Friday, September 10, 2010

Teks Ucapan : Kempen Budi Bahasa 2008

UCAPAN AZMAN BIN SAFII,
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN ,
SMK KULAI BESAR
SEMPENA PELANCARAN KEMPEN BUDI BAHASA PERINGKAT SEKOLAH


Tarikh : 28 APRIL 2008 (ISNIN)
Tempat : DATARAN ILMU, SMK KULAI BESAR
Masa : 7.30 Pagi


Bismillah-ir Rahman-ir Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

1) Pertamanya, saya memanjatkan sepenuh kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul bersama warga SMKKB pada pagi ini bagi meneruskan agenda perdana negara iaitu membina bangsa Malaysia yang berbudi bahasa serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Semoga kita akan terus diberikan kekuatan untuk melaksanakan amanah ini dengan penuh iltizam dan bijaksana.

Rakan-rakan guru dan semua warga SMKKB sekelian,

2) Usaha SMKKB melancarkan Kempen Budi Bahasa pada hari ini amatlah wajar dipuji dan dihayati oleh semua pihak. Kempen yang bermatlamat menggalakkan penghayatan dan amalan nilai-nilai murni di kalangan anggota masyarakat ini amat tepat pada masanya, terutama dalam era dunia tanpa sempadan hari ini yang mendedahkan masyarakat dengan pelbagai gejala dan unsur-unsur negatif, sehingga boleh melunturkan budi bahasa dan nilai-nilai murni sekiranya tidak dibendung dengan betul.

3)Hari ini, kita jarang-jarang dapat melihat warga tua dipimpin oleh anak-anak muda untuk melintas jalan. Kita juga sudah ketandusan budaya sapa-menyapa, kurangnya rasa hormat-menghormati, tidak menghargai harta benda awam dan tidak mengutamakan kepada kebersihan. Keadaaan ini jika dibiarkan, lama-kelamaan akan merosakkan tamadun dan mencemarkan budaya bangsa yang kaya dengan budi pekerti serta nilai-nilai murni yang tinggi.

Rakan-rakan guru dan semua warga SMKKB sekelian,

4) Tiada gunanya kita mencapai status negara maju menjelang 2020 sekiranya generasi akan datang tidak berakhlak, berdisiplin serta lupa dengan budaya-budaya murni kita. Oleh itu, usaha pihak sekolah melancarkan kempen hari ini wajar disanjung dan dihargai kerana keyakinan bahawa menerusi penerapan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa akan melahirkan generasi pelapis kita pada masa akan datang yang berakhlak mulia, berdisiplin tinggi dan berbudi bahasa.

5) Persoalan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang perlu kita perhalusi dan beri perhatian sedalam-dalamnya. Kita perlu perkukuhkan peribadi serta jati diri dalaman pelajar-pelajar kita dari peringkat paling awal. Bak kata pepatah ‘Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya’. Amalan berbudi bahasa dan penerapan nilai murni adalah kekutan dalaman yang mampu dijadikan benteng dalam memperkukuh jatidiri murid dalam menghadpi isu-isu disiplin seperti buli, gaduh, ponteng dan seumpamanya.

Rakan-rakan guru dan semua warga SMKKB sekelian,

6) Menginsafi tuntutan untuk memikul tanggungjawab bersama-sama, maka Kementerian Pelajaran telah menjadikan usaha menyemarakkan amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni dalam jiwa anak-anak kita di setiap peringkat persekolahan sebagai agenda penting demi memperkukuh peribadi dan jati diri mereka.

7)Hakikatnya, masyarakat Malaysia telah menerima peri pentingnya budi bahasa dan penghayatan nilai-nilai murni menerusi prinsip kelima rukun negara iaitu kesopanan dan kesusilaan.

8) Dalam masyarakat Malaysia, ungkapan “Orang Berbudi Kita Berbahasa”, “Di Mana Bumi Dipijak di Situ Langit Dijunjung” dan “Yang Baik Itu Budi, Yang Indah Itu Bahasa” sudah menjadi ungkapan basahan dalam kehidupan. Persoalannya, mengapakah maksud yang tersirat di sebalik ungkapan tersebut tidak dizahirkan?

Rakan-rakan guru dan semua warga SMKKB sekelian,

9)Sistem pendidikan negara kita telah berjaya melahirkan teknokrat, korporat, jurutera, doktor, ahli profesional bertaraf dunia. Maka penampilan dan amalan budi bahasa wajar seiring dengan kecemerlangan kerjaya tersebut. Justeru, kelompangan ini perlu diisi segera dengan kefahaman dan penghayatan tentang makna budi dan nilai secara berhemah agar kualiti keinsanan yang hendak kita lahirkan menjadi kenyataan.
10) Sehubungan itu, setiap aktiviti kokurikulum di sekolah-sekolah perlu menjadikan aspek budi bahasa dan nilai-nilai murni sebagai landasan utama pelaksanaannya. Contohnya, penganjur aktiviti kebahasaan seperti pidato, perbahasan, berbalas pantun, kuiz, dan pertandingan penulisan kreatif diharapkan mengambil kira aspek ini. Tajuk-tajuk pidato atau perbahasan haruslah menjurus kepada penghayatan aspek budi bahasa.

Rakan-rakan guru dan semua warga SMKKB sekelian,

11)Demikian juga dalam aktiviti sukan dan rekreasi, pihak yang terlibat perlu sentiasa menerapkan elemen budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam aktiviti yang dilaksanakan. Sementara itu, masyarakat umum juga perlu memikul tanggungjawab sosial seperti memberikan sokongan moral dan kebendaan demi menjayakan program yang dirancang. Dengan pendekatan ini diharapkan amalan dan penghayatan nilai murni dapat dilaksanakan dengan lebih terarah.

12) Budaya berbudi bahasa perlu jelas ditampilkan dalam komunikasi dan tugasan harian. Dalam penyelesaian sebarang masalah, setiap pemimpin seharusnya mengamalkan pendekatan seperti “menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak”. Sesungguhnya, mereka juga harus menjaga hubungan baik dengan anggota yang dipimpin. Pihak yang dipimpin pula janganlah menjadi “gunting dalam lipatan” dan menjadi “ sokong membawa rebah” sebaliknya sentiasa bersifat seperti “aur dengan tebing” untuk memastikan segala perancangan menepati matlamat organisasi masing-masing.

Rakan-rakan guru dan semua warga SMKKB sekelian,

13)Oleh yang demikian, budaya berbudi bahasa dan amalan nilai-nilai murni mestilah diterjemahkan di persekitaran sekolah. Budaya ini, melibatkan interaksi antara guru dengan guru, guru dengan anak didik dan anak didik dengan anak didik. Moga suasana bertegur sapa, hormat menghormati dan kerjasama hidup subur sepanjang masa. Dalam hal ini, setiap pelajar dari peringkat akar umbi lagi perlu dilatih dengan amalan nilai-nilai murni dan budi bahasa, agar ianya menyerap dalam diri mereka serta menjadi satu kebiasaan.

14) Kita ialah pewaris bangsa yang akan menentukan kelangsungan amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Kita harus menjadi bangsa yang berdaya saing dalam arus kemajuan dunia dengan tidak mengabaikan amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni. Dalam konteks ini, amalan berbudi bahasa dan penghayatan nilai-nilai murni sebenarnya adalah nilai tambah kepada keupayaan daya saing bangsa Malaysia.

15) Sesungguhnya, kehebatan sesuatu bangsa tidak sahaja diukur dengan kemajuannya tetapi juga keupayaan terhadap penghayatan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Dalam alam pendidikan, ilmu pengetahuan tanpa budi belum tentu dapat menjamin kemajuan bangsa terutamanya dari segi ketahanan budaya dan moralnya. Oleh itu, saya menyeru kepada warga SMKKB terutamanya murid-murid untuk sama-sama melaksanakan dan memperkasa budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

16) Sebelum berundur, sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada AJK Kempen Berbudi Bahasa kerana berjaya mengaturkan Pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni peringkat pada hari ini.

Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di pulau angsa;
Indah tampan kerana budi, 8
Tinggi bangsa kerana bahasa.

Sekian…

AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN,
SMK KULAI BESAR,
KULAI JAYA

No comments:

Artikel Popular