Friday, September 10, 2010

Teks Ucapan : Perhimpunan Mingguan 05 Julai 2009

UCAPAN PERHIMPUNAN RASMI MINGGUAN
SMK KULAI BESAR

ISNIN, 05 JULAI 2009

OLEH
AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN

1 Kata-kata aluan : PK HEM –En Wong Kim Fah, PKKK –En Mohd Tahir Ismail, GKMP, Guru dan Murid

2 Terima kasih kepada pengacara majlis dan guru bertugas yang telah menyampaikan laporan tugasan.

3 Laporan, pesanan, peringatan dan nasihat yang diberi bertali arus oleh guru-guru adalah satu isyarat keprihatinan guru-guru dalam usaha menjadikan sekolah sebagai agen perubahan sosial, mendidik bukan setakat mengajar.

4 Sepanjang minggu lalu sekolah sebuk dengan pelbagai program dan aktiviti yang membabitkan pelajar dan guru. Syabas dan tahniah kepada pelajar tingkatan 3 yang telah berjaya mengikuti program Kem Motivasi dan Kecemerlangan PMR.

5 Begitu juga dengan murid-murid tingkatan 5 yang telah dengan jayanya mengikuti Kem Akademik SPM. Semoga momentum yang telah dicetuskan dalam kedua-dua kem tersebut akan bergerak terus menembusi segala tembok dan rintangan yang boleh menjadi penghalang kepada lonjakan yang kita harapkan dalam PMR dan SPM nanti.

6 Bagi calon-calon PMR diharapkan dapat bersedia kerana selepas ini Kem Akademik : Pecutan Akhir PMR akan dijalankan oleh pihak sekolah. Pada program itu nanti semua murid tingkatan 3 perlu menjelaskan sedikit bayaran bagi menampung sebahagian kos program. Saya berharap semua murid tingkatan 3 akan turut serta dalam kem Akademik itu nanti kerana modul yang akan digunakan adalah modul soalan peperiksaan aras PMR.

7 Pada kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada penolong-penolong kanan, guru kanan, dan guru-guru yang telah hadir bertugas bagi menjayakan semua program yang dijalankan pada minggu lalu. Semoga Allah jualah yang akan membalas jasa dan budi dengan memberikan limpahan rezeki...umur yang panjang, tubuh badan yang sihat agar semuanya dapat dimanfaatkan sebagai satu ibadah dan untuk berbakti kepada masyarakat.

8 Rakan-rakan guru dan warga SMKKB sekalian, pada kesempatan ini saya ingin memberi peringatan tentang peri pentingnya kita sedar bahawa kita sedang berhadapan dengan Pandemik Selesema Babi, Influenza A H1N1. Sedikit maklumat berkaitan wabak ini, ia mula dikesan di Mexico dan sehingga kini jumlah pesakit direkodkan oleh WHO ialah seramai 89,921 orang membabitkan 382 kematian, melibatkan 125 negara, termasuklah Malaysia.

9 Penyakit ini sangat mudah berjangkit iaitu menerusi pemindahan cecair semasa seseorang pesakit batuk dan bersin. Seterusnya seseorang akan dijangkiti sama ada melalui pernafasan, sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan dengan titisan cecair pesakit.

10 Bilangan yang dijangkiti dan yang mati kerana komplikasi daripada penyakit ini terus bertambah dari hari ke hari. Justeru itu pada perhimpunan ini saya menyeru kepada semua warga sekolah agar menjaga kesihatan diri masing-masing, jauhi dari bersesak-sesak di tempat-tempat awam, hadkan masa berada di luar rumah dengan tujuan bersosial.

11 Amalkan gaya hidup sihat dengan membuang tisu dalam tong sampah dan bersegera membasuh tangan. Keraplah mencuci tangan dengan menggunakan sabun. Sekiranya anda demam dan selesema pakailah topeng pernafasan bagi mengurungkan risiko jangkitan.
12 Anda juga perlu peka dengan keadaan persekitaran dan mengikuti perkembangan semasa di media. Sekiranya anda demam dan menghidapi gejala batuk, sakit tekak, sukar bernafas dan sakit kepala segeralah berjumpa doktor dan maklumkan kepada pihak sekolah.

13 Selain itu pastikan pada setiap masa kawasan bilik darjah dan persekitaran sekolah hendaklah bersih kerana persekitaran yang bersih bukan sahaja memberi keselesaan kepada kita bahkan menghindarkan ancaman nyamuk seperti aedes yang menyebabkan penyakit denggi.

14 Jadikanlah kesihatan kita keutamaan kita. Keselamatan diri adalah tanggungjawab diri sendiri. Oleh itu jangan biarkan diri anda dijaga oleh orang lain iaitu dijaga oleh jururawat di hospital. Perkara ini boleh berlaku apabila anda tidak menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

15 Saya juga mendapati ada dalam kalangan murid yang ke sekolah menaiki kenderaan sendiri sama ada berkereta atau motosikal. Kepada penunggang motosikal patuhilah peraturan jalan raya, pakailah topi keledar, pastikan motosikal selamat untuk ditunggangi di samping lengkap dari segi dokumen pelesenan.


16 Kepada murid yang membawa kenderaan sendiri pastikan anda benar benar mempunyai lesen memandu. Anda juga diingatkan bahawa anda sama sekali tidak dibenarkan meletakkan kereta anda dalam kawasan sekolah. Sila letakkan kenderaan anda di luar dan anda perlu ingat bahawa sebarang kehilangan dan kerosakan harta benda anda di luar itu adalah tanggungjawab anda sendiri.

17 Berkaitan dengan peperiksaan, anda baharu sahaja selesai menduduki peperiksaan pertengahan tahun. Anda pastinya telah tahu di mana tahap anda. Oleh itu buatlah penambahbaikan agar prestasi menepati ETR yang disasarkan.


18 Pihak sekolah telah pun melaksanakan hari terbuka dan kepada pelajar yang ibu bapanya telah hadir untuk mengambil keputusan peperiksaan anda pada hari terbuka tersebut, saya mengucapkan syabas dan terima kasih. Kehadiran ibu bapa atau penjaga anda adalah tanda bahawa mereka adalah ibu bapa yang prihatin terhadap kemajuan anda.

19 Bagi ibu bapa yang tidak hadir sudah tentu 1001 alasan akan diberi, pihak sekolah berharap semoga pada hari terbuka yang akan datang pujuklah mereka supaya hadir. Hari terbukalah ruang yang terbaik untuk ibu bapa mengetahui perkembangan pelajaran dan disiplin anak-anak supaya maklumat yang diberikan dan diterima oleh pihak guru dapat dijadikan asas untuk kita berubah kepada satu tahap yang lebih baik.

20 Saya hendak bertanya beberapa soalan, pertamanya siapa di kalangan murid-murid sekalian sejak di sekolah rendah lagi telah memasang impian atau mempunyai cita-cita terhadap sesuatu kerjaya? Jika ada sila angkat tangan.... Siapakah pula sampai hari ini tak tahu nak jadi apa bila besar nanti ?.....sila angkat tangan!

21 Manusia yang masih bertanya-tanya nak jadi apa bila besar nanti sebenarnya adalah manusia yang tidak mewarisi prinsip manusia cemerlang...anda telah gagal dalam membuat perancangan kerjaya. Manusia yang berjaya tahu apa tujuannya, apa hala tujunya.

22 Untuk berjaya perlu ada sasaran dan matlamat hidup...itulah namanya impian dan cita-cita. Hidup seperti arus jadi kita perlu kawal diri kita supaya tidak dihanyutkan oleh arus yang deras. Kalau kita perhatikan sungai yang mengalir, apa yang dibawa oleh arusnya...sampah? tunggul kayu? bangkai? najis?....macam-macam dan semuanya tanpa tujuan dan tersangkut di mana-mana seterusnya mencemar alam sekitar.

23 Tetapi kita perhatikan ikan yang berenang-renang di sungai, ikan itu tahu tujuan hidupnya sebab itu dia berenang mencari makanan untuk terus hidup. Ikan hidup di sungai sebab dia ada matlamat. Kalau sungai tercemar , ikan mati dan jadi bangkai dihanyutkan arus. Jika kita mahu berenang di sungai sudah tentu kita tahu apa sasaran kita dan kita boleh kawal diri kita supaya tidak dihanyutkan oleh arus yang deras tadi. Begitu juga dengan hidup kita mesti ada matlamat atau destinasi yang hendak dituju.

24 Untuk berjaya juga kita perlu menggunakan prinsip orang berjaya jangan ikut resmi orang kebanyakan. Kita perlu sedar siapa orang yang cemerlang dan kita tahu bahawa lebih ramai orang yang kurang cemerlang berbanding orang yang cemerlang. Buktinya kita nak sasarkan 4 orang perfect score dalam PMR dan 2 orang dalam SPM pun masih sukar untuk dicapai.

25 Kita perlu menongkah arus....untuk berjaya, perlu ada semangat yang berterusan kerana itulah tenaga yang diperlukan minda. Kita hanya perlu jadi orang biasa sahaja tetapi usaha dan tindakan kita perlulah luar biasa.

26 Jadikanlah matlamat untuk berjaya dan cemerlang sesuatu yang menghantui kita. Untuk menjadikan sasaran kita berkesan kita mestilah letakkan matlamat kita sesuatu yang hebat dan besar, jadikan orang di sekeliling kita sebagai cabaran. Orang sekeliling kita ramai yang berfikiran negatif. Mereka akan ketawakan kita bila kita membuat kesilapan, mereka menceburi kita bila kita berjaya... pedulikan mereka.

27 Tulis, baca, ingat, faham sasaran dan bekerja keras ke arah itu. Tulis sasaran kita supaya kita asyik dengan maksyuknya..supaya jaga, tidur dan mimpi kita skripnya sama iaitu cemerlang PMR dan SPM. Jangan lupa kita perlu istiqamah kecemerlangan memerlukan usaha yang berterusan dan bukannya semangat sekali sekala.

28 Akhir sekali pada kesempatan ini saya ingin memaklumkan bahawa pada hari ini hingga 8 hari bulan sekolah kita akan menjadi tepat pelaksanaan ujian lisan Bahasa Melayu bagi calon SPM ulangan. Semua pelajar diingatkan agar menjauhi Aras 2 blok B. Janganlah bising, dan pelajar dari Aras 2 blok C dan D yang mahu ke perpustakaan dan arah yang sebaliknya sila gunakan Aras 1.

29 Sekian terima kasih.

AZMAN BIN SAFII,
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN,
SMK KULAI BESAR,
KULAIJAYA.

No comments:

Artikel Popular