Sunday, September 26, 2010

Iktibar Dari Facebook



Mark Zuckerberg, Pengasas Facebook

Lahir :
14 Mei 1984(umur 26)White Plains, New York

Pekerjaan :
Pencipta asal, CEO & Presiden kepada Facebook

Nilai harta kekayaan :
Kurang daripada $1 Bilion

Agama : Atheist

FACEBOOK – Kejayaan dari Minat, Bakat Kreativiti dan Inovasi.

Pada minggu ini saya memilih untuk membuat catatan hasil pembacaan saya mengenai Facebook. Saya mendapati sejarah Facebook lahir dari orang biasa tetapi mempunyai idea yang sangat kreatif terhadap bidang yang diminati, sehingga menjadi satu budaya baru dalam membina rangkaian sosial. Ada sesuatu iktibar yang boleh kita pelajari daripada kreativiti mindanya hingga mampu menjana kehidupan berbilion dollar. Satu aspek yang perlu kita jauhi tentang Mark Zuckerberg ialah dia tidak beragama.........????? Sebijak-bijak manusia ada pula kejahilannya, tapi biarlah nak buat macam mana, mudah-mudahan Allah SWT kurniakan taufik dan hidayat kepadanya. Amin

Facebook ialah sebuah tapak web rangkaian sosial yang di kendali dan dimiliki secara persendirian oleh Facebook, Inc. Sejak 2006, sesiapa yang berumur 13 tahun ke atas dan memiliki alamat e-mel yang sah boleh menjadi pengguna Facebook. Facebook lebih menyasarkan golongan belia berbanding dewasa. Pengguna boleh menambah rakan dan saling menghantar mesej, serta mengemas kini profil peribadi mereka sebagai makluman kepada rakan-rakan.

Selain itu, pengguna juga boleh menyertai rangkaian yang dianjurkan oleh tempat kerja, sekolah, atau kolej. Nama Facebook berasal daripada timangan yang digunakan untuk buku-buku yang diserahkan oleh pihak pentadbiran universiti kepada para penuntut pada permulaan tahun akademik di AS dengan tujuan membantu penuntut saling mengenali.

Facebook diasaskan oleh Mark Zuckerberg bersama teman-teman sebiliknya dan rakan-rakan sekursus sains komputer Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes. Pada mulanya, keahlian tapak web ini terhad kepada penuntut Harvard, tetapi kemudian beransur-ansur diperluaskan kepada kolej-kolej lain di kawasan Boston, Liga Ivy, dan Universiti Stanford. Selepas itu, Facebook berkembang lagi untuk merangkumi mana-mana pelajar universiti, kemudian pelajar sekolah tinggi, dan akhirnya, sesiapa sahaja yang berumur 13 ke atas. Kini, tapak web ini dianggotai oleh lebih 400 juta pengguna aktif seluruh dunia.

Konsep asal Facebook dipinjam dari hasil keluaran Akademi Phillips Exeter, sebuah sekolah persediaan yang pernah dihadiri oleh Zuckerberg, yang menerbitkan dan mengedarkan manual bercetak untuk semua pelajar dan fakulti selama berpuluh-puluh tahun, iaitu "face book".

Pada Julai 2009, syarikat Internet Rusia menawarkan AS$100 juta (RM358 juta) untuk membeli saham daripada pekerja-pekerja Facebook.Syarikat Rusia itu, Digital Sky Technologies (DST) itu melabur sebanyak AS$200 juta (RM716 juta) ke atas Facebook pada Mei 2009 dan menawarkan sebanyak AS$14.77 juta (RM52.8 juta) untuk satu unit saham biasa Facebook. Syarikat gergasi perisian komputer Amerika Syarikat, Microsoft telah membeli 1.6 % dalam Facebook bernilai AS$240 juta (RM859 juta) pada 2007.

Saya percaya ramai murid dan guru telah mempunyai akaun facebook sendiri. Facebook adalah satu gelombang ICT yang datang menerjah kita dalam segenap arah khususnya kepada pengguna internet. Suka atau tidak glombang itu menerpa kita selagi kita bermain dengan internet. Seperti kata pepatah “kalau takut bermain ombak jangan membina rumah di tepi pantai”. Inilah hakikat yang perlu diterima.

Ada laporan di media menyatakan tentang keburukan facebook, bahkan facebook pernah disekat secara sementara di beberapa negara termasuk Syria, China, Vietnam, dan Iran. Facebook juga dilarang di kebanyakan tempat kerja untuk menghindarkan para pekerja daripada membuang masa bersama perkhidmatannya. Saya pernah dimaklumkan bahawa Facebook adalah dikyah Yahudi untuk menyesatkan dan melekakan umat Islam khususnya. Saya berpendapat bagaimana kesan dan pengaruh facebook kepada seseorang adalah bergantung kepada cara bagaimana kita mengendalikannya. Sejauh mana kesan facebook kepada kita ialah sejauh mana etika kita ketika menggunakannya.

Kita tidak boleh lari dari kenyataan bahawa facebook semakin membudayakan kehidupan kita. Apa yang saya harapkan ialah warga SMK Kulai Besar dapat menggunakan facebook secara bijaksana dengan menulis bahan secara terhormat tanpa menyentuh peribadi individu, masyarakat, agama, kaum dan bangsa dengan cara yang boleh membangkitkan sentimen. Jadikanlah Facebook sebagai ruang untuk memupuk silaturahim, merapatkan yang jauh dan mengeratkan lagi yang dekat.

Semua murid perlu mengambil iktibar daripada kejayaan Mark Zuckerberg, pengasas facebook dengan mencari peluang dalam dunia ICT tanpa sempadan ini agar turut menempa nama sebagai pelopor kepada penemuan baru yang berdaya maju dalam bidang ICT. Saya dan rakan-rakan guru telah melepasi era ICT dengan peluang yang amat terbatas. Kami warga guru edisi 80-an dan awal 90-an membesar dengan teknologi mesen taip.

Para guru di sekolah sekadar berperanan sebagai pendorong, pembimbing dan jurulatih untuk melahirkan insan pintar seperti Mark Zuckerberg. Insan biasa yang menggunakan kombinasi minat, bakat, kreativiti dan inovatif untuk menjadi insan bernilai berbilion dollar. Oleh itu andalah para remaja yang bakal mencorakkan masa hadapan dengan peluang yang luas terbentang. Rebutlah peluang itu dengan memajukan diri dalam bidang ICT seterusnya membina kemahiran dan kerjaya menerusi Ekonomi Berasaskan Pengetahuan (Knowledge Base Economy)

AZMAN BIN SAFII

1 comment:

HAJIZED said...

tahniah cikgu..anda bijak