Tulisan ini dibuat berdasarkan sesi CPD yang disampaikan semasa berkhidmat di SMK Kulai Besar. Penghargaan kepada MPC Johor Bahru atas perkongsian bahan dan maklumat. Sila klik pada gambar untuk muat turun bahan.
Aktiviti-aktiviti 5S telah bermula di Jepun selepas
Perang Kedua bertujuan membersihkan dan mengemas kilang-kilang yang terdapat di
Jepun kesan daripada peperangan. Langkah Jepun yang berjaya memulihkan ekonomi
selepas era peperangan, membukti pendekatan 5S mereka berjaya. Lantas strategi
yang sama diteruskan dan diamalkan oleh syarikat-syarikat di seluruh dunia bagi
memastikan tempat kerja sentiasa selesa, sempurna, teratur, bersih dan selamat.
5S adalah satu kaedah pengurusan
tempat kerja yang menggunakan senarai lima perkataan dalam Bahasa Jepun iaitu “Seiri”, ”Seiton”, ”Seiso”, ”Seiketsu” dan ”Shitsuke”.
5S tersebut adalah mewakili 5 tahap dalam proses pengurusan ruang tempat kerja,
yang kemudiannya telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu
dengan mengekalkan awalan huruf ”S” dalam kelima-lima peringkat pengurusan tempat
kerja.
Tahap
|
Istilah Jepun
|
Istilah Dalam BI
|
Istilah dalam BM
|
Tahap 1
|
Seiri (整理)
|
Sorting
|
Sisih
|
Tahap 2
|
Seiton (整頓)
|
Straighten
|
Susun
|
Tahap 3
|
Seisō (清掃)
|
Sweeping or Shining
|
Sapu
|
Tahap 4
|
Seiketsu (清潔)
|
Standardizing
|
Seragam
|
Tahap 5
|
Shitsuke (躾)
|
Sustaining the discipline
|
Sentiasa Amal
|
5S merupakan satu falsafah dan cara baru dalam mengurus ruang tempat
bekerja dan aliran kerja dengan tujuan memperbaiki kecekapan menerusi
penyingkiran elemen-elemen yang tidak diperlukan yang terdapat di tempat kerja,
mengelakkan pembaziran dan seterusnya dapat melancarkan proses aliran kerja.
5S adalah satu
kaedah mengurus tempat kerja, terutamanya tempat kerja yang digunakan secara
bersama atau berkongsi (seperti bilik guru, pejabat, bilik kaunseling, bilik
disiplin, bilik darjah), bagi memastikan ruang tempat kerja tersebut dalam
keadaan yang terurus. Kunci utama
5S ialah untuk memperbaiki keadaan tempat kerja, keselamatan dan kecekapan.
Penekanan yang
diberi dalam melaksanakan 5S ialah memastikan sesuatu yang diperlukan berada
pada tempat dan kedudukan yang betul dan sesuai, agar masa tidak dibazirkan
apabila timbul keperluan untuk menggunakan sesuatu benda, dokumen atau alatan.
Tambahan pula pendekatan ini dapat mengesan dengan pantas sebarang kehilangan
atau ketiadaan sesuatu yang diperlukan dari tempat yang sepatutnya sesuatu itu
berada.
Sasaran utama 5S adalah
tempat kerja yang lebih baik sama ada dari aspek moral, keselamatan dan
kecekapan. Pernyataan 5S mengutamakan pengurusan lokasi dan penggunaan masa
yang tidak dibazirkan terhadap sesuatu yang diperlukan. Pada masa yang sama, sesuatu
kehilangan akan dapat diketahui dengan mudah dan cepat apabila sesuatu alatan
dikesan tidak berada pada lokasinya yang ditetapkan.
Pengamal 5S percaya manfaat daripada
metodologi ini datang dari keperluan untuk menentukan apakah yang perlu
disimpan, di mana ia hendaklah disimpan, bagaimana ia patut disimpan dan yang
paling penting bagaimana peraturan baru akan dikekalkan. Proses membuat keputusan
ini lazimnya datang dari sesi dialog untuk membina kefahaman yang jelas
mengenai penyeragaman tugas yang berlaku dalam kalangan anggota organisasi,
berkaitan bagaimana kerja-kerja yang perlu dilakukan. Proses 5S turut
menerapkan semangat kesepunyaan dalam kalangan anggota organisasi.
Selain daripada itu, satu
lagi perbezaan utama antara 5S dan "Standard Pembersihan" ialah
Seiton. Seiton sering disalah tafsir, mungkin disebabkan oleh usaha-usaha untuk
menterjemahkan satu perkataan Inggeris bermula dengan "S" (seperti
"sort" atau "strighten"). Konsep utama di sini ialah untuk menyusun
peralatan atau aktiviti-aktiviti bagi memastikian aliran tugas yang lebih
lancar. Sebagai contoh, alat-alat hendaklah disimpan selepas ditempat mana ia
disimpan selepas digunakan.
Dengan cara ini kakitangan tidak
perlu bersusah payah mencari peralatan, sebaliknya lebih mudah mengakses bahan,
menjimatkan masa dan aliran kerja yang diubah pula boleh meningkatkan
kecekapan.
Fasa 1 - Seiri (整理): SISIH: Semak dan asingkan semua
alat, bahan, dan dokumen yang ada di kawasan tempat bertugas. Pastikan hanya
barangan atau dokumen yang diperlukan sahaja yang perlu ada. Barang-barang atau
dokumen lain perlu disimpan di stor atau jika tidak diperlukan perlu dibuang.
Fasa 2 - Seiton (整頓) SUSUN atau KEMAS: memberi
tumpuan kepada aspek kecekapan. Apabila diterjemah perkataan Seiton dalam
Bahasa Melayu sebagai “susun” atau “kemas”, ia kedengaran seperti lebih terarah
kepada kerja menyusun atau menyapu, tetapi tujuannya yang sebenar ialah untuk
menguruskan alat-alat, kelengkapan dan peralatan dengan cara yang boleh melancarkan
aliran kerja.
Sebagai contoh, perkakas dan
peralatan perlu disimpan di tempat yang mereka akan gunakan peralatan tersebut (iaitu
mengukuhkan aliran kerja), dan proses ini harus ditetapkan dalam suatu susunan
yang boleh memaksimumkan kecekapan. Prinsipnya sangat mudah iaitu, setiap
perkara yang perlu ada, seharusnya
berada di tempat yang sepatutnya perkara itu berada. Bagi tujuan ini penandaan
dan pelabelan tempat sangat membantu dan diberi perhatian khusus pada fasa
seiton.
Fasa 3 - Seisō (清掃) SAPU atau SINAR; Merujuk
kepada amalan pembersihan secara sistematik atau perlu memastikan tempat kerja dalam
susunan yang bersih dan kemas. Selepas melaksanakan tugas, kawasan kerja perlu
dibersihkan. Alatan atau dokumen yang digunakan perlu di pulangkan semula ke
tempatnya yang asal. Keadaan ini memudahkan untuk kita mengetahui status di mana
dan ke mana sesuatu alatan yang telah digunakan. Cara ini menjadikan kita lebih
yakin bahawa semuanya dalam aturan di mana ia sepatutnya berada.
Perkara yang perlu ditekankan
ialah, menjaga kebersihan harus menjadi sebahagian daripada amalan kerja harian,
dan bukannya satu aktiviti yang hanya dilakukan sekali sekala sahaja, iaitu setelah
kita mendapati keadaan tempat kerja menjadi terlalu berselerak atau tidak
terurus.
Fasa 4 - Seiketsu (清潔) SERAGAM: Penyeragaman amalan
kerja atau operasi secara konsisten dan standard. Pada tahap ini semua anggota
dalam organisasi sepatutnya telah mengetahui apakah tanggungjawabnya untuk
memastikan 3S yang terawal iaitu seiri, seiton dan seiso dapat diamalkan secara
tekal. Sekiranya 3S yang terawal ini belum dapat di sempurnakan, secara
logiknya mana mungkin fasa seiketsu dapat dilaksanakan dengan mudah.
Fasa 5 - Shitsuke (躾) SENTIASA AMAL atau
MELESTARIKAN: merujuk kepada mengekalkan dan menilai standard. Sebaik sahaja 4S
sebelumnya telah diwujudkan, ia menjadi satu amalan baru untuk beroperasi.
Mengekalkan tumpuan kepada cara baru organisasi beroperasi, dan tidak
membenarkan pengulangan secara perlahan-lahan kepada cara yang lama.
Walau bagaimanapun, apabila
sesuatu isu timbul seperti cadangan untuk penambahbaikan, cara baru untuk
bekerja, alat baru atau keperluan mengelurakan perkhidmatan yang baru, maka
kajian semula ke atas 4S yang pertama adalah sangat praktikal.
Fasa 6 - SELAMAT atau "Keselamatan"
kadangkala akan ditambah oleh pengamal 5S. Walau bagaimanapun, terdapat
pengamal 5S yang berpendapat, penambahan S yang keenam adalah tidak perlu,
kerana jika 5S sedia ada dilaksanakan dengan betul ia akan memberi impak
terhadap persekitaran tempat kerja yang selamat.
Satu perkara yang perlu kita berwaspada
ialah, dalam kegairahan untuk melaksanakan proses 5S, kita perlu memastikan
semua proses yang dilakukan dalam keadaan selamat. Pelaksanaan 5S yang tidak
betul boleh mengundang bahaya di tempat kerja. Keadaan ini berlaku apabila
pekerja cuba untuk mengekalkan kebersihan tetapi pada masa yang sama tidak mengikuti
prosedur keselamatan yang betul boleh mengundang kemalangan di tempat kerja.
Kesimpulannya, dalam
melaksanakan 5S perlu pendidikan yang berterusan tentang bagaimana piawaian dapat
dikekalkan. Apabila terdapat perubahan yang akan menjejaskan 5S, seperti penggunaan
peralatan baru, produk baru atau kaedah-kaedah kerja yang baru, maka adalah
penting untuk kita membuat perubahan dalam piawaian dan mengadakan siri latihan.
Organisasi yang mengamalkan 5S sering menggunakan poster, banner dan papan
tanda sebagai satu cara untuk mendidik anggota dan mengekalkan piawaian.
Rujukan:
Imai, Masaaki (1997). Gemba kaizen: a
commonsense low-cost approach to management. New York: McGraw-Hill
Professional. p. 64. ISBN
9780070314467.
No comments:
Post a Comment