Friday, September 10, 2010

Teks Ucapan : Perhimpunan Mingguan 13 April 2009

TEKS UCAPAN PERHIMPUNAN RASMI
MINGGUAN

AZMAN BIN SAFII,
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN

TARIKH : ISNIN 13 APRIL 2009


1) Terima kasih kepada pengacara Majlis

2) Yang Berusaha En Wong Kim Fah, Penolong Kanan HEM, En Mohd Tahir bin Ismail, PK Kokurikulum, Yang dihormati Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, Rakan-rakan guru dan yang dikasihi semua murid warga SMK Kulai Besar.

3) Bersama-samalah kita melafazkan kesyukuran kerana pada pagi ini kita dengan limpah kurnia Allah SWY dapat bersama dalam perhimpunan ini. Perhimpunan yang diadakan setiap minggu ini adalah satu medan, peluang dan ruang yang terbaik kepada pihak sekolah – guru dan murid untuk muhasabah diri saling ingat mengingati dan satu refleksi di manakah tahap kita.

4) Sebagaimana yang telah sering dicanangkan visi sekolah ialah untuk menjadi sekolah cemerlang pada tahun 2012. Bagi mencapai hasrat ini pentadbir, guru, murid, dan ibu bapa hinggalah kepada pengusaha kantin pekerja pembersihan dan jaga mesti mempunyai minda cemerlang.

5) Semua pihak yang disebutkan tadi mempunyai peranan yang tersendiri dalam memastikan kecemerlangan tadi mengikut fungsi dan bidang tugas sendiri. Namun aspek akademik, sahsiah, kokurikulum dan 3K adalah perkara yang sering dijadikan ukuran untuk memastikan standard kita cemerlang atau sebaliknya.

6) Jika kita ada guru cemerlang tapi murid tidak cemerlang kita tidak akan ke mana….masih ditakuk lama. Inilah perkara yang masih menghantui kita, hasrat yang masih tidak dapat kita realisasikan pada ketika ini.

7) Kegagalan kita untuk mengekalkan kecemerlangan pencapaian dalam SPM 2006 menyebabkan kita berada pada tahap yang kritikal…kita seperti kapal yang sedang karam. Kedudukan kita dalam SPM 2008 ialah tempat ke 235/ 238.

8) Kegagalan dalam penguasaan Bahasa Melayu bagi pelajar Cina dan India adalah faktor utama. Seramai 44 murid gagal Bahasa Melayu sedangkan unjuran sekolah hanya 23 sahaja yang gagal. Sekolah telah berusaha dengan pelbagai cara, pelbagai program kita telah laksanakan….sebut sahaja apa yang kita tidak buat. Kelas Tambahan, Hikmah, gempur, Galus, Kaunseling Berfokus, Program Motivasi, Program Kecemerlangan, Aku Janji, Merit de Merit. Namun penglibatan murid pada tahap yang mengecewakan.

9) Oleh itu saya menyeru kepada semua murid agar dapat mengubah cara berfikir, kepada cara berfikir sebagai seorang yang cemerlang, orang cemerlang,….

a) Tetapkan matlamat datang ke sekolah untuk belajar. Berilah tumpuan kepada pengajaran guru, libatkan diri dalam semua aktiviti yang menyubang kepada keilmuan . Peluang untuk belajar di alam persekolahan datang sekali seumur hidup

b) Rebut peluang yang ada. Program-program kecemerlangan yang dijalankan di sekolah perlulah disambut dengan kesungguhan. Kelas Bimbingan Hikmah, GPMS, PIBG, dan pelbagai program akademik, koakademik dan kokurikulum yang akan dilaksanakan oleh pihak sekolah perlu dihargai dan dimanfaatkan oleh semua murid.

c) Manfaatkan sumber yang ada di sekolah secara bijak sana. Jagalah harta benda sekolah dan gunakan dengan berhemah. Tindakan vendalisme seperti merosakkan harta benda sekolah akan menyebabkan sekolah terpaksa menggunakan peruntukan untuk tujuan baik pulih. Sedangkan peruntukkan tersebut boleh digunakan untuk program peningkatan dan kebajikan murid.

d) Patuhi peraturan sekolah kerana sekiranya semua murid dapat mematuhi peraturan sekolah dengan baik, guru-guru dapat menggunakan masa yang lebih untuk mengajar dan mendidik. Kajian mendapati sekolah yang berprestasi rendah mempunyai korelasi dengan masalah disiplin murid.

e) Penghayatan terhadap nilai-nilai murni.

10) Untuk ingatan semua murid, segala kerosakan yang dalami oleh sekolah pada ketika ini dibiayai semula oleh PIBG dan Kerajaan menelan belanja ribuan ringgit. Sekiranya kos membaiki semakin meningkat jangan terkejut sekiranya pihak sekolah terpaksa meminta PIBG membuat kutipan tambahan kepada semua murid.

11) Saya berharap calon SPM dan PMR 2009 dapat bangkit semula dan membuktikan bahawa SMK Kulai Besar adalah sekolah yang mempunyai harapan untuk terus cemerlang. Kita pernah jatuh, terduduk dan tersungkur tetapi percayalah jika anda mahu kita boleh bangkit semula. Ingatlah 4 perkara yang dinyatakan tadi dan jadikannya keazaman dan kesungguhan sebagai pembakar semangat kita.

12) Kami warga guru akan mencurahkan sega ilmu yang ada hingga keringat yang terakhir namun terpulanglah kepada anda sama ada untuk menyahutnya ataupun tidak, seperti perahu telah pun di air pendayung telah di tangan, terpulang ke mana perahu hendak dihalakan. Terima kasih.


AZMAN BIN SAFII,
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN,
SMK KULAI BESAR,
KULAIJAYA

No comments:

Artikel Popular