Seiketsu (清潔)
Standardizing
Seragam
Tahap 5
Shitsuke ()
Sustaining the discipline
Sentiasa Amal

5S merupakan satu falsafah dan cara baru dalam mengurus ruang tempat bekerja dan aliran kerja dengan tujuan memperbaiki kecekapan menerusi penyingkiran elemen-elemen yang tidak diperlukan yang terdapat di tempat kerja, mengelakkan pembaziran dan seterusnya dapat melancarkan proses aliran kerja. 

5S adalah satu kaedah mengurus tempat kerja, terutamanya tempat kerja yang digunakan secara bersama atau berkongsi (seperti bilik guru, pejabat, bilik kaunseling, bilik disiplin, bilik darjah), bagi memastikan ruang tempat kerja tersebut dalam keadaan yang terurus. Kunci utama 5S ialah untuk memperbaiki keadaan tempat kerja, keselamatan dan kecekapan. 

Penekanan yang diberi dalam melaksanakan 5S ialah memastikan sesuatu yang diperlukan berada pada tempat dan kedudukan yang betul dan sesuai, agar masa tidak dibazirkan apabila timbul keperluan untuk menggunakan sesuatu benda, dokumen atau alatan. Tambahan pula pendekatan ini dapat mengesan dengan pantas sebarang kehilangan atau ketiadaan sesuatu yang diperlukan dari tempat yang sepatutnya sesuatu itu berada. 

Sasaran utama 5S adalah tempat kerja yang lebih baik sama ada dari aspek moral, keselamatan dan kecekapan. Pernyataan 5S mengutamakan pengurusan lokasi dan penggunaan masa yang tidak dibazirkan terhadap sesuatu yang diperlukan. Pada masa yang sama, sesuatu kehilangan akan dapat diketahui dengan mudah dan cepat apabila sesuatu alatan dikesan tidak berada pada lokasinya yang ditetapkan.  

Pengamal 5S percaya manfaat daripada metodologi ini datang dari keperluan untuk menentukan apakah yang perlu disimpan, di mana ia hendaklah disimpan, bagaimana ia patut disimpan dan yang paling penting bagaimana peraturan baru akan dikekalkan. Proses membuat keputusan ini lazimnya datang dari sesi dialog untuk membina kefahaman yang jelas mengenai penyeragaman tugas yang berlaku dalam kalangan anggota organisasi, berkaitan bagaimana kerja-kerja yang perlu dilakukan. Proses 5S turut menerapkan semangat kesepunyaan dalam kalangan anggota organisasi. 

Selain daripada itu, satu lagi perbezaan utama antara 5S dan "Standard Pembersihan" ialah Seiton. Seiton sering disalah tafsir, mungkin disebabkan oleh usaha-usaha untuk menterjemahkan satu perkataan Inggeris bermula dengan "S" (seperti "sort" atau "strighten"). Konsep utama di sini ialah untuk menyusun peralatan atau aktiviti-aktiviti bagi memastikian aliran tugas yang lebih lancar. Sebagai contoh, alat-alat hendaklah disimpan selepas ditempat mana ia disimpan selepas digunakan. 

Dengan cara ini kakitangan tidak perlu bersusah payah mencari peralatan, sebaliknya lebih mudah mengakses bahan, menjimatkan masa dan aliran kerja yang diubah pula boleh meningkatkan kecekapan. 

Fasa 1 - Seiri (整理): SISIH: Semak dan asingkan semua alat, bahan, dan dokumen yang ada di kawasan tempat bertugas. Pastikan hanya barangan atau dokumen yang diperlukan sahaja yang perlu ada. Barang-barang atau dokumen lain perlu disimpan di stor atau jika tidak diperlukan perlu dibuang. 

Fasa 2 - Seiton (整頓) SUSUN atau KEMAS: memberi tumpuan kepada aspek kecekapan. Apabila diterjemah perkataan Seiton dalam Bahasa Melayu sebagai “susun” atau “kemas”, ia kedengaran seperti lebih terarah kepada kerja menyusun atau menyapu, tetapi tujuannya yang sebenar ialah untuk menguruskan alat-alat, kelengkapan dan peralatan dengan cara yang boleh melancarkan aliran kerja.  

Sebagai contoh, perkakas dan peralatan perlu disimpan di tempat yang mereka akan gunakan peralatan tersebut (iaitu mengukuhkan aliran kerja), dan proses ini harus ditetapkan dalam suatu susunan yang boleh memaksimumkan kecekapan. Prinsipnya sangat mudah iaitu, setiap perkara yang perlu  ada, seharusnya berada di tempat yang sepatutnya perkara itu berada. Bagi tujuan ini penandaan dan pelabelan tempat sangat membantu dan diberi perhatian khusus pada fasa seiton. 

Fasa 3 - Seisō (清掃) SAPU atau SINAR; Merujuk kepada amalan pembersihan secara sistematik atau perlu memastikan tempat kerja dalam susunan yang bersih dan kemas. Selepas melaksanakan tugas, kawasan kerja perlu dibersihkan. Alatan atau dokumen yang digunakan perlu di pulangkan semula ke tempatnya yang asal. Keadaan ini memudahkan untuk kita mengetahui status di mana dan ke mana sesuatu alatan yang telah digunakan. Cara ini menjadikan kita lebih yakin bahawa semuanya dalam aturan di mana ia sepatutnya berada.  

Perkara yang perlu ditekankan ialah, menjaga kebersihan harus menjadi sebahagian daripada amalan kerja harian, dan bukannya satu aktiviti yang hanya dilakukan sekali sekala sahaja, iaitu setelah kita mendapati keadaan tempat kerja menjadi terlalu berselerak atau tidak terurus. 

Fasa 4 - Seiketsu (清潔) SERAGAM: Penyeragaman amalan kerja atau operasi secara konsisten dan standard. Pada tahap ini semua anggota dalam organisasi sepatutnya telah mengetahui apakah tanggungjawabnya untuk memastikan 3S yang terawal iaitu seiri, seiton dan seiso dapat diamalkan secara tekal. Sekiranya 3S yang terawal ini belum dapat di sempurnakan, secara logiknya mana mungkin fasa seiketsu dapat dilaksanakan dengan mudah. 

Fasa 5 - Shitsuke () SENTIASA AMAL atau MELESTARIKAN: merujuk kepada mengekalkan dan menilai standard. Sebaik sahaja 4S sebelumnya telah diwujudkan, ia menjadi satu amalan baru untuk beroperasi. Mengekalkan tumpuan kepada cara baru organisasi beroperasi, dan tidak membenarkan pengulangan secara perlahan-lahan kepada cara yang lama.  

Walau bagaimanapun, apabila sesuatu isu timbul seperti cadangan untuk penambahbaikan, cara baru untuk bekerja, alat baru atau keperluan mengelurakan perkhidmatan yang baru, maka kajian semula ke atas 4S yang pertama adalah sangat praktikal. 

Fasa 6 - SELAMAT atau "Keselamatan" kadangkala akan ditambah oleh pengamal 5S. Walau bagaimanapun, terdapat pengamal 5S yang berpendapat, penambahan S yang keenam adalah tidak perlu, kerana jika 5S sedia ada dilaksanakan dengan betul ia akan memberi impak terhadap persekitaran tempat kerja yang selamat.  

Satu perkara yang perlu kita berwaspada ialah, dalam kegairahan untuk melaksanakan proses 5S, kita perlu memastikan semua proses yang dilakukan dalam keadaan selamat. Pelaksanaan 5S yang tidak betul boleh mengundang bahaya di tempat kerja. Keadaan ini berlaku apabila pekerja cuba untuk mengekalkan kebersihan tetapi pada masa yang sama tidak mengikuti prosedur keselamatan yang betul boleh mengundang kemalangan di tempat kerja.  

Kesimpulannya, dalam melaksanakan 5S perlu pendidikan yang berterusan tentang bagaimana piawaian dapat dikekalkan. Apabila terdapat perubahan yang akan menjejaskan 5S, seperti penggunaan peralatan baru, produk baru atau kaedah-kaedah kerja yang baru, maka adalah penting untuk kita membuat perubahan dalam piawaian dan mengadakan siri latihan. Organisasi yang mengamalkan 5S sering menggunakan poster, banner dan papan tanda sebagai satu cara untuk mendidik anggota dan mengekalkan piawaian.
 

Rujukan: 

Imai, Masaaki (1997). Gemba kaizen: a commonsense low-cost approach to management. New York: McGraw-Hill Professional. p. 64. ISBN 9780070314467.

 

Artikel Popular